Lemang Warisan amat menitik beratkan kualiti lemang yang disediakan.
Lemang Warisan amat menitik beratkan kualiti lemang yang disediakan.
Sukatan santan perlu selari dengan kapasiti beras dalam buluh.
Sukatan santan perlu selari dengan kapasiti beras dalam buluh.
Pulut yang telah dikeringkan dimasukkan ke dalam buluh.
Pulut yang telah dikeringkan dimasukkan ke dalam buluh.
Buluh yang telah dipilih dan diletakkan daun pisang.
Buluh yang telah dipilih dan diletakkan daun pisang.
Persiapan memproses lemang dilakukan bersama pekerja.
Persiapan memproses lemang dilakukan bersama pekerja.
Rohana memasukkan daun pisang ke dalam buluh lemang.
Rohana memasukkan daun pisang ke dalam buluh lemang.

Ketibaan Syawal membawa seribu makna kepada Pengusaha Lemang, Rahimah Kamaruddin berikutan ia menjadi salah satu sumber pendapatan buat keluarganya.

Mula bertapak sejak tahun 1996, pada awalnya penjualan lemang boleh diibaratkan sebagai ‘rezeki bermusim’ tetapi lama-kelamaan ia mendapat sambutan menggalakkan walaupun bukan pada musim perayaan.

Dahulunya, terkenal dengan jolokan ‘Lemang Pak Ali’ menerusi keenakan dan kelembutan lemang yang dihasilkan, ia sentiasa menjadi pilihan utama tatkala hari raya.

Sejak 2005, jolokan itu ditukar kepada ‘Lemang Warisan’ berikutan perniagaan yang diusahakan telah diwarisi kedua-dua anaknya, Mohd Eruan Ramli dan Rohana Ramli.

Warisi teknik pembuatan lemang

Rahimah berkata, menyedari penjualan lemang tidak hanya tertumpu pada musim perayaan, maka teknik dan resipi pembuatannya diturunkan kepada kedua-dua anaknya.

Katanya, Eruan dan Rohana mula mempelajari cara membuat lemang dan sering mengikut ayahnya untuk mencari buluh, santan, dan beras pulut sejak dari sekolah rendah.

“Kini, legasi perniagaan lemang diteruskan dua orang anak saya yang telah banyak mempelajari selok belok pembuatan serta penyediaan bahan bagi menghasilkan lemang.

“Pembuatan lemang mungkin dilihat mudah tetapi kami amat menitik beratkan kualiti khususnya dari segi rasa masin dan lemak,” katanya kepada Sinar Harian.

Lebih 3,000 lemang dijual

Rahimah berkata, sepanjang tempoh Ramadan, lebih 3,000 lemang dapat dijual berikutan peningkatan permintaan adalah secara berperingkat.

Katanya, kebiasaannya, dua minggu pertama tidak banyak membakar lemang, purata sehari adalah 30 hingga 40 batang sahaja.

“Minggu terakhir dan awal Syawal, permintaan mula meningkat sedikit demi sedikit setiap hari bergantung kepada keperluan dan kehendak pelanggan,” katanya.

Menurutnya, kini, lemang tidak hanya mendapat permintaan pada musim perayaan sahaja, sebaliknya juga pada bulan lain. Cuma kuantiti disediakan sedikit berkurangan.

Harga mengikut saiz buluh

Dia berkata, pelanggan boleh mendapatkan lemang warisan dengan harga serendah RM9 hingga RM16 mengikut saiz buluh.

Katanya, waktu operasi setiap hari adalah bermula jam 9 pagi hingga 11 malam, manakala dua hari sebelum raya pula dibuka 24 jam.

“Sejak menjalankan perniagaan ini, kebanyakannya adalah pelanggan tetap yang akan membeli pada setiap tahun.

“Ada juga di antara mereka yang mengetahui mengenai lemang warisan daripada laman sesawang dan melalui laporan akhbar,” katanya.

Rahimah berkata, kekangan masa membuatkan mereka terpaksa membeli buluh daripada peraih orang asli di Pahang. Santan dan pulut juga dibeli daripada pemborong.

Katanya, seperti tahun lalu, pendapatan diperoleh Lemang Warisan dianggarkan mencecah RM15,000 dan ia sebenarnya turut bergantung kepada keadaan ekonomi.

Turut terima tempahan katering

Menurut Rahimah, selain menjual lemang secara terus kepada pelanggan, mereka turut menawarkan perkhidmatan katering.

Dia berkata, banyak tempahan untuk majlis keramaian diterima dan diadakan di pelbagai lokasi termasuk hotel, dewan orang ramai dan sebagainya.

“Tidak hanya tertumpu pada penjualan lemang semata-mata tetapi turut mendapat tempahan katering daripada hotel dan majlis berbuka puasa.

“Bukan itu sahaja, pelanggan mempunyai pelbagai pilihan dan boleh memilih juadah lain yang dijual termasuk rendang, ketupat nasi dan palas, serta kuah kacang,” katanya.

Rahimah berkata, beroperasi di Lembah Keramat AU5, sehingga kini, Lemang Warisan mempunyai tiga orang pekerja dan akan menambahnya ketika menjelang Syawal bergantung kepada permintaan.

Katanya, syarikat juga bercadang untuk membuka kilang dan restoran membuat serta menjual lemang dalam masa lima tahun di sekitar Hulu Klang.