KOMPLEKS Kraf Kuala Lumpur merupakan pusat kraf setempat yang memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat lagi keindahan dan keunikan produk tempatan.
Hasil kraf yang ditonjolkan oleh usahawan-usahawan kraf tempatan membuktikan bahawa nilai estetika yang beridentiti nasional memiliki daya tarikan tersendiri. Pelbagai produk kraf yang ditawarkan meliputi cenderamata dan hadiah, busana dan aksesori, perhiasan rumah serta perabot.
Semestinya busana dan aksesori menjadi keutamaan kaum Hawa, lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang menjelang tiba.
Butik Karyaneka yang terletak di Kompleks Kraf Kuala Lumpur menampilkan aneka busana, kain ela, hiasan rumah, aksesori hiasan diri dan lain-lain kraf termasuk tekstil batik, tenunan dan songket yang bercorak eksklusif.
Fesyen anggun lagi menawan yang ditawarkan ini amat sesuai digayakan untuk ke majlis rasmi ke pejabat mahupun bersantai.
Busana lelaki dan wanita yang diperagakan itu berjumlah 40 pasang. Ia ditampilkan pada majlis pra-pelancaran promosi kraf Aidilfitri 2012 baru-baru ini dan kelihatan begitu mempesonakan. Sulaman dan tenunan yang dipersembahkan berkonsepkan pop art dan kontemporari.
Usahawan kraf seperti Anizz Amaizing, Unique Works, Kraf Holdings, Pua Indah Enterprise, Zul Azizul Enterprise, Shadow Of Pink, Dimu Designs Sdn. Bhd., Seem Noor Batek, IReka, SMSB Jaya Edar, Nie Batik, Unique Touch Enterprise, Karyaneka, Sanggar Layar Galeri Sdn. Bhd., Bujin L Batik, RM Batik, Batik Aziz CB dan YNR Collections menampilkan tekstil yang menggunakan batik seperti baju kurung tradisional dan moden, set pario dan shawl, kebaya serta baju Melayu.
Hasil buatan tangan tempatan seperti busana dan aksesori tidak kurang hebatnya. Tekstil yang digunakan ini mempunyai kualiti dan keunikan serta menyerlahkan keanggunan si pemakai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: