Sunday, August 26, 2012

Air mata di puncak Elbrus

MENCABAR...peserta meredah salji ketika mendaki Gunung Elbrus.
MENCABAR...peserta meredah salji ketika mendaki Gunung Elbrus.

GUNUNG Elbrus di Russia dengan ketinggian 5,642 meter dari paras laut adalah gunung tertinggi di benua Eropah. Terletak di Banjaran Caucasus dalam wilayah Kabardino-Balkaria, gunung ini diliputi salji sepanjang tahun pada suhu purata -20 darjah Celsius.

Walaupun tinggi dan sejuk, ia tidak mematahkan semangat sekumpulan 19 pendaki Malaysia diketuai Muhammad Muqharabbin Mokhtharuddin atau Qobin dalam misi menamatkan ‘Ekspedisi Tujuh Puncak, Tujuh Benua, Tujuh Nilai’.

  • Foto

  • Foto

    KAMI BOLEH!...bergambar di puncak Elbrus.

  • Foto

    SEMANGAT...peserta bergambar sebelum memulakan misi.

  • Foto

    CANTIK...menaiki kereta kabel sebelum pendakian bermula.

  • Foto

    BANGGA...penulis (kiri) memegang sepanduk Harian Metro bersama Qobin.

  • Foto

    KEBANGGAAN...Qobin memegang Jalur Gemilang sejurus menawan puncak Elbrus.

Penulis yang mewakili Harian Metro turut serta dalam ekspedisi menawan puncak tertinggi gunung itu pada 7 hingga 21 Jun lalu.

Ternyata pendakian itu tidak semudah disangka, malah memerlukan semangat kental serta kekuatan fizikal dan mental luar biasa. Latihan dan stamina mencukupi tentunya sangat penting untuk berdepan cabaran dalam iklim dan bentuk muka bumi berbeza itu.


Justeru, penulis turut bersama pendaki lain menjalani latihan menyesuaikan diri selama empat hari dengan mendaki beberapa gunung lain di negara berkenaan iaitu Gunung Cheget pada ketinggian 2,750 meter, Gunung Terskol (3,000 meter) dan Pastukhov’s Rocks (4,800 meter).


Latihan mendaki menggunakan but mendaki, campron (tapak besi untuk kasut) dan disusuli ramalan cuaca. Melalui ramalan cuaca, 13 Jun hari paling baik untuk pendakian kerana cuacanya cerah manakala angin bertiup perlahan. Kami bersetuju memulakan pendakian pada malam itu.


2 pagi

Kami bersiap sedia untuk mendaki dengan dibahagi kepada dua kumpulan. Daripada 19 orang dalam pasukan pendakian, hanya 16 bersedia mendaki kerana yang lain mengalami masalah kesihatan. Kumpulan pertama bergerak tepat jam 3 pagi, manakala kumpulan kedua sejam kemudian dengan menaiki ‘snowcats’ ke paras 4,800 meter.


5 pagi

Kami diberi sedikit maklumat oleh Qobin mengenai pendakian yang bakal ditempuh. Penulis berada di kelompok depan bersama jurupandu Jima, Qobin, Siti Hanisah dan Suzana, manakala yang lain berada di kelompok bawah bergerak dalam suhu sangat dingin.

Mendaki menggunakan but mendaki, campron, kapak ais, tongkat dengan pakaian tebal memang asing bagi kami. Pada permulaan pendakian, setiap 20 langkah kami terpaksa berhenti kerana terlalu penat, tambahan pula keadaan udara sangat nipis.


7 pagi

Selepas hampir dua jam mendaki, kami diberitahu bahawa beberapa pendaki mengalami masalah kesihatan dan terpaksa bergerak turun bersama jurupandu masing-masing. Kini hanya tinggal 14 pendaki meneruskan pendakian ke paras 5,000 meter.

Hari bertambah cerah dan matahari mula bersinar, sekali gus lebih mudah untuk kami mendaki. Nun jauh di pandangan terpacak dua puncak Gunung Elbrus timur dan barat. Setiap langkah diatur terasa semakin hampir, tetapi ia terlalu jauh untuk ditawan.


9 pagi

Penulis hampir jatuh beberapa kali akibat permukaan salji yang rapuh apabila dipijak. Kaki semakin lenguh kerana menanggung berat but dan campron, manakala tekak semakin kering dan perut bertambah lapar.

Sinaran matahari yang terik menambah lagi seksaan pendakian. Walaupun begitu, semangat tetap membara untuk menawan gunung Elbrus yang dicuba kali kedua oleh Qobin.


10 pagi

Jima meminta kami berehat seketika. Kami mengambil kesempatan menghilangkan dahaga dan mengalas perut sambil menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa. Indah sungguh alam ini.

Tiba-tiba kami dikejutkan Jima. Dia memaklumkan Qobin bahawa hanya enam pendaki dibenar meneruskan pendakian, iaitu Qobin, Siti Hanisah, Suzana, Haizal, Machdie dan penulis. Mereka yang lain diarah turun.

Qobin terpaksa berbincang dengan Jima dan akhirnya mengarahkan Zainudin dan Muhammad Illaham meneruskan pendakian walaupun Jima kurang setuju. Saya berfikir sejenak, mungkin faktor masa membuatkan Jima berbuat demikian.


12 tengah hari

Pendakian mudah ketika ini kerana bergerak di lereng gunung, tetapi risikonya terlalu tinggi kerana di sebelah kiri pendakian cerunnya sangat curam. Hati penulis terasa lega kerana dari jauh sudah kelihatan puncak gunung Elbrus.

Semangat kian membara walaupun kudrat setengah mati. Kami berehat sejenak di Saddle Rock pada ketinggian 5,300 meter. Di belakang, Zainudin, Suzana dan Muhammad Illaham masih mengerah tenaga untuk tiba di Saddle Rock.

Melihat wajah Qobin dan pendaki lain, ternyata mereka kelihatan teramat penat dan keliru, tetapi penuh semangat.

Air diteguk, coklat dimamah. Nafas disedut dalam-dalam, muka sudah rentung dijilat terik matahari, kaki dilurus untuk menghilangkan lenguh, badan disandar beralaskan salji dan mata terlelap seketika sambil memeluk kapak ais dan tongkat.

Tiba-tiba Jima memecah kesunyian mengarahkan semua pendaki turun tanpa alasan. Qobin tersentak dengan arahan itu. Beliau termenung sejenak dan berkata kepada Jima: “Kami akan pergi ke atas, awak yang turun. Saya sudah ambil risiko tiga kali. Ini percubaan ketiga, tak mahu lagi kali keempat!”

Kami tergamam. Jima dengan muka serius tidak berkata apa-apa. Sebaik Zainudin tahu mengenai perkara itu, dia dengan penuh semangat mengarahkan kami meneruskan pendakian. Setelah berbincang, kami meneruskan pendakian walaupun tanpa Jima.

Kami terus mendaki dengan penuh semangat dalam satu kumpulan. Hampir 300 meter kami bergerak, beberapa pendaki menghadapi masalah dengan campron dan pening kepala, manakala seorang pendaki tergelincir jatuh ke lereng curam, tetapi bernasib baik kerana rakan pendaki bertindak pantas menyelamatkannya.


2 petang

Di kiri kanan pergunungan Elbrus, awan hitam bergerak menuju ke puncak. Bahaya meneruskan pendakian kerana pada bila-bila masa kami akan dilanda ribut salji, tetapi semuanya perlu ditempuhi. Pergerakan kami bertambah perlahan apabila mencapai ketinggian 5,500 meter.

Haizal, Qobin dan penulis terus memerah tenaga bagi menawan puncak Elbrus dalam kumpulan pertama. Alhamdulillah, tepat jam 2.45 petang waktu Russia, kami dari kumpulan pertama berjaya menjejakkan kaki di puncak Elbrus.

Qobin terus melaungkan azan sambil menangis teresak-esak. Penulis yang tercegat di depannya turut mengalirkan air mata tanda syukur kepada Allah kerana berjaya menawan puncak tertinggi di benua Eropah.

Jalur Gemilang berkibar megah di puncak Elbrus. Kami melaungkan “Malaysia Boleh!” Kami turut mengambil kesempatan merakam detik manis berada di puncak Elbrus.

Tiba-tiba berlaku satu kejadian aneh, awan yang berarak sebelum ini menuju puncak berhenti seketika, seolah-olah turut sama meraikan kejayaan kami menawan puncak Elbrus.

Kumpulan kedua tiba 15 minit kemudian. Siti Hanisah, Zainudin dan Machdie tiba terlebih dulu, disusuli Suzana dan Muhammad Illaham.


3 petang

Dengan suhu mencecah -15 darjah Celsius, kami hanya berada di puncak selama 30 minit sebelum terpaksa bergerak turun.

Ketika melewati Saddle Rock, awan hitam melitupi pergunungan Elbrus diikuti angin kencang seketika sebelum ribut salji melanda. Kami terpaksa meneruskan perjalanan turun kerana bimbang terperangkap dalam cuaca lebih buruk.

Alhamdulillah, semua pendaki selamat tiba di Barrel Hut, tempat penginapan kami, dengan sambutan tepukan gemuruh dan ucapan tahniah daripada rakan pendaki senegara dan asing.

Cabaran selama 10 jam mendaki dan lima jam turun dari puncak itu pengalaman paling sukar dilupakan.

Dengan air mata, darah, keringat dan kudrat yang mengalir berdepan keadaan cuaca ekstrem, kami berjaya melakukannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: