Wednesday, August 22, 2012

Close up bersama Fatin Liyana

BLOGGER Pilihan .com pada kali ini bukan calang-calang orang, kerana sekitar Mac lalu, gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu telah memenangi Anugerah Penulis Blog dan Media Sosial 2012 untuk kategori Blog Selebriti Terbaik.

Bayangkan, semenjak blog peribadi milik Nur Fatin Liyana Asri atau lebih mesra dengan panggilan Fatin, 23, dibuka pada 2009 ia telah menunjukkan paparan skrin atau pageview sebanyak 13.4 juta pembaca sehingga Isnin lalu.

Jadi tidak hairanlah, pelajar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu kini digelar blogger selebriti tanah air biarpun pada awalnya dia hanya menulis blog untuk berkongsi tentang suka duka hidup di perantauan.

Pada pertemuan singkat di Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini, .com telah berkesempatan mencungkil beberapa rahsia pemilik blog http://honeykoyuki.blogspot.com yang tidak didedahkan kepada pengikut-pengikut setianya selama ini.

Anak kedua daripada empat adik-beradik ini juga berkongsi cerita persiapannya menyambut 1 Syawal kali ini. - LYNN / AMIN FARIJ HASAN & NADZIRAH

.COM: Ceritakan mengenai idea untuk membuat blog?

FATIN LIYANA: Pada mulanya, saya sekadar mahu menulis diari tentang kehidupan sebagai pelajar di Bandung, Indonesia tetapi apabila menyedari tulisan tangan saya agak buruk, niat untuk menulis diari terpaksa dilupakan. Bagaimanapun, salah seorang sahabat karib saya mencadangkan agar saya menulis blog dan terciptalah blog yang bernama 'honeykoyuki'.

Perangai pelik yang tidak diketahui pengikut-pengikut blog…

Baik buku, drama atau filem saya lebih cenderung membaca atau menontonnya sekiranya mengandungi genre misteri, teori konspirasi atau kisah pembunuhan tapi yang paling penting, ia adalah berdasarkan kisah sebenar. Sebabnya, jika saya berasa sangsi tentang kes tersebut saya akan terus membuat carian di Google hingga ke akar umbinya. Apabila mula membuat carian di Internet, saya boleh leka hingga dua atau tiga hari dan hanya akan berhenti, setelah berasa puas dengan maklumat yang diperolehi.

Apakah cita-cita Fatin semasa kecil?

Percaya tak, semenjak kecil saya sebenarnya tidak mempunyai cita-cita. Kalau orang tanya mengenai cita-cita, saya akan berikan macam-macam jawapan. Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berada dalam dilema kerana tidak tahu nak buat apa pada masa hadapan. Ada kalanya, saya terfikir untuk bekerja sahaja di kedai perkakas milik ibu sahaja. Ketika berada di matrikulasi barulah saya yakin bidang perubatan itu sebenarnya telah ditakdirkan untuk saya. Sebenarnya, semasa di matrukulasi saya tidak suka mata pelajaran biologi tetapi disebabkan guru yang mengajar itu sangat garang, saya jadi pelajar yang rajin. Lama-kelamaan, saya jatuh cinta dengannya!

Persiapan Syawal Fatin?

Sebenarnya, sudah tiga tahun berturut-turut pakaian raya saya abah yang belikan. Maknanya, sudah tiga tahun juga pakaian raya saya sedondon dengan ibu. Kesibukan menghadiri kuliah membuatkan saya kesuntukan masa untuk membuat persiapan hari raya. Melihatkan keadaan itu, abah dengan rela hati membelikan pakaian saya. Apabila makin dewasa ini, saya menjadi tidak kisah tenang persiapan raya. Apa yang ada, saya akan pakai sahaja. Tapi semenjak blog 'honeykoyuki' dikenali ramai, selalu juga pakaian raya saya mendapat tajaan. Bagaimanapun pada Syawal kali ini, saya begitu teruja untuk membuat kuih raya sendiri memandangkan pada tahun lalu, saya langsung tidak 'enjoy' beraya kerana dibebani dengan tugasan.

Ucapan untuk pengikut-pengikut blog Fatin…

Buat pengikut-pengikut blog 'honeykoyuki', saya ingin mengucapkan selamat hari raya. Di kesempatan ini, saya ingin menyusun 10 jari memohon maaf sekiranya ada penulisan saya selama ini yang melukakan hati mana-mana pihak. Selamat hari raya! Berhati-hati ketika memandu, ingatlah orang tersayang… ;)

Penghargaan:

Pakaian ditaja oleh Arlene Boutique (www.arlene.my)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: