![]() |
| SUZUKI Nex menawarkan pengendalian yang cukup baik. |
MASIH ingatkah Suzuki V100? Skuter yang mencetuskan keghairahan dalam industri motosikal sehinggakan kehadirannya jelas kelihatan di merata-rata tempat. Itulah skuter pertama diperkenalkan di Malaysia, jika anda tidak mengambil kira model Passola.
Nostalgia keseronokan tunggangan V100 yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu kini kembali terasa apabila saya menunggang produk terbaharu Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) iaitu Suzuki Nex. Kali ini, ia pasti lebih baik.
![]() |
| TEKNOLOGI CVT membolehkan perjalanan Nex lebih lancar dan sempurna. |
Nex dilengkapi enjin empat lejang sejukan udara bersesaran 113cc yang diadun bersama sistem transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT). Bagi melengkapkannya, sistem karburator jenis Mikumi BS22 dengan Sensor Posisi Pendikit (TPS) dipasang pada enjin berkenaan.
Beberapa komponen dipasang pada Nex untuk menjayakan keefisienan penggunaan petrol dan mengekang kehilangan kuasa enjin. Pertama, TPS memainkan tugas membantu penjimatan bahan bakar dan menjadikan penyampaian kuasa lebih berkesan.
Kedua, penggunaan roller rocker arm untuk mengurangkan kesan geseran. Inilah skuter pertama di ASEAN yang dilengkapi komponen tersebut. Ketiga, diameter cemat engkol (crank pin) dikecilkan kepada 25.1 milimeter (mm) berbanding 28mm sebelum ini.
Kombinasi pembaharuan komponen itu didakwa membolehkan Suzuki Nex mencatat pengunaan petrol dengan jarak 52 kilometer bagi setiap liter (km/l). Mungkin atas sebab itu, Nex dilengkapi tangki petrol yang berkapasiti kecil iaitu 3.5 liter sahaja.
![]() |
| RUANG simpanan untuk barangan kecil disediakan di bawah tempat duduk. |
Saya berpeluang menunggang uji Suzuki Nex selama seminggu. Model skuter baharu itu didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik iaitu merah jambu, hijau dan putih. Jentera itu sesuai untuk mereka yang mahukan keseronokan tunggangan atau penggunaan di kawasan bandar.
Sistem pengoperasiannya mudah. Masukkan kunci, tarik tuli brek pada sebelah kanan atau kiri hendal, tekan butang penghidup enjin dan pulas sahaja pendikit minyak untuk menggerakkannya.
Skuter itu agak lincah menyusuri kesesakan jalan raya, apatah lagi ketika mengemudinya ke arah kiri atau kanan jalan. Kelajuan maksimum yang berjaya diperah ialah 100 kilometer sejam (100km/j).
Meskipun beratnya hanya 87 kilogram, jentera itu sememangnya memberi kepuasan kepada saya untuk melayan selekoh pada kelajuan 60 hingga 80 km/j.
Kestabilan jentera yang dilengkapi rim berukuran 14 inci itu disokong menerusi titik graviti casis yang agak rendah. Ketinggian tempat duduk Nex ialah 735 milimeter (mm). Apa yang kurang menyenangkan saya ialah ruang tempat meletak kaki.
Ia agak sempit untuk kaki saya yang agak panjang. Sekiranya anda memiliki saiz kaki yang lebih pendek, ia tidak menjadi satu masalah besar. Tempat duduknya juga sedikit kecil dan membuatkan punggung kurang selesa ketika menunggang lama.
![]() |
| NEX sememangnya menawarkan penggunaan bahan api yang cekap tanpa menjejaskan prestasinya. |
Sistem suspensi hadapan jenis teleskopik dan belakang (jenis tunggal) memainkan tugas dengan baik. Ia tidak terlalu keras atau lembut. Bagi memberhentikan Nex, khidmat brek jenis cakera hadapan dan drum belakang digunakan.
Satu tangki penuh petrol membolehkan saya mencapai jarak perjalanan sejauh 110km. Kadar kelajuan tunggangan pula adalah antara 80 hingga 100km/j. Sememangnya jentera itu memberikan penjimatan petrol jika ditunggang secara berhemah.
Berhubung aspek pencahayaan sewaktu tunggangan malam, Nex yang ditawarkan pada harga RM4,218 (harga asas tidak termasuk insurans dan caj-caj lain) itu dikategorikan sebagai agak memuaskan.
Jika anda mahukan skuter mampu milik dengan prestasi yang munasabah, mungkin Suzuki Nex menepati keperluan itu. Apa yang pasti, produk itu ternyata menggamit semula memori V100.




No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: