Sunday, May 16, 2010

Saya malu, jangan ganggu – Aleeza Kasim




Apa emosinya setelah mahkamah memutuskan Aleeza masih lagi sebagai pasangan yang sah?

Saya gembira apabila semuanya telah selesai. Cuma apa yang berlaku ini benar-benar membuatkan saya tertekan dan seperti tak sanggup untuk melaluinya. Bukan sebab apa, macam-macam orang perkatakan hal rumah tangga saya. Semuanya berlaku dalam satu masa dan saya tak mahu ia diperbesar-besarkan.

Apa sebenarnya yang berlaku antara kalian?

Saya tak mahu komen lebih-

lebih. Adat sebagai suami isteri, mesti ada sahaja perselisihan pendapat dan bergaduh. Cuma biarlah saya dan suami sahaja yang tahu apa yang berlaku di antara kami. Tak kan saya nak cerita biar semua orang tahu pula. Tapi apa yang membuat saya marah apabila cerita kami masuk mahkamah ditokok tambah untuk sensasi. Untuk apa buat begitu?

Aleeza bukan artis pertama yang naik mahkamah pasal masalah rumah tangga, ramai lagi yang dah naik turun mahkamah, kenapa perlu marah?

Ini merupakan kali pertama saya mengalami masalah sebegini besar yang buat kami naik mahkamah. Jadi untuk menghadapi perkara sebegini bukan satu perkara yang mudah. Semua orang mahu cerita sensasi tapi bagaimana dengan saya dan suami? Orang mengenali saya sebab saya artis. Saya masih boleh mengawal keadaan itu. Tapi bagaimana pula dengan suami saya? Apa yang membuatkan saya kesal apabila keluar cerita yang mengatakan saya dicerai talak satu. Itu tak benar sama sekali dan memburukkan keadaan. Semua orang sibuk tanya saya tentang hal itu.

Sepanjang menunggu keputusan mahkamah, apa yang berlaku pada Aleeza dan suami?

Saya masih lagi seperti biasa. Cuma apa yang berlaku biarlah saya tahu sendiri. Saya masih lagi buat kerja dan dia pun sama. Hidup ini kena jalan juga walaupun apa yang bersarang dalam hati ini orang lain tak tahu. Cuma saya cukup rimas apabila orang telefon dan sibuk nak tahu apa yang berlaku. Nak terangkan satu per satu pada orang lain bukan senang. Keluarga saya dan keluarga suami juga terkejut sebab mereka tak pernah tahu yang kami bergaduh sampai tahap itu.

Habis apa reaksi keluarga?

Macam saya cakap tadi mereka terkejut dengan apa yang telah berlaku. Apa yang berlaku buat mereka terkejut. Tambahan pula kes saya mendapat liputan yang meluas. Semua orang nak tahu.

Tertekan sampai melarikan diri ke Jakarta?

Tidak sama sekali. Saya tak melarikan diri seperti mana didakwa dan tujuan saya ke sana untuk bekerja. Walau apa yang terjadi saya perlu bekerja.

Tapi ramai yang dapat melihat wajah Aleeza yang tidak ceria sebaik sahaja mahkamah buat pengumuman?

Siapa cakap? Saya gembira apabila kami masih lagi suami isteri. Cuma saya tak gembira apabila cerita kami keluar surat khabar dan mendapat perhatian orang. Saya tertekan dengan semua ini. Kalau boleh saya tak mahu orang tahu apa yang telah berlaku dalam rumah tangga kami. Tapi saya akur sebagai artis saya memang akan mengalami perkara sebegini. Jadi mahu atau tidak saya kena hadapinya juga. Orang luar jangan ingat semuanya yang melibatkan artis itu indah belaka. Saya masih ada masalah sendiri dan tolong jangan membuat kesimpulan sendiri.

Masih lagi tertekan?

Ya, sehingga hari ini saya masih tertekan. Saya kena fokus balik untuk harmonikan kembali rumah tangga kami. Ibarat mahu memulakan hidup baru, saya kena buat semuanya. Cuma saya kasihan melihat suami yang terpaksa melalui semua ini disebabkan saya artis. Biarlah keadaan sejuk dulu, barulah saya fikir langkah terbaik untuk kami. Sedih sebenarnya dengan apa yang berlaku, harap-harap biarlah semuanya kembali normal.

Orang kata kehadiran anak mampu beri bahagia dalam rumah tangga, bagaimana dengan Aleeza?

Saya masih tertekan dengan apa yang berlaku. Perlukah saya fikir tentang masalah itu? Saya tak mahu fikir sebab sebelum ini pun saya dah jenuh memikirkannya. Saya tak mahu beria-ia. Ada saya terima, tak ada nak buat macam mana?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: