Sunday, August 26, 2012

'Laut' terbesar dunia lenyap


LAUT Aral yang semakin mengencil dan dijangka lenyap sepenuhnya pada tahun 2020.


MUNGKIN tiada siapa yang percaya jika dikatakan perairan terbesar dunia iaitu Lautan Pasifik akan kering. Ini kerana pemanasan global akan menyebabkan paras air laut semakin meningkat berikutan pencairan ais di Kutub Utara dan Selatan, bukannya sebaliknya.

Bagaimanapun, Laut Aral yang bersempadan dengan Kazakhstan di utara dan Karakalpakstan, sebuah wilayah autonomi Uzbekistan di selatan, bakal lenyap daripada peta dunia.

Obsesi Kesatuan Soviet (kini Rusia) untuk menjadi pengeluar kapas terbesar dunia di samping meningkatkan pengeluaran padi pada tahun 1960-an telah membawa malapetaka kepada Laut Aral iaitu salah sebuah tasik terbesar dunia dengan keluasan 68,000 kilometer persegi iaitu hampir sebesar negeri Sabah di Malaysia.

Aral dalam bahasa Turki bermaksud pulau-pulau dan Laut Aral sendiri memiliki lebih 1,500 buah pulau kecil di perairannya. Kawasan paling dalam di tasik ini pada masa itu mencecah 42 meter.

Sukar bernafas

Semuanya bermula apabila Kesatuan Soviet mengubah laluan Sungai Amu dan Sungai Syr yang merupakan sumber air Laut Aral untuk industri kapas dan beras.

Ini menyebabkan pulau itu terbahagi dua pada tahun 1990 berikutan paras air tasik itu terus menyusut. Beberapa pakar meramalkan tasik itu lenyap sepenuhnya pada tahun 2020.

Malah, pihak UNESCO mendakwa sebanyak 70 peratus daripada 1.1 juta penduduk Karakalpakstan mengalami kesukaran bernafas ekoran fenomena itu.

“Setiap hari kami berdepan dengan ribut pasir yang membawa bersama racun berbahaya,” kata seorang penduduk wilayah itu.

Semasa melawat Uzbekistan pada April 2010, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa semua pemimpin dunia supaya bersatu untuk mengatasi masalah itu.

Ban Ki-moon malah menyifatkan kejadian di Laut Aral sebagai satu bencana yang sangat mengejutkan.

Kazakhstan telah memulakan langkah bagi mengatasi perkara itu dengan membina Empangan Kok-Aral di Sungai Syr di bahagian negara itu untuk disalurkan ke tasik berkenaan sejak tahun 2005.

Projek itu berjaya meningkatkan paras air tasik secara perlahan-lahan sekali gus mengembalikan kehidupan di sekelilingnya.

Bagaimanapun, seorang anggota pertubuhan hak asasi manusia yang berpusat di Tashkent, Uzbekistan, Elena Urlaeva yang melawat Nukus, bandar terbesar berhampiran tasik itu pada tahun lalu melaporkan, penduduk sekitar masih menghadapi masalah kesihatan yang serius.

Suhu berubah

Menurut laman web Weird Science, Laut Aral yang suatu ketika merupakan salah satu kawasan paling subur di dunia telah kering. Akibatnya, suhu di rantau tersebut menjadi lebih panas pada musim panas dan semakin sejuk semasa musim sejuk manakala hujan jarang turun.

Kawasan berhampiran padang pasir bertoksik itu pula mencatat kadar kematian bayi antara yang tertinggi di dunia.

Penyakit anemia serta barah yang disebabkan oleh kimia yang ditiup daripada dasar tasik yang kering itu juga merupakan senario yang biasa dilihat.

Malah, tasik yang mengandungi lebih 20 spesies ikan bermutu tinggi seperti ikan merah, keli dan todak itu sudah tiada lagi.

Daerah Muynak di Uzbekistan sekarang menjadi padang pasir yang jaraknya menjangkau beratus-ratus kilometer. Di situ, pemandangan kapal-kapal nelayan yang terbiar sudah cukup untuk memberi gambaran betapa buruknya bencana itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: