![]() |
| Laura Calder mempamerkan kemahirannya dalam satu demonstrasi memasak di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini. |
SAYA rasa tidak seronok jika sehari tidak memasak. Seolah-olah seperti ada sesuatu yang kurang jika tidak menjejakkan kaki di dapur,'' kata Laura Calder dalam satu demonstrasi memasak sempena kunjungan pertamanya ke Malaysia baru-baru ini.
Bagi penggemar rangkaian Asia Food Channel (AFC), wajah wanita Inggeris ini sememangnya tidak asing lagi.
Mengendalikan program French Food at Home, Laura berjaya mendekatkan penonton dengan kepelbagaian masakan Perancis.
Menurut wanita ini, dari zaman kanak-kanak lagi memang dia suka memasak.
Jika berkunjung ke rumah kawan-kawan atau saudara-mara, dia pasti akan membawa kertas dan pensel untuk menyalin resipi makanan yang mereka hidangkan untuknya.
''Saya sukakan makanan yang disediakan di rumah (home cooking). Resipinya mudah dan boleh dibuat sendiri oleh sesiapa saja.
"Adalah penting kita mengekalkan resipi seperti ini untuk dihidangkan kepada keluarga,'' ujar Calder yang berada di Malaysia sempena siri demonstrasi memasak eksklusif, A French Affair.
Siri demonstrasi memasak anjuran Kolej Universiti Hospitaliti Berjaya itu, bagi memberi peluang kepada peminat-peminatnya di Malaysia mengenali chef selebriti itu dengan lebih dekat dan mempelajari cara menyediakan hidangan Perancis.
Pada petang itu, dia menyediakan tiga menu yang mudah dihidangkan iaitu asparagus bersama sos oren dan bawang merah, stik au Poivre bersama kentang dan tat krim epal.
Kesemuanya adalah resipi klasik Calder sendiri yang mudah dan boleh dibuat sendiri oleh sesiapa sahaja.
Memang nampak mudah melihat cara wanita ini menyediakan tat krim epal.
Katanya, ramai yang takut hendak membuat pastri kerana bimbang tidak menjadi sedangkan resipi itu hanya menggunakan bahan asas seperti tepung dan mentega.
''Resipi ini saya pelajari semasa berada di Quebec (Kanada). Sebenarnya setiap resipi yang saya pelajari mempunyai cerita di sebaliknya.
''Saya pilih tat krim epal kerana ia mudah disediakan dan saya tahu tidak semua orang mempunyai pelbagai peralatan memasak.
"Kadang-kadang kerana ketiadaan peralatan ini membuatkan orang malas hendak memasak. Sebab itu saya lebih suka menggunakan cara lama,'' katanya yang mengembara ke banyak tempat untuk demonstrasi memasak.
Dibesarkan di kawasan perkampungan di Kanada, Calder berminat mempelajari tentang kaedah memasak semula jadi dan masakan yang dihidangkan di rumah yang dikunjungi.
Bahkan katanya, dia tidak segan-segan bertanya jika ada resipi lama atau tradisional dan bagaimana hendak menyediakannya.
Minat yang mendalam mendorongnya untuk belajar masak secara formal di The Dubrulle Culinary Institute di Vancouver dan L'Ecole de Cuisine Lavarenne di Burgundy, Perancis.
Dia tinggal di Perancis selama 10 tahun semata-mata untuk belajar dan memahirkan diri dengan masakan negara itu.
''Saya gemar kepada cara memasak asas yang ringkas seperti yang dilakukan oleh generasi lama kerana bagi saya, masakan yang ringkas dan sedap memudahkan kita untuk menyediakan kepada seisi keluarga.
''Apabila bercakap mengenai masakan Perancis, apa yang ada di fikiran ialah cara penyediaan yang elegan, canggih dan halus.
"Bagaimanapun untuk memasak makanan Perancis kita tidak perlu menjadi mahir kerana teknik-teknik memasak yang saya tunjukkan amat mudah dan boleh dibuat sendiri di rumah,'' katanya yang kini kembali menetap di Kanada.
Kepakaran wanita ini dalam bidang masakan memberinya peluang untuk menjadi hos dalam 78 episod rancangan televisyen French Food at Home selain muncul dalam program satu jam French Food at Home-Chateu Special.
Dia juga adalah pengarang buku French Taste (HarperCollins, 2009) dan French Food at Home (HarperCollins2003). Beliau turut menulis dalam beberapa penerbitan termasuk Vogue Entertaining and Travel, Gourmet Magazine, Gastronomica, Salon.com, The Times of London dan sebagainya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: