Monday, August 27, 2012

Dana untuk anak istimewa

Kanak-kanak istimewa turut dihiburkan dengan badut pada majlis penyerahan sumbangan Open Minds di Kuala Lumpur , baru-baru ini.

GOLONGAN kurang bernasib baik di negara ini sememangnya tidak pernah dilupakan apatah lagi jika ia membabitkan kanak-kanak dan pendidikan.

Berkongsi semangat tersebut Procter & Gamble (P&G) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diberi nama Open Minds baru-baru ini telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada golongan kurang upaya.

Dana tersebut dikumpul melalui kempen Sumbangan Ilmu yang dilakukan dengan kerjasama pasar raya besar Giant dan Guardian.

Dana itu diagihkan kepada lapan pusat kanak-kanak iaitu Persatuan Kanak-kanak Istimewa Ampang; Tasputra Perkim; Persatuan Kanak-kanak Istimewa Kajang; Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang; Persatuan untuk Insan Bermasalah Intelektual Perak; Persatuan bagi Kanak-kanak Kerencatan Akal Johor; Pusat Seri Mengasih Sabah dan Pusat Autisme Kuching.

Masing-masing menerima RM25,000 yang bakal digunakan untuk latihan dan terapi kanak-kanak istimewa terbabit.

Sumbangan disampaikan kepada wakil rumah-rumah kebajikan berkenaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif P&G, Malaysia & Singapura, Ellie Xie dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Ho Mun Ha dan Pengurus Besar Merchandising Guardian Pharmacy, Soon Ai Lan.

Sementara itu Presiden Tasputra Perkim, Elahe Norman gembira dengan sumbangan tersebut yang boleh dimanfaatkan untuk kanak-kanak istimewa.

"Dengan bantuan daripada syarikat korporat ini, kita boleh memajukan program terapi percakapan yang sangat-sangat diperlukan oleh anak-anak," katanya.

Menurut Elahe, biarpun keadaan diri kanak-kanak terbabit serba kurang, tetapi ia tidak mematahkan semangat mereka untuk belajar.

"Mereka mempunyai jiwa yang kental untuk mempelajari sesuatu yang baru walaupun dalam keadaan fizikal terbatas," katanya.

Presiden Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang, Ng Fook On berkata, usaha bersepadu itu dapat membantu meringankan beban kewangan pusat terbabit.

"Saya sangat menghargai usaha ini kerana ia memberikan harapan dan kegembiraan kepada kanak-kanak dengan istimewa ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: