Sunday, August 26, 2012

Ismail pelukis prolifik

TERBAIK...Ismail ketika menghasilkan Sulalatus Salatin.
TERBAIK...Ismail ketika menghasilkan Sulalatus Salatin.

SENI yang membuku dalam diri anak kelahiran Kuala Terengganu ini sungguh tebal. Di kala usia menginjak 64 tahun, Ismail Embong tampaknya semakin ghairah dengan dunia seninya.

Pelukis profilik negara ini baru saja selesai dengan Pameran Sulalatus Salatin: Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang berlangsung di Balai Seni Visual Negara (BSVN), baru-baru ini.

  • Foto

    BERWIBAWA...Ismail pelukis prolifik negara.

  • Foto

    TUMPUAN...karya Sulalatus Salatin dihasilkan selama 12 tahun.

  • Foto

    MESRA...bersama anaknya, Fatimah yang kini mengikut jejaknya sebagai pelukis.

  • Foto

    HEBAT...Ismail mengiringi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim ketika pelancaran Pameran Sulalatus Salatin Empayar Kesultanan Melayu Melaka.

  • Foto

    KENANGAN...gambar lama Ismail (kanan) ketika menyambut Aidilfitri di England.

Pameran ini sebenarnya bukan sekadar pameran lukisan untuk menunjukkan kredibiliti beliau berkarya, sebaliknya ia juga memperlihatkan bagaimana perjalanan seni beliau sejak lebih 30 tahun.

Betapa tidak, Ismail menyiapkan 49 karya lukisan Sulalatus Salatin yang dipetik daripada karya klasik sejarah Melayu selenggaraan A Samad Ahmad itu dalam tempoh hampir 12 tahun sejak 2001.


Selama itu juga, beliau sanggup berkelana dengan sebuah van yang dijadikan studionya semata-mata mencari ilham untuk menyiapkan karya. Beliau menjelajah seluruh pelosok negara semata-mata untuk berkarya.


Beliau tidak pernah takut tidur di tepi pantai, gua atau lebuh raya dan sering bergerak dari utara ke selatan tanah air untuk mendapatkan ilham dan memindahkannya ke dada kanvas.

“Saya pernah tidur di kaki lima dekat A Famosa (Melaka), bahkan pernah melelapkan mata di tepi kuburan dengan van saya,” katanya sambil berseloroh.

Dalam dunia lukisan, Ismail obses dengan hasil seni berasaskan sejarah, selain turut dikenali dengan lukisannya yang berlanskapkan senario politik negara.

Kini, beliau dalam usaha menghasilkan karya lukisan berdasarkan Hikayat Hang Tuah pula, dan ia juga mungkin perlu disiapkan dalam tempoh lama.

“Begitulah perjalanan seni saya, ia bukan untuk sehari dua tapi satu tempoh panjang, barangkali sehingga akhir hayat saya.

“Untuk menghasilkan lukisan daripada Hikayat Hang Tuah, ia bakal menjadi perjalanan semula karier seni saya, mungkin ambil masa lama lagi, lima atau 10 tahun lagi jika panjang umur,” katanya.

Mengimbas perjalanan seninya, beliau yang menerima pendidikan di Kolej Seni dan Rekaan, England dalam bidang seni bina pada awal 1970 hanya mula bergiat secara aktif dalam dunia lukisan pada pertengahan 1980-an.

Selepas menamatkan pengajian, beliau mulanya berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) pada 1982, namun beliau mengambil keputusan menamatkan khidmatnya untuk mengabdikan diri dalam dunia lukisan.

Pada awal kariernya sebagai pelukis, Ismail melalui ranjau seni yang berliku, apatah lagi ketika itu beliau terpaksa menyara keluarga besar.

Ismail yang berkahwin dengan wanita berbangsa Inggeris, Yatimah Zainab dikurniakan 11 anak, dan sudah tentu tanggungjawab beliau terhadap keluarganya sangat besar.

“Selepas berhenti kerja dan tekad menjadi pelukis, saya tidak pandang ke belakang lagi. Rezeki ada di mana-mana.

“Saya percaya, meskipun terpaksa menanggung keluarga besar, ia bukan penghalang untuk saya terus berkarya dengan pendapatan yang tidak menentu,” katanya.

Ismail kini berpisah dengan isterinya, namun hubungan dengan anaknya masih rapat, malah seorang anaknya, Fatimah Rohani, 20, mengikut jejak beliau bergelar pelukis.

Sebelum ini, beliau pernah bergandingan dengan dua lagi anaknya, Nurul Aini, 22, dan Siti Aisyah, 15, bersama Fatimah menghasilkan Pameran Seni Lukis Ismail Embong dan Anak-anak: Raja-raja, Kerajaan, Rakyat.

Dalam satu pameran koleksi lukisannya pada 1999, beliau turut mempamerkan hasil lukisan enam anaknya ketika itu.

Fatimah paling aktif melukis ketika ini dan kebanyakan karya seninya dihasilkan dengan motif busana Melayu.

“Ema (Fatimah) paling suka bersama saya ketika melukis. Ketika usianya baru tiga tahun, dia sudah pandai melukis.

“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Saya gembira sebab Ema bagaikan kesinambungan diri saya dalam dunia lukisan, walaupun karya berbeza,” katanya.

Ismail berkata, semuanya anaknya tidak asing dengan dunia seni kerana selama membesar mereka ‘terdidik’ mengenali apa itu seni melalui kariernya sebagai pelukis.

“Sebilangan anak saya aktif dengan dunia seni, tidak semuanya sebagai pelukis tapi dalam bidang seni lain.

“Ada anak saya bergerak dalam seni drama dan filem serta bidang lakonan. Saya bangga dengan mereka, semua anak saya,” katanya.

Mengenai kelangsungan kariernya, setakat ini Ismail hanya mahu menumpukan usaha menghasilkan karya terbaru yang dirancangkannya, Hikayat Hang Tuah.

“Usaha ini belum bermula, tetapi saya membuat kajian lanjut mengenainya sejak sekian lama.

“Bergerak solo memudahkan saya untuk berkarya, tetapi saya hanya mahu hasilkan karya yang betul-betul bermakna di penghujung hidup saya,” katanya.

Sepanjang berkarya, beliau menghasilkan lebih 200 karya dan semuanya berkisar mengenai sejarah dan identiti Melayu. Beliau juga menghasilkan lukisan bermotifkan politik.


PROFIL

NAMA: Ismail Embong
UMUR: 64 tahun
ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu
KARIER: Pelukis dan pakar rujuk seni negara
PENDIDIKAN: Kolej Seni dan Rekaan di England dalam bidang seni bina
KARYA TERKENAL: Sulalatus Salatin: Empayar Kesultanan Melayu Melaka
ANAK: 11 orang

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: