![]() |
| SHuryani Shuaib sempat mencatatkan beberapa rangkap sajak secara sepontan ditujukan kepada rakan media yang hadir. |
PERTEMUAN pada petang itu berjalan dengan lancar dan sempurna lebih apatah lagi dengan layanan penuh mesra dan ikhlas oleh 'tuan rumah', Datin Seri Shuryani Shuaib, isteri kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Kehadiran wakil media atas undangan Shuryani yang mahu memaklumkan rancangannya menghasilkan dua bua buku berjudul Sempornaku@MySemporna dan Kedahku@MyKedah.
Kata wanita peramah itu, buku tersebut bakal diterbitkan selewat-lewatnya menjelang September ini sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Bakal diterbitkan dalam dwibahasa, Bahasa Inggeris dan Melayu, kini beliau masih dalam proses pengumpulan bahan termasuk manuskrip, puisi, sajak dan gambar, ilham Shuryani sendiri.
Menurut Shuryani, buku nukilan dirinya yang terkini itu menampilkan bait-bait puisi indah bersama memoir yang digarap hasil cetusan idea ketika berada dalam kapal terbang ketika pulang ke Malaysia dari kota London.
Bidang penulisan bukan sesuatu yang baru bagi Shuryani yang telah menulis sejak berumur 13 tahun lagi. Malah sebelum ini beliau pernah menerbitkan himpunan puisi-puisi indah nukilannya.
"Sajak-sajak yang bakal dimasukkan dalam kedua-dua buku saya nanti merupakan cetusan idea yang datang secara tiba-tiba kebanyakannya ketika saya dalam penerbangan.
"Kedahku@MyKedah , akan berkisar mengenai kisah masyarakat, kebudayaan, kesultanan dan sejarah negeri kelahiran saya. Semuanya digarap dan ditulis khusus untuk rakyat Kedah.
"Saya selitkan apa yang saya tahu mengenai Kedah dan beberapa perkara baru. Buku ini didedikasikan buat ibu dan ayah saya yang tersayang, Datin Juriah@Sabariah Nasrun dan Datuk Shuaib Lazim yang telah mendidik saya dengan penuh kasih sayang dan kesabaran,'' katanya.
Buku ini juga diilhamkan setelah beliau 'meninggalkan' Kedah sejak usianya 18 tahun lagi.
Buku ini juga akan memfokus kepada perjuangan ayahnya, kesultanan dan pemimpin-pemimpin utama yang berasal dari negeri itu.
Manakala MySemporna dititipkan buat rakyat Semporna, Sabah dan khas ditujukan buat suaminya, serta ibu mertua, Bunga Suara@Aminah Dandai dan pemimpin terkenal Sabah, Tun Sakaran Dandai.
"Saya amat menjaga mutu penerbitan buku yang bakal diterbitkan. Justeru saya perlu berhati-hati dalam proses penerbitan, helaian muka surat, kandungan dan sebagainya. Bagi saya kualiti buku adalah penting daripada kuantiti,'' katanya.
Namun segala usaha yang dilakukan Shuryani ini sebenarnya adalah untuk kebajikan.
Wang dan royalti hasil jualan buku ini nanti akan 'dikembalikan' kepada mereka yang memerlukan.
"Hasil jualannya nanti akan dimasukkan ke dalam Yayasan Semporna bagi membantu insan-insan yang memerlukan di sana. Begitu juga dengan insan-insan yang memerlukan sumbangan di Kedah. Hasil kutipan jualan daripada buku-buku ini juga akan dimasukkan ke dalam dana yang akan disalurkan untuk rakyat Kedah,'' katanya.
Sebelum menamatkan pertemuan petang itu, Shuryani sempat membacakan beberapa rangkap sajak yang ditulis secara sepontan dan ditujukan kepada wakil media yang hadir.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: