Friday, May 14, 2010

Rozie Rashid Tulis Skrip Berdasarkan Kisah Benar

KOMITMEN untuk menjaga anak-anak lebih penting bagi aktres Rozie Rashid. Sebab itu dia sanggup mengurangkan aktiviti lakonannya demi menjaga putera dan puterinya di rumah.

Bagi menghilangkan rasa bosan di rumah, ibu kepada enam orang anak itu menulis skrip drama. Setakat ini, dia pernah menghasilkan skrip drama dan telefilem seperti Dunia Batinku, Na O Mei dan Perigi Kontang.

“Mulai tahun lalu, saya sudah jarang berlakon dan tak boleh tumpukan sepenuhnya kepada lakonan. Jadi, saya memilih untuk menulis skrip kerana mahu meluangkan masa dengan anak-anak.

”Selain itu, saya sedar bila menulis dalam masa yang sama saya boleh meluahkan perasaan. Kebanyakan cerita yang saya tulis mesti ada sedikit persamaan dengan cerita sebenar.

“Misalnya, 30 peratus jalan cerita Na O Mei berdasarkan cerita sebenar tentang kehidupan orang Phuket. Saya dapat ilham selepas berbual-bual dengan penduduk ketika bercuti di Phuket,” katanya yang serius dalam bidang penulisan sejak enam tahun lalu.

Anak-anak makin membesar, Rozie merasakan bukan mudah untuk menjaga tiga pasang putera dan puteri itu walaupun mendapat bantuan daripada suaminya, Ejam atau nama sebenarnya Norhizam Shair yang kini menjalankan tugas sebagai pengajar skuba.

Anak sulungnya, Ilham berusia 19 tahun, diikuti Nadzurah (19), Nadzirah (16), Hafizi (14), Imran (12) dan Cinta (4).

Bayangkan, Rozie telah berkecimpung dalam industri ini kira-kira 23 tahun lamanya. Namun perjalanan kerjayanya tidak berlangsung secara terus-menerus. Setelah menyepi seketika suatu masa dulu, dia kembali memeriahkan industri ini sekitar tahun 1997 menerusi komersial dan filem arahan arwah Yasmin Ahmad iaitu Gubra dan Mukhsin.

Dalam banyak-banyak lakonannya yang meninggalkan kesan kepada dirinya adalah ketika berlakon drama Kipas Anggun terbitan Pesona Pictures. Katanya, mungkin disebabkan dia jarang berlakon watak komedi.

Terbaru, pemenang Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Gubra pada Anugerah Skrin ke-8 itu bakal muncul menerusi drama Roh Kembali… dan Duyung Aridinata.

Menyentuh tentang lakonannya dalam Roh Kembali…, Rozie berkata dia membawakan watak Zahirah, isteri kepada Zaidi lakonan Fizz Fairuz dan hidup tanpa berpegang kepada ajaran Islam.

Sementara lakonan dalam Duyung Aridinata, Rozie melakonkan watak permaisuri duyung. Cerita itu menjalani penggambaran di Pulau Lang Tengah dan selebihnya dilakukan di studio di Pusat Sains Negara.

Walaupun seronok kerana mempunyai kaitan dengan aktiviti kegemarannya iaitu menyelam, Rozie berkata dia kurang selesa apabila terpaksa mengenakan kostum ekor duyung sehingga kadangkala menyukarkan pergerakannya serta memerlukannya berbahasa baku.

Drama itu akan muncul di kaca televisyen tidak lama lagi untuk slot Lagenda di TV3 dan TV9 manakala Roh Kembali… akan disiarkan mulai 20 Mei ini, setiap Khamis, pukul 9.30 malam di slot Seram TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: