Monday, August 27, 2012

Elak bazir makanan

Amalkan pendekatan mengadakan jamuan secara bersederhana ketika mengadakan rumah terbuka bagi mengelakkan pembaziran. - Gambar hiasan.

HENDAK buat atau tidak rumah terbuka tahun ini? Saudara mara pula sudah asyik bertanya untuk bertandang beramai-ramai waktu hari raya nanti."

Itu antara persoalan yang seringkali timbul terutamanya semasa dalam bulan Syawal.

Runsing apabila memikirkan jumlah tetamu yang akan dijemput, kuantiti makanan yang hendak dimasak dan yang paling penting ialah bajet untuk menampung keseluruhan kos rumah terbuka.

Sepanjang bulan Syawal, kita disarankan untuk mengeratkan ukhuwah di antara umat Islam dengan saling kunjung-mengunjungi, bermaafan dan beramah mesra serta memuliakan para tetamu yang datang ke rumah.

Begitu juga bagi mereka yang ingin mengadakan majlis rumah terbuka dengan mengelakkan sebarang unsur pembaziran ketika mengadakan jamuan keraian berkenaan.

Menurut Pengurus Hidayah Maju Catering, Lela Zamzam, 53, menyenaraikan jumlah tetamu yang akan hadir sangat penting untuk mengetahui jumlah makanan yang akan disediakan.

Tambahan pula katanya, ketika bulan itu ramai di kalangan kita yang mengadakan jamuan yang sama dan sudah tentu jemputan yang datang tidak akan dapat makan dengan banyak ataupun tidak datang memenuhi jemputan.

"Sekiranya tuan rumah mengambil pendekatan bersederhana, makanan yang dihidangkan walaupun banyak dapat dikurangkan bajetnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Selain itu katanya, bagi suri rumah yang baru pertama kali mahu mengadakan majlis rumah terbuka, paling penting sekali mereka harus menetapkan jumlah menu yang kecil merangkumi dua hidangan berat dan satu hidangan ringan.

Contohnya menjamu tetamu dengan set nasi beriani atau nasi ayam. Manakala bagi hidangan ringan pula pencuci mulut seperti puding, kuih karipap, donat atau buah-buahan boleh dihidangkan.

"Nasi beriani dan nasi ayam adalah lebih mudah kerana ia ada set sendiri dan tidak memerlukan banyak lauk. Satu lauk dan sayur (acar) sudah cukup melengkapkan set hidangan tersebut," kata Lela.

Bagaimanapun, Lela menasihatkan tuan rumah supaya tidak menyediakan menu yang terlalu berlebih-lebihan.

Cukuplah sekadar dapat mengenyangkan tetamu, memeriahkan suasana dan menyerikan meja.

''Paling penting menu yang disediakan mampu menaikkan selera para tetamu. Tidak dinafikan bahawa sesetengah individu mahu menyediakan pelbagai menu sampingan seperti lemang, ketupat dan sebagainya.

"Namun begitu, faktor menganggarkan jumlah makanan wajib dipandang 'serius' untuk mengelakkan pembaziran yang melampau," katanya.

Tambah Lela lagi, menu-menu yang dipilih tidak perlu menggunakan bahan-bahan yang mahal malah disarankan untuk menggunakan bahan-bahan tempatan yang lebih murah.

"Jika ada bahan yang mahal dalam resipi sajian, anda boleh mengubah suai resipi tersebut mengikut kreativiti sendiri dengan bahan yang lebih murah," katanya.

Seterusnya Lela menambah, mengenai pemilihan kualiti bahan mentah dia meminta pengguna tidak mudah tertipu dengan muslihat sesetengah peniaga yang menipu pelanggan menjual barangan dengan kualiti yang rendah.

Ini untuk mengelakkan daripada bahan-bahan yang dimasak tadi tidak akan mudah rosak, menyebabkan ia tidak dijamah oleh tetamu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: