|
DI Malaysia, nama Isuzu mungkin tidak terlalu gah berbanding pengeluar kenderaan dari Jepun yang lain. Di pasaran tempatan, nama Isuzu lebih berkisar kepada segmen trak pikap menerusi model D-Max, biarpun jenama itu turut dijual dalam bentuk kenderaan komersial seperti ELF dan FORWARD.
Biarpun begitu, jika dibesarkan skopnya ke skala global, Isuzu sebenarnya satu jenama yang cukup berpengaruh. Isuzu merupakan pengeluar kenderaan komersial nombor satu di Jepun dan berada di tangga kedua di dunia selepas Daimler dengan pengeluaran mencecah 252,000 unit setahun.
![]() |
| D-MAX menjadi pilihan pengguna di Malaysia kerana ia terbukti menjimatkan bahan api dan tahan lasak. |
Selaku pakar dalam menghasilkan kenderaan komersial dan enjin diesel, produknya boleh dilihat di serata ceruk dunia. Tidak percaya? Pada tahun 2009, Isuzu telah menghasilkan lebih 21 juta enjin diesel. Pelanggannya juga ramai. Ini termasuklah Renault, Nissan dan General Motors (GM).
Walaupun ia menghasilkan trak sejak tahun 1919, uniknya Isuzu juga pernah mengeluarkan model sedan dan kereta kompak. Antara model sedan yang sempat dikeluarkannya ialah Hillman (1961) Bellel (1961), Bellett (1963), Florian (1967), 117 Coupe (1968), Gemini (hasil kerjasama dengan GM) dan banyak lagi.
![]() |
| ISUZU GIGA dilengkapi enjin diesel turbo bersesaran 15.7 liter yang dipadankan dengan kotak gear automatik manual (AMT). |
Namun, sambutan terhadap produk itu tidaklah memberangsangkan. Justeru, Isuzu mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada produk utamanya (enjin diesel dan kenderaan komersial) dan tidak lagi mengeluarkan sedan dan kereta kompak.
Selari dengan perkembangan dan penerimaan terhadap produknya, kilang pengeluaran Isuzu berada di pasaran-pasaran utama. Tidak terhad di Jepun, Isuzu turut memiliki kilang di Amerika Syarikat (AS), China, Thailand dan Jerman.
Kejayaan yang dikecapi Isuzu sekarang banyak dipengaruhi oleh prinsip pengilangannya yang tidak berkompromi terhadap kualiti. Sistem yang dikenali sebagai Pengurusan Pengilangan Isuzu (Isuzu Manufacturing Management, IMM) itu dilaksanakan di semua kilang Isuzu di seluruh dunia, tidak terkecuali kilang utama Isuzu di Jepun, iaitu kilang Fujisawa.
Tahukah anda bahawa enjin dan kerangka sebuah kenderaan komersial melibatkan lebih 1,000 komponen? Jadi, demi mengelakkan berlakunya sebarang kecacatan, Isuzu telah mencipta satu sistem pemeriksaan dan kawalan kualiti yang amat ketat bagi memastikan alat-alat ganti yang rosak tidak akan sampai ke proses seterusnya.
Proses pengilangan fleksibel

Isuzu juga telah menerapkan konsep jaminan kualiti ke dalam diri para pekerjanya. Tidak cukup dengan itu, sekumpulan penyelia atau pemeriksa akan memantau seksyen-seksyen penting untuk menyokong proses pengurusan kualiti tersebut.
Kenderaan komersial memiliki pelbagai konfigurasi dan spesifikasi sebagaimana yang dikehendaki oleh setiap pelanggan. Maka, selaku pengeluar yang memiliki pengalaman luas, Isuzu berupaya memenuhi semua keperluan pelanggannya menerusi satu proses pengilangan yang fleksibel.
Maksudnya, satu saluran pengeluaran berupaya untuk menghasilkan berpuluh-puluh kenderaan dengan konfigurasi dan spesifikasi berbeza! Sekali fikir memang ia bukan mudah untuk direalisasikan, tetapi itulah yang mampu dilakukan oleh Isuzu.
Selaku pengeluar kenderaan komersial dan enjin diesel utama dunia, Isuzu juga amat mengambil berat terhadap alam sekitar. Ini bukan sekadar cakap kosong, tetapi hampir semua kilang Isuzu telah dianugerahkan piawaian ISO 14001.
Kilang-kilangnya berjaya mencapai matlamat sifar emisi dan kini sedang giat menjimatkan tenaga dan sumber alam.

Buktinya, ketika matlamat jangka panjangnya untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 30 peratus dari tahun 1990 hingga 2010, kilang-kilang Isuzu sudah berjaya mengurangkan emisi kepada 50 peratus pada tahun 2006.
Komitmen Isuzu terhadap masalah pemanasan global turut terserlah menerusi kenderaan dan enjin diesel yang mesra alam. Selain enjin diesel yang jimat, bersih dan bercekapan tinggi, Isuzu turut mengeluarkan kenderaan yang dikuasakan oleh gas asli mampat (CNG) dan mengaplikasikan teknologi hibrid.
Hasilnya, model ELF dan FORWARD dengan teknologi CNG telah dikeluarkan secara massa dan menguasai pasaran Jepun sebanyak 79 peratus pada tahun 2006.
ELF diesel hibrid pula menemui pengguna pada tahun 2005 dan menerima perubahan penuh dua tahun kemudian. Dengan enjin diesel kompak dan ringan, transmisi automatik mekanikal Smother Ex serta penggunaan bateri jenis lithium, jentera itu menawarkan ketahanan sebuah kenderaan komersial serta penjimatan bahan api yang mengagumkan.
Apa yang pasti, Isuzu tidak akan berhenti di sini. Ia akan terus menghasilkan kenderaan komersial dan enjin diesel termaju demi kelangsungan jenamanya serta rasa tanggungjawab kepada alam sekitar.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: