Thursday, May 27, 2010

Tempe untuk cantik

PROSES penyediaannya cukup mudah iaitu kacang soya direbus sebelum dijemur kemudian dilenyek dan digaulkan bersama ragi. Campuran berkenaan seterusnya dibungkus menggunakan daun pisang atau daun rambai sebelum diperam semalam.

BERJAYA...kajian Noorullhamezon dan kumpulannya memberi hasil yang  tidak diduga.
BERJAYA...kajian Noorullhamezon dan kumpulannya memberi hasil yang tidak diduga.

LAMBATKAN PENUAAN...rangkaian produk dibangunkan daripada tempe  membantu untuk melambatkan proses penuaan. UJI...pembangunan produk penjagaan kulit dan kosmetik berasaskan  tempe mengambil masa dua tahun. SELAMAT DAN HALAL...produk selamat digunakan.  3.


LAMBATKAN PENUAAN...rangkaian produk dibangunkan daripada tempe membantu untuk melambatkan proses penuaan.
Walaupun sudah menjalani proses penapaian iaitu membabitkan aktiviti kulat dipanggil rhizopus oligoporus, ia tetap diakui Pangkalan Data Nutrien untuk Rujukan Standard, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, yang menyenaraikan beberapa nutrien utama dalam tempe.

Jika dulu tempe hanya popular sebagai makanan yang mampu membuka selera, kecanggihan penyelidikan teknologi hari ini membuatkan tempe mengalami revolusi yang membolehkan ia dikomersilkan.

Ini terbukti menerusi usaha sekumpulan penyelidik Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim) Berhad yang mencipta sejarah tersendiri apabila membangunkan rangkaian produk kosmetik yang bernilai komersial daripada tempe.

Penyelidikan kumpulan penyelidik seramai lapan orang yang diketuai Penyelidik Kanan, Noorullhamezon Mohd Noor, selama dua tahun, nyata membuahkan hasil yang membanggakan. Ini kerana selama ini tidak ramai yang mengetahui tempe mampu menjadi bahan utama dalam produk kecantikan terutama antipenuaan.

Noorullhamezon berkata, barisan penyelidik kumpulannya iaitu Rozanida Abdul Rahman, Hamidah Sidek, Suzaini Badrudin, Norhafizah Mat Zan, Nurul Hammizah Hamidon, Norfaeza Zainudin dan Mohd Helme Mohd Helan, memulakan projek kajian berkenaan pada 2008.Pada awalnya, mereka mengkaji aktiviti antioksidan daripada pelbagai makanan tradisional yang sudah melalui proses penapaian seperti tapai beras, budu dan tapai ubi selain tempe.


Dia berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan, hidangan yang sinonim dengan masyarakat berketurunan Jawa itu mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi dan berpotensi untuk digunakan sebagai bahan aktif dalam pembangunan produk kosmetik.Katanya, proses penapaian yang berlaku dalam penghasilan tempe bukan saja mengubah aroma dan perisa malah pada masa sama, menambah nilai nutrisi, pembentukan vitamin seperti B1, B2, B6, E, asid amino, phytokimia dan bahan antioksidan.


"Daripada kajian yang dilakukan, kami juga mendapati kandungan isoflavon dalam tempe lebih tinggi berbanding taufu atau produk kacang soya yang lain.

"Menyedari hakikat itu, kami di Sirim Berhad mengambil inisiatif mengkaji potensi ekstrak tempe sebagai ejen kosmeseutikal, sekali gus membangunkan rangkaian produk penjagaan kulit, RT'S, yang berkesan dan selamat untuk digunakan," katanya ketika ditemui di makmalnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, RT'S kompleks yang dihasilkan daripada proses pengekstrakan tempe berupaya membantu untuk melawan radikal bebas jauh lebih baik daripada ekstrak soya biasa.

Ia juga mampu menghalang penghasilan melanin sebanyak 61 peratus sehingga hampir boleh dikatakan mampu menghampiri nilai perencatan melanin oleh agen pemutih asid kojik dan pada masa sama, merangsang 50 peratus lebih penghasilan kolagen berbanding vitamin C.

Selain itu, ujian keselamatan seperti ujian logam berat, ujian mikrobiologi dan ujian ketoksikan ke atas sel (cytotoxicity) juga menunjukkan RT'S kompleks berkenaan selamat digunakan untuk dirumus dalam membangunkan produk.

Katanya, berdasarkan kajian itu, RT'S Kompleks sudah digunakan sebagai bahan aktif dalam rangkaian produk penjagaan kulit yang dibangunkan dan dinamakan sebagai RT'S yang mengambil singkatan nama spesis fungus yang digunakan dalam proses penapaian soya menjadi tempe.

Setakat ini, empat produk sudah diperkenalkan iaitu krim pencuci wajah, penyegar, krim pelembap siang dan krim malam.

Ia boleh diklasifikasikan sebagai produk antipenuaan kerana mengandungi bioaktif daripada ekstrak tempe yang mengandungi isoflavon yang strukturnya seakan sama dengan hormon estrogen manusia bagi melambatkan proses penuaan kulit.

"Kami menjalankan kajian terhadap 30 wanita dalam lingkungan umur 35 hingga 55 tahun baru-baru ini dan terbukti, ia membantu untuk memperbaharui kulit dengan lebih cepat melalui rangsangan penghasilan kolagen oleh sel fibroblast.

"Rangkaian produk itu juga membantu menghalang pemindahan melanin ke sel kulit untuk mengembalikan keseimbangan dan pada masa sama, turut berfungsi untuk melindungi kulit daripada sinaran ultraungu.

"Ia juga dapat melembap dan melembutkan kulit serta tidak mendatangkan kerengsaan pada kulit atau mata. Namun, apa yang lebih penting, produk ini halal kerana ia berasaskan makanan dan kesuciannya juga tidak dipertikaikan," katanya.

Sementara itu, Noorullhamezon berkata, rangkaian produk berkenaan kini hanya menunggu masa untuk dikomersialkan kerana setakat ini, hanya sebuah syarikat saja berminat memasarkannya berbanding lima peruntukan yang dikeluarkan.

"Selepas ia diuar-uarkan di sebuah rancangan televisyen, kami mendapat panggilan yang tidak putus-putus bertanyakan mengenai produk berkenaan. Untuk menjelaskan sebarang salah faham, Sirim sebenarnya tidak menjual produk terbabit kepada individu sebaliknya hanya membangunkan sesuatu produk untuk dikomersialkan oleh usahawan.

"Mereka (empat syarikat lagi yang diperlukan) boleh menukar semua nama atau pek pembungkusan mengikut cita rasa masing-masing sebelum dipasarkan," katanya.

Justeru, bagi yang berminat untuk memasarkan produk berkenaan, hubungi Sirim di talian 03-55446966 atau emel ke noorull@sirim.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: