Wednesday, August 22, 2012

Insaf setelah sakit

KESETIAAN isteri kepada suami, tidak boleh dipersoalkan kecuali ada kes-kes terpencil isteri sanggup menduakan suami. Itupun mungkin hatinya telah hancur tertipu oleh suami. Macam saya, berbelas tahun berkorban, akhirnya ditipu suami yang menyimpan kekasih gelap.'' Itu cerita Noorizani dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang.

''Walaupun perkahwinan saya awalnya tidak direstui ibu bapa kerana perangai suami saya Harry kurang sopan, atas desakan saya, mereka akur. Dalam waktu sama, ibu bapa Harry pun tak sukakan saya sebab mereka sudah ada calon dan takut saya membolot wang ringgitnya.

''Ibu bapa Harry izinkan kami nikah dengan syarat mesti tinggal di rumahnya. Dua tahun saya bersabar, lepas itu saya nekad cari rumah sewa. Bukan memilih tapi saya tak sanggup tinggal di rumah kecil dengan sembilan adik beradik Harry, tak termasuk ibu bapanya.

''Kerana ingin ringankan beban suami, saya minta dia bayar ansuran kereta, sewa rumah, bil air dan letrik, yang lain semua saya pikul. Makan minum, upah pengasuh anak, duit tadika dan tambang bas.

''Habis hutang kereta saya fikir Harry akan bantu tapi dia kata itu bukan tugasnya. Bila ada duit lebih, bukan dia nak simpan tetapi enjoy. Oleh kerana saya sibuk menguruskan rumah, anak-anak selain membantu mereka belajar, saya tak ambil kisah setiap kali dia kata nak keluar jumpa kawan-kawan. Masa berlalu membuatkan Harry bebas bagaikan burung terbang.

''Bila anak-anak semakin membesar dan saya sedikit lapang, saya perasan gaya hidup Harry banyak berubah. Pada 2007 saya syak Harry ada kekasih gelap. Itu pun bila anak terbaca SMS dalam telefon Harry.

''Anak saya hairan di skrin telefon keluar nama lelaki Karl tetapi SMS itu berbau cinta, rindu, ajak Harry segera ke rumahnya. Saya pun biasa lihat nama tersebut di telefonnya, tetapi fikirkan lelaki saya tak ambil kisah. Takkan suami saya gay? Puas saya desak Harry, akhirnya dia mengaku Karl singkatan Kartini. Ibu tunggal tiga anak berumur 40 tahun. Namun Harry dakwa dia kawan biasa.

''Saya tak yakin lalu cari jawapan sendiri. Saya dapati Harry selalu gunakan kad kredit. Saya selidik bilnya - makan di hotel, beli beg tangan, kasut, pergi Jakel, membeli-belah barang keperluan dapur di Tesco. Tapi sejak kahwin Harry tak pernah keluar duit untuk beli barang makan kami anak beranak, beli beg tangan saya atau sebagainya. Jadi ke mana barang tersebut? Untuk siapa?

''Bila Harry tertinggal telefon saya hantar SMS tanya apa hubungannya dengan Harry. Dia tak jawab. Tapi bila saya hantar SMS guna telefon saya, dia jawab. Katanya kalau nak tahu siapa dia, tanyalah B (Harry). Katanya lagi, dia hendak tumpang kasih yang berlebihan dan menutup mana yang kurang, katanya dia tak pernah jumpa lelaki sebaik Harry.

''Bila balik saya desak lagi Harry supaya bercerita, dia mengaku hendak berkahwin dengan janda tersebut. Alasannya kesian janda tu anak yatim. Macam nak putus jantung saya. Anak yatim? Kalau anak yatim saya pun akan bantu. Tapi janda tu dah tua dekat sebaya saya dan bekerja? Saya sedih dia tak pernah kesiankan saya yang berkorban lebih 20 tahun untuknya. Dia sanggup beri anak orang makan, anak sendiri suruh saya tanggung.

''Tak cukupkah pengorbanan dan layanan saya selama ini? Nak makan nasi mesti disenduk ke pinggan, dicedokkan lauk pauk untuknya. Itu bukan layanan ke? Sejak kisah cintanya terbongkar, dia tak makan di rumah, minum teh waktu sarapan pun dia tolak, takut saya mandrem.

''Saya ceritakan halnya pada mertua tapi Harry lebih dulu burukkan saya, katanya saya suka baca SMS dia, suka buka dompetnya dan periksa semua panggilan telefonnya. Jadi tentu emaknya tak percayakan saya. Hubungan kami sentiasa tegang tapi dia tak mahu ceraikan saya.

''Anak saya pernah nampak kereta mewah ayahnya penuh makanan ringan bertaburan, tisu dan barang mainan. Sedangkan mereka tahu ayah mereka tak suka keretanya kotor.

''Sejak skandal Harry terbongkar Karl sentiasa hantar SMS mengutuk saya. Dia uji saya dengan letakkan tisu kesan gincu dalam kereta, tanda pada kolar baju Harry. Walau pelbagai cara dilakukan, saya masih tak bergaduh dengan Harry dan tidak diceraikan. Karl hantar gambar dia berpeluk dengan Harry dan surat layang mengutuk saya, bukan sekali tapi tiga kali. Dia gunakan nama orang lain. Semua surat dan gambar saya tunjuk pada Harry. Harry tuduh orang buat fitnah tapi saya bukan bodoh.

''Ada gambar dia poskan, ada yang diselit celah pintu rumah. Kali ketiga dia ketuk pintu rumah pukul 2 pagi. Anak saya belum tidur dia buka pintu dan nampak gambar itu.

''Oleh kerana dia berani masuk ke pekarangan rumah saya tengah malam, saya beritahu mertua bahawa saya akan buat laporan polis. Manalah tahu kerana tak dapat kahwin dia simbah asid ke muka kami. Saya beritahu mertua, saya rela bercerai daripada bermadu dengan wanita separuh gila seperti ini.

''Selepas peristiwa itu Harry dan Karl bergaduh besar. Tak tahu apa kesudahannya tapi yang jelas Harry jual kereta mewah kesayangannya. Dia tak ada masalah ke tempat kerja kerana ada motor. Kereta mewah untuk dia bertandang rumah kekasih.

''Walaupun peristiwa ini sudah lama berlalu, tetapi kenangan hitam tetap kekal di hati saya. Lebih menyakitkan bila teringatkan sikap mertua yang memenangkan anaknya dan salahkan saya dalam kes tersebut. Namun Allah maha besar, peristiwa sama terkena ipar saya, yang akhirnya bercerai.

''Kini rumah tangga saya aman sedikit kerana Harry jatuh sakit. Sejak itu dia insaf. Dua minggu dia terlantar di hospital kerana tekanan darah tinggi. Nasib tak kena strok. Baru Harry sedar siapa yang membantunya selama ini. Siapa di sisinya ketika dia susah.

"Saya semakin takut dengan ujian Allah. Pada saya inilah balasan orang yang menganiaya saya. Kata Harry dia tak mahu kahwin dengan janda itu sebab tak mahu bela anak orang. Setelah jatuh sakit baru dia sedar diri.

''Biarpun peristiwa pahit itu telah lama berlaku, bukan mudah untuk saya lupakan. Perbuatannya mengikis kepercayaan dan kasih sayang yang saya curahkan selama 24 tahun hidup bersamanya.'' Demikian cerita Noorizani. Selamat hari raya, maaf zahir batin kepada pembaca semua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: