Monday, May 17, 2010

Pierre Harap 'Hijab' Jadi Karya Agung

Pierre harap filem Hijab bakal jadi karya agungnya.

PIERRE Andre pernah berkata, selagi ada hayat dan kreativiti dia tidak akan berhenti berkarya. Sekalipun, namanya hampir 'berkubur' sebelum ini ekoran kontroversi dengan produser David Teo, berkat komitmen dan cintanya terhadap bidang ini, dia kembali dengan filem terbaru, Hijab.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan Hijab di matanya, pemilik nama sebenar Mohd Pierre Andre Nazarul Andre ini berkata, naskhah bergenre seram itu punya garapan dan kekuatan jalan cerita yang lebih baik daripada karya terdahulu, Jangan Pandang Belakang (JPB).

Mengakui dirinya diberi kepercayaan dan kebebasan sepenuhnya oleh penerbit filem, YB Pictures Sdn Bhd, Pierre juga berharap filem itu bakal menandakan kemunculan semulanya ke persada filem tanah air.

"Saya harap dengan penghasilan filem ini bakal menandakan kemunculan semula saya dalam dunia pengarahan filem dan industri seni tanah air.

"Kepercayaan dan kebebasan yang diberikan oleh penerbit pada saya pasti akan saya pergunakan sebaiknya untuk hasilkan karya terbaik, insya-Allah," katanya.

Malah, berbekalkan kepercayaan penerbit dan komitmen Pierre, tidak keterlaluan bagi anak dramatis Khatijah Tan ini mengharapkan Hijab menjadi karya agungnya sejak mula berkecimpung dalam dunia seni.

"Filem ini sangat istimewa kerana garapan yang saya berikan punya sentuhan peribadi dan lebih dinamik, selain jalan cerita yang lebih 'kuat' daripada JPB.

"Malah, saya juga berharap Hijab akan menjadi karya agung saya kerana sentuhan dan komitmen yang saya berikan adalah sangat besar," katanya lagi.

Menyentuh tentang filem yang ditulisnya sejak berusia 18 tahun itu, Pierre berkata, kelainan aspek seram yang diterapkan dalam Hijab difokuskan pada penggunaan kamera dan teknik sinematografi.

Menurut Pierre, mood seram akan dibina menerusi penggunaan teknik kamera handheld seperti filem Blair Witch Project dan Paranormal Activity yang mengikut pergerakan watak hinggakan penonton berasa seolah mereka berada dalam filem itu.

Bagi mengimbangi teknik sinematografi itu, plot filemnya akan disampaikan secara langsung agar tidak membebankan fikiran penonton.

"Mood seram yang akan saya ketengahkan dalam Hijab berbeza daripada mana-mana karya seram yang pernah saya hasilkan sebelum ini.

"Kali ini, saya akan menggunakan teknik handheld yang mengikut watak dalam filem ini supaya penonton akan terasa seolah mereka berada dalam filem itu sendiri," jelas Pierre.

Pasangan baru Pierre dalam Hijab, Nur Fathia.

Selain bertindak sebagai pengarah dan penulis filem ini, Pierre turut berperanan sebagai pelakon utama di samping muka baru Nur Fathia Abdul Latiff, Maimon Mutalib, Bell Ngasri, Rozie Rashid dan ramai lagi.

Filem yang menelan kos hampir RM1.7 juta itu menjalani penggambaran selama 30 hari bermula 29 April lalu di sekitar Kluang, Johor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: