Kelantan Delights akan buka dua restoran di London
Kelantan Delights

KUALA LUMPUR - Kelantan Delights Sdn Bhd (Kelantan Delights), satu restoran khusus yang menyediakan masakan popular Kelantan dan selatan Thai, merancang melabur £4 juta (£1 = RM4.86) bagi membuka dua restoran di London bagi menampung permintaan yang semakin meningkat mendapatkan makanan Asia di sana.

Pengerusinya, Sabri Ab Rahman berkata syarikat itu terdorong untuk meneroka pasaran itu kerana status metropolitannya, yang membolehkannya menampung pasaran mewah serta menyasarkan pelanggan perniagaan dan kumpulan berpendapatan tinggi.

"Sasaran jualan kami bagi cawangan London ialah £1.5 juta bagi setiap cawangan dan kami yakin mencapainya."

"Kami juga merancang membuka dua lagi restoran di sana dalam tempoh empat tahun dan selepas itu kami akan mengkaji untuk meneroka Singapura dan Australia," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Kelantan Delights kini mengendalikan dua cawangan -- Subang dan Kuala Lumpur Sentral.

Sabri berkata, syarikat itu yang mengendalikan cawangan itu di sini sejak lebih 14 tahun lepas, menyaksikan jualannya meningkat tiga kali ganda selepas mengubah strateginya pada Januari tahun lepas dengan persekitaran dan perkhidmatan yang baik dan ditambah dengan makanan yang baik.

Katanya syarikat itu merancang membuka dua lagi restoran -- Cawangan Putrajaya dan Johor Premium -- bagi menyasarkan pelanggan perniagaan bagi Putrajaya dan pelancong di Johor Premium, di dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sabri berkata syarikat itu akan melabur sehingga RM2 juta bagi setiap cawangan, di mana separuh daripadanya diperuntukkan bagi infrastrutkur dan bakinya bagi dekorasi dalaman.

Pada tahun lepas, katanya syarikat itu mencatatkan perolehan RM3 juta bagi dua cawangannya di sini dan menjangka meningkatkannya antara 20-30 peratus pada tahun ini.