
KALI terakhir peminat menyaksikan lakonan aktres Haliza Misbun di layar perak adalah pada tahun 1996 atas tiket filem Scoop lakonannya bersama aktor kacak Hans Isaac.
Kini setelah 14 tahun tanpa sebarang filem Haliza muncul sebagai heroin dan penerbit dalam filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami di bawah produksi miliknya iaitu Big Production Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, kemunculan semula Haliza ke layar perak menimbulkan sedikit kontroversi apabila dia dilihat sungguh berani beraksi dengan mendedahkan sedikit 'aset' di bahagian dada dalam filem pertamanya itu.
Tidak melatah atau melenting, Haliza yang berfikiran terbuka pernah memberitahu pada media sebelum ini, dia tidak kisah jika dikatakan sebagai pelakon yang cuba mengeksploitasi tubuhnya demi menarik penonton ke pawagam.
Tetapi semasa sidang media pada majlis tayangan perdana filem yang menelan belanja sebanyak RM1.2 juta itu baru-baru ini, Haliza memberitahu dia tidak sengaja untuk berpakaian seksi sedemikian rupa.
"Saya memakai baju pengantin yang agak seksi di bahagian dada, saya tidak sangka pula pengarah akan ambil syot daripada bahagian atas.
"Jika saya tahu 'aset' saya begitu terserlah dalam filem ini, saya tidak akan sesekali menyarungkan baju itu. Tetapi penggambaran sudah selesai baru saya perasan, mahu tidak mahu saya harus terima. Mana boleh buat penggambaran balik," tuturnya.
![]() |
| KATA Haliza watak Nikki dalam filem ini sesuai dibawakan olehnya memandangkan dia sendiri merupakan seorang anak dara tua atau andartu. |
Tambahnya lagi, jika benar pakaian yang disarung terlalu seksi sudah pasti ia akan ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya apabila filemnya itu lulus bersih daripada LPF.
"Kalau benar pakaian saya terlalu menjolok mata dan seksi sudah pasti beberapa adegan dalam filem ini akan dipotong oleh LPF. Tetapi filem saya lulus bersih tanpa sebarang potongan. Itu sahaja telah menjelaskan pakaian saya dalam filem ini tidaklah terlalu seksi," ujarnya.
Selain baju pengantin yang agak seksi itu, beberapa pakaian Haliza dalam filem itu juga dilihat tidak bersesuaian kerana mendedahkan bahagian perutnya.
Bagaimanapun Haliza tidak ambil pusing mengenai hal itu kerana baginya jalan cerita yang ingin disampaikan lebih penting daripada pakaian yang disarungnya.
"Saya tidak melihat isu baju seksi atau tidak sesuai harus diperbesarkan kerana bagi saya jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan tentang andartu tercapai," luahnya.
Terlambat jadi heroin
Berbicara tentang wataknya sebagai Nikki yang merupakan tunjang utama filem ini, Haliza tidak pernah melihat kemunculan semulanya di layar perak pada usia 37 sebagai heroin terlalu lewat.
Tegasnya, istilah heroin filem itu terlalu subjektif. Penglibatannya dalam filem itu, bukan kerana dia teringin untuk menjadi pelakon utama filem selepas sekian lama atau ingin menjimatkan wang produksinya daripada mengambil pelakon lain.
Namun, watak Nikki yang dipikulnya itu dirasakan bertepatan dengan usia dan juga dirinya sementelah filem itu berkisarkan seorang wanita yang berusia lewat 30-an yang tertekan kerana masih belum bertemu jodoh.
"Saya pun tahu nilai diri saya sendiri. Watak dan jalan cerita sesuai dengan diri saya buat apa saya nak ambil pelakon lain.
"Lagipun, sebanyak 20 peratus filem ini saya aplikasikan daripada pengalaman saya sendiri yang pada realitinya saya memang tergolong dalam golongan andartu kerana lagi tiga tahun umur saya akan mencecah angka 40 tahun tetapi sehingga kini masih belum berkahwin," katanya tentang filem yang menjalani penggambaran selama 17 hari itu.

Selain itu pemilihan pelakon terkenal Indonesia, Ari Wibowo yang merupakan teman baiknya sebagai Dr. Ryan Diprojo dalam filem itu juga kerana kehendak Haliza.
Meskipun hanya memegang watak yang kecil tetapi Ari tetap melunaskan tanggungjawabnya sebagai teman dan seorang pelakon yang baik.
"Semasa penggambaran filem ini berlangsung, jadual saya padat dengan penggambaran drama di Indonesia. Jadi saya hanya punyai satu hari untuk menyelesaikan babak saya di Kuala Lumpur.
"Walaupun watak kecil dan hanya beberapa minit muncul di skrin, saya berpuas hati kerana saya bekerjasama sekali lagi dengan teman baik saya. Selepas ini, saya berharap akan ada kesempatan untuk terlibat dalam karya dari Malaysia," ujar Ari lagi.
Haliza kemudian menambah, sebetulnya mengikut perancangan awal Ari seharusnya terlibat dalam banyak babak bagaimanapun kerana waktu yang terbatas, skrip filem itu dirombak semula.
"Mengikut perancangan awal, babak yang melibatkan Ari memang banyak tetapi jadual kerjanya di Indonesia pula tidak mengizinkan. Jadi wataknya yang sepatutnya agak besar dikecilkan," tuturnya.
Sama juga halnya dengan pemilihan pelakon yang lain dalam filem itu, semuanya mengikut kehendak Haliza sebagai penerbit.
"Semua pelakon dalam filem ini memang saya inginkan sejak idea untuk buat filem ini timbul. Walaupun ketika penggambaran, ada antara mereka sangat sibuk dengan projek lain, saya tetap paksa mereka curi masa untuk berlakon dalam filem pertama saya," katanya dalam tawa.
Isi hati andartu
Jika melihat secara keseluruhan filem arahan Din CJ itu, isi ceritanya memberitahu khalayak mengapa golongan andartu tidak berkahwin.
Kata Haliza, dia sememangnya membikin filem itu untuk membela nasib golongan andartu yang dipandang sinis oleh masyarakat hanya kerana mereka tidak berkahwin.
"Itu yang saya tekankan dalam filem ini. Saya juga melalui pengalaman yang sama seperti andartu yang lain. Ada kerjaya tetapi untuk mencari suami bukan satu perkara yang mudah.
"Orang di sekeliling pula akan memberi tekanan supaya segera berkahwin. Contohnya, setiap kali ada majlis perkahwinan kami akan mengelak untuk menghadirinya kerana orang akan bertanya soalan yang sama berulang-ulang kali iaitu bila mahu berkahwin.
![]() |
| AWIE turut menjadi sebahagian daripada pelakon. |
"Sedangkan meskipun tanpa berkahwin, saya dan rakan senasib dengan saya melalui kehidupan dengan gembira. Siapa yang dapat menjamin perkahwinan itu akan membawa kegembiraan seperti mana kehidupan saya sekarang," ujarnya penuh optimis yang filem itu akan mendapat sambutan penonton.
Sedikit sinopsis tentang filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami. Ia berkisar tentang wanita berusia lewat 30-an bernama Nik Melati Sukma atau Nikki yang tertekan gara-gara tidak berkahwin.
Pelbagai usaha dilakukan oleh kedua-dua orang tuanya supaya anak tunggal kesayangan mereka itu bertemu jodoh. Pelbagai perististiwa lucu berlaku sepanjang prosesnya mencari suami sehingga ibunya memberikan kata putus Nikki harus mencari suami dalam tempoh 21 hari, jika tidak Nikki tiada pilihan selain menerima lelaki yang menjadi pilihan ibu bapanya.
Filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami yang digarap dalam bentuk komedi itu turut dibintangi oleh Erra Fazira, Fahrin Ahmad, Awie, Azhar Sulaiman, Fizo Omar, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Maimon Muttalib, Abby Abadi, Fara Fauzana, Nik Sayyidah dan Abon itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 20 Mei depan.


Justifikasi Seorang Artis Untuk Menghalalkan Yang Mungkar
ReplyDeleteKhamis, 06 Mei 2010 08:56
'Bukan niat saya nak seksi'
BABAK Haliza Misbun tampil seksi dengan gaun mendedahkan sebahagian besar payudaranya dalam filem Andartu Terlampau...21 hari Mencari Suami!, bakal mencetuskan kontroversi. Apakah Haliza yang juga penerbit filem ini sengaja paparkan babak itu untuk melariskan filem itu?
Maklumlah, ini filem sulung terbitan syarikatnya, BIG Productions Sdn Bhd dan mengeluarkan bajet yang besar, RM1.2 juta, sudah tentu mengharapkan pulangan lumayan apabila ditayangkan di pawagam pada 20 Mei nanti. Namun, Haliza menafikan perkara itu. Katanya, tiada niat untuk tampil seksi seperti itu sebaliknya ada alasan sendiri. "Sebenarnya, saya tidak dapat gambaran ketika penggambaran babak itu. Saya tidak tahu jurukamera akan shoot dari atas. Seandainya, babak itu orang kata saya seksi, terus terang, saya memang tidak sengaja melakukannya. Lembaga Penapis Filem (LPF) juga meluluskan filem ini tanpa sebarang potongan," katanya ketika ditemui selepas pratonton filem ini, baru-baru ini.
Sumber: Harian Metro 01/05/10
Ukuran Seksi Bukan Bergantung Pada Niat, Tetapi Syariat Islam
Lucu mendengar dan membaca kata-kata manusia yang bergelar artis. Ketika mana mereka seksi dan tidak menutup aurat, banyak sungguh dalih dan justifikasi yang digunakan untuk menghalalkan apa yang mereka lakukan. Bagi mereka, matlamat akan menghalalkan segala cara yang mereka lakukan tidak kira samada ianya bertentangan dengan syariat Islam atau tidak. Jadi, tidak hairanlah jika Haliza Misbun sendiri berdolak dalih dan menjadikan “niat” sebagai justifikasi menghalalkan tindakannya mendedahkan sebahagian besar auratnya. LPF yang menjadi badan penapis bukanlah badan yang menggunakan kriteria yang digariskan oleh syariat Islam dalam penapisannya. Hakikatnya LPF telah meluluskan banyak filem yang tidak sejajar dengan syariat Islam jadi tidak hairanlah jika LPF juga meluluskan filem yang dilakonkan oleh Haliza Misbun ini.
Situasi seperti ini tidaklah menghairankan kerana umat Islam sekarang sudah dipengaruhi oleh pemahaman liberal dan sekular. Sistem kapitalis yang dijalankan pula tidaklah membantu dalam mengembalikan Islam dalam kehidupan malah menggalakkan lagi maksiat. Artis oh artis… bilakah kalian akan insaf dan bertaubat di atas apa yang kalian lakukan!