Tuesday, May 18, 2010

Zuriat melalui ICSI


Dr. Zainul Rashid mendukung LKY, bayi ICSI pertama.


Eh, masih berdua lagi, bila nak bertiga?" Itu mungkin antara soalan lazim yang ditujukan kepada pasangan yang telah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata.

Bagi sesetengah pasangan, soalan tersebut hanya gurauan, namun ada juga yang menerimanya sebagai sindiran pahit kerana dianggap cuba mempersoalkan keupayaan mereka dalam mendapatkan zuriat.

Malah di kalangan masyarakat Melayu, situasi seperti itu akan terus dikaitkan dengan ketidaksuburan atau dalam bahasa agak kurang enak, mandul, sama ada si isteri mahupun si suami.

Membincangkan persoalan ini, Ketua Pusat Fertiliti Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Zainul Rashid Mohamad Razi memberitahu, banyak faktor yang boleh menyebabkan pasangan suami isteri sukar atau gagal untuk mendapatkan zuriat walaupun sudah bertahun-tahun berumah tangga.

"Dalam situasi tersebut selalunya kesalahan akan dituju kepada isteri yang dituduh tidak subur dan sebagainya.

"Sedangkan suami juga sebenarnya memikul tanggungjawab apabila sistem reproduktifnya tidak berfungsi dengan sepatutnya,'' kata beliau pada majlis memperkenalkan bayi melalui kaedah suntikan sperma (ICSI: Intracytoplasmic Sperm Injection), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zainul Rashid menambah, jumlah lelaki yang mengalami masalah reproduktif semakin meningkat bukan saja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Namun katanya, ia boleh diatasi melalui rawatan-rawatan terbaru bagi membantu masalah kesuburan lelaki.

"Dengan ledakan teknologi yang semakin canggih, kita boleh membantu lelaki ini untuk menghasilkan benih asalkan mempunyai sperma yang aktif.

"Kaedah ini yang dipanggil suntikan sperma secara intracytoplasmic (ICSI) di mana ia lebih sesuai bagi lelaki yang tidak mengeluarkan banyak sperma hidup,'' katanya.

Kata Zainul Rashid, melalui kaedah perubatan ini, kebiasaannya sperma suami akan di sedut keluar dari testis menggunakan satu alat atau diambil melalui pembedahan.

"Sperma aktif tersebut kemudiannya di masukkan terus ke dalam ovum isteri selepas 'diramkan' selama 24 jam di mana akan membentuk beberapa embrio,'' katanya.

Bagaimanapun, sperma dan telur yang diambil daripada pasangan yang menerima rawatan itu juga boleh dibekukan terutamanya bagi mereka yang hanya mengeluarkan jumlah sperma yang sedikit.

"Kita akan memilih sekitar tiga embrio untuk disuntik ke dalam rahim isteri bagi memberikannya lebih peratusan untuk hamil jika dua lagi embrio yang dipilih tidak hidup,'' ujarnya.

Melalui kaedah tersebut katanya, ia boleh membantu pasangan yang sukar mendapat anak.

Pada majlis tersebut, beliau turut memperkenalkan seorang bayi yang berusia setahun hasil daripada kaedah rawatan tersebut.

"Dalam situasi ini, bapa bayi ini yang berusia 30 tahun tidak dapat menghasilkan benih akibat kerosakan sistem reproduktif secara semula jadi.

"Dengan menggunakan kaedah tersebut, kami berjaya mengambil sperma secara mikroskopik dari tisu reproduktif pesakit ini sebelum di pindahkan ke rahim isterinya," katanya.

Bayi yang hanya dikenali LKY itu merupakan bayi ICSI pertama di lahirkan di Malaysia melalui kaedah rawatan itu.

"Bayi LKY ini bukanlah kejayaan pertama kami tetapi yang ketiga dan setakat ini dia disahkan sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi,'' jelasnya yang mempelajari rawatan tersebut di Universiti Nottingham, UK.

Zainul Rashid menjelaskan, keadaan kesihatan bayi LKY itu juga sangat baik selepas satu tahun dilahirkan.

Terdahulu, dua warga asing daripada Namibia dan Somalia telah mencuba kaedah ini dan berjaya mendapatkan anak.

Ditanya mengenai kos rawatan, Dr. Zainul Rashid menjelaskan bagi rawatan tersebut kos yang diperlukan adalah sekitar RM10,000 hingga RM14,000.

"Walaupun kos agak tinggi, peratus kejayaannya juga tinggi sekali gus memberi harapan kepada pasangan suami isteri yang sukar untuk mendapatkan anak," katanya.

Malah terangnya lagi, peratusan kejayaan ICSI juga adalah lebih tinggi berbanding menggunakan kaedah tabung uji ataupun persenyawaan in-vitro (IVF).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: