Monday, May 17, 2010

Tunggu masa untuk berkahwin


ROSSA menanti waktu dan masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.


PERTEMUAN dengan penyanyi wanita dari seberang ini baru-baru ini memang berbeza daripada sebelumnya.

Manakan tidak, canda tawa dan bahasa tubuh si genit bernama Rossa ini sudah cukup menggambarkan dia begitu asyik dengan dunia cinta barunya.

Jari-jemari halusnya itu juga tidak henti-henti mengetik Blackberry sehinggakan perbualan kami terhenti seketika bagi memberi laluan kepada Rossa melayan perasaannya.

Ketika itu jugalah, wajah comelnya itu cukup berseri-seri dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

Saat diusik tentang dunia cintanya masa ini, dengan pantas Rossa ketawa besar dan wajahnya terus bertukar merah padam.

"Usahlah bicara soal cinta. Bukan sengaja mahu mengelak tetapi hubungan kami masih baru," katanya ringkas dan memberi petanda tidak mahu soal cinta dibangkitkan dalam pertemuan kami petang itu.

Mahu atau tidak, akhirnya Rossa mengalah juga dengan permintaan kami selepas dipujuk untuk mengulas tentang perjalanan cinta barunya.

Namun, bukan semua yang mahu dan sudi dikongsi Rossa kerana dia memang tidak mahu berlebih-lebihan menjaja cerita cintanya.

Katanya, biarlah jalinan cinta itu benar-benar disimpul rapi sebelum dia mahu berkongsi lebih dengan masyarakat tentang kisah cintanya.

Melihat diri Rossa petang itu, memang wajar dan sudah tiba masanya dia mengecapi nikmat cinta setelah hidupnya diuliti lara dan duka yang benar-benar menghancurkan hati wanitanya.

Bukan mudah baginya untuk menerima cinta baru dalam hidupnya selepas apa yang berlaku tetapi Rossa tidak mahu semua itu menutup peluang untuk mencari kebahagiaan yang baru.

Dengan penuh optimis Rossa memberitahu tidak pernah timbul perasaan serik atau trauma untuk mencari cinta baru selepas gagal dalam perkahwinan pertamanya.

Cuma kadang-kala dia terfikir adakah dengan statusnya sebagai seorang ibu tunggal mampu memikat hati jejaka di luar sana untuk menerima dirinya seadanya.

Memahami jiwa

Ternyata, Allah SWT telah menemukan dirinya dengan sang arjuna yang tidak kisah tentang soal status yang membuatkan Rossa semakin selesa berdampingan dengan jejaka pilihannya yang merupakan seorang ahli perniagaan itu.

"Hubungan saya dengan teman baru ini berjalan dengan lancar dan setakat ini hubungan kami tiada masalah.

"Sebenarnya, kami sudah lama kenal menerusi kenalan kami tetapi cuma, beberapa bulan kebelakangan ini sahaja hubungan itu menjadi lebih serius.

"Apa yang boleh saya katakan dia memang memahami jiwa dan minat saya serta menyokong penuh apa yang saya lakukan," ujar Rossa menggambarkan hubungan cintanya yang baru itu.

Adakah si dia akan berkunjung ke Malaysia pada 29 Mei ini untuk menonton konsert sulungnya di negara ini? Sambil ketawa Rossa berkata: "Insya-Allah dia akan datang nanti."

Ditebak soal perkahwinan dan alam rumah tangga, Rossa dengan tegas memberitahu perkara itu tiada dalam agenda hidupnya buat masa ini.

Katanya, dia lebih selesa untuk berkawan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan zaman janda.

Malah, jelasnya, dia dan teman lelakinya itu belum lagi memikirkan tentang perkahwinan kerana masing-masing tidak mahu terburu-buru.

"Saya menyerahkan semuanya kepada takdir dan saya amat percaya kepada ketentuan Allah SWT yang telah menetapkan hidup hamba-Nya.

"Membicara soal perkahwinan ini juga adalah sesuatu yang sukar sekali untuk difikirkan kerana kita tidak tahu bila ia akan berlaku sekali lagi.

"Apabila masanya tiba tepat pada waktunya, maka saya pasti akan berkahwin dan menjalani semula kehidupan sebagai seorang isteri tetapi saya percaya bukan sekarang.

"Buat masa ini, saya harus fikirkan tentang masa depan satu-satunya anak saya, Muhammad Rizky Langit Ramadhan sebelum saya melangkah ke fasa seterusnya," cerita Rossa lagi sambil memberitahu anaknya itu juga sudah ditemukan dengan teman barunya dalam satu majlis tidak berapa lama dulu.

Melihat kepada perjalanan hidupnya yang penuh suka dan duka itu, terfikir juga adakah Rossa menyesal memilih titian seni sebagai rezeki untuk menampung hidup diri dan keluarganya.

Betapa tidak, untuk menjadi seorang anak seni yang harus menempuhi dugaan dan cabaran hidup sememangnya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Saat diajukan persoalan itu kepada wanita yang dilahirkan pada 9 Oktober 1978 ini, Rossa dengan penuh optimis memberitahu perasaan kesal tidak pernah terbit dalam jiwanya.

Malah, anak kelahiran Sumedang, Jawa Barat ini gembira dengan kejayaan dan kemewahan yang dikecapinya hari ini selain berjaya meningkatkan taraf hidup keluarganya.

Barangkali ramai yang tidak tahu, Rossa merupakan salah seorang penyanyi wanita Indonesia yang cukup laris untuk pertunjukan pentas bukan sahaja di negaranya tetapi juga di negara ini.

Dengan kemewahan dan kemasyhuran yang dikecapinya hari ini, tidak mustahil untuk Rossa memiliki sebuah vila mewah yang terletak di Seminyak, Bali, Indonesia.

Apa yang membanggakan, vila itu berjaya tersenarai sebagai salah sebuah daripada 150 rumah terbaik dan tercantik di dunia!

Tidak mahu mendabik dada atau menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimilikinya, Rossa berkata, dia bersyukur dengan kurniaan rezeki Allah kepadanya demi menjalani kehidupan yang selesa.

"Saya seorang yang begitu menitik beratkan soal pengurusan kewangan dan bukan bermakna apabila ada wang yang banyak, ia adalah tiket untuk menjadi boros.

"Ada masa tertentu saya akan membeli barangan yang dapat memuaskan hati saya selepas bekerja keras dan sudah pasti, selebihnya saya akan agihkan untuk pelaburan, simpanan dan juga untuk Rizky.

"Saya tidak mahu menyesal di kemudian hari dan kerana itu saya amat menjaga soal kewangan. Kita tidak tahu apakah kemungkinan yang berlaku kepada kita di masa depan," tutur pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani ini dalam nada bersungguh.

Menyentuh tentang perkembangan terbaru kariernya, Rossa memberitahu dia sudah pun selesai menjalani rakaman dua buah lagu terbarunya.

Dua lagu tersebut adalah Memeluk Bulan ciptaan Enda dari kumpulan Ungu serta Jagat Khayalku yang dicipta oleh teman seperjuangannya, Titi DJ.

Bukan itu sahaja, selepas sukses dengan duetnya bersama vokalis kumpulan Ungu, Pasha menerusi lagu Terlanjur Cinta, kini Rossa bersedia untuk menggegarkan dunia muzik nusantara apabila bakal berduet dengan penyanyi muda, Afgan.

Ternyata, Rossa kagum dengan bakat besar yang dimiliki Afgan sehingga mereka bersetuju untuk berpadu suara dalam sebuah lagu yang akan dirakamkan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: