Skim Wajib Tayang belum terima permohonan daripada Dr Rozmey
WALAUPUN tidak menjadi kemestian, produser dR Movie Production, Datuk Dr Rozmey Che Din dinasihatkan supaya mengikut Peraturan Skim Wajib Tayang yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) supaya penayangan filem Dua Alam lebih teratur dan ‘selamat’.
Ini kerana menerusi peraturan itu, terdapat persetujuan bersama antara pihak pemamer iaitu pemilik panggung dengan penerbit untuk menetapkan jumlah panggung bagi menayangkan filem berkenaan selama tempoh yang ditetapkan. Sehingga kini, filem itu tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk mendapatkan tarikh penayangan mengikut Skim Wajib Tayang.Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd Zulkifli Ab Wahab berkata, tidak menjadi apa-apa kesalahan kepada Dr Rozmey sekiranya menayangkan filem terbitannya tanpa mengikut peraturan wajib tayang tetapi ia akan menghadapi pelbagai risiko yang boleh merugikannya.
“Beliau (Dr Rozmey) boleh menayangkan filemnya mengikut kehendaknya sendiri. Tapi beliau perlu berurusan sendiri pihak panggung. Terpulang kepada pemilik pawagam berapa panggung hendak diberikan kepada beliau untuk menayangkan filem terbitannya.
“Risiko lain pula, tempoh tayangan filemnya juga tidak tertakluk kepada kebiasaan. Kalau mengikut peraturan wajib tayang, pihak panggung mestikan menayangkan filem tempatan sekurang-kurangnya 14 hari tanpa mengira sambutan daripada penonton,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan penerbit filem Dua Alam, Datuk Rozmey Che Din yang sudah menghebahkan kepada umum untuk menayangkan filem itu pada 27 Mei ini tanpa melalui peraturan Skim Wajib Tayang.
Walaupun sudah membuat promosi dan publisiti agak hebat terutama menerusi radio, filem itu rupa-rupanya belum mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) untuk ditayangkan kepada umum.
Hanya pada minggu lalu iaitu kira-kira 10 hari sebelum tarikh penayangan, barulah penerbitnya menghantar filem Dua Alam kepada LPF. Difahamkan ia dibuat selepas penerbitnya mendapat teguran daripada pegawai dari agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu. Bukan saja filem, bahan promosi seperti poster dan trailer juga perlu mendapat kelulusan daripada LPF terlebih dahulu.
Sekiranya filem ini terpaksa menjalani pemotongan dan selepas disunting semula, penerbit perlu menghantar kepada LPF sekali ini. Dan, ia mengambil masa yang kemungkinan tidak sempat untuk ditayangkan pada tarikh ditetapkan.
Selain itu, difahamkan pihak pamamer juga tidak menerima permohonan daripada produser atau wakil dR Movie Production untuk menayangkan filem Dua Alam menerusi rangkaian panggung wayang mereka.
Mohd Zulkifli berkata, untuk mendapatkan tarikh yang ditetapkan mengikut peraturan Skim Wajib Tayang, penerbit perlu menyertakan sijil yang membuktikan filem terbitannya sudah mendapat kebenaran daripada LPF untuk ditayangkan.
“Itu syarat penting yang kita tetapkan. Selepas itu, jawatankuasa Skim Wajib Tayang bermesyuarat menetapkan tarikh penayangan. Anggota jawatankuasa ini terdiri daripada wakil pemilik rangkaian pawagam, Finas, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan produser,” katanya.
Sebelum ini, Dr Rozmey menerusi kenyataan dalam akhbar Harian Metro menegaskan beliau tidak perlu berurusan dengan Finas untuk menayangkan filemnya kerana tidak menggunakan sebarang dana daripada perbadanan ini.
Datuk Yusof Haslam, David Teo selain filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd, menghasilkan filem tanpa bantuan kewangan dari Finas tetapi untuk menayangkan filem mereka masih memilih untuk menggunakan peraturan Skim Wajib Tayang.
Enam filem sudah mendapat tarikh untuk ditayangkan sehingga 15 Julai. Filem itu ialah Andartu Terlampau pada 20 Mei diikuti Lagenda Budak Setan dan Kecoh Betul pada 3 Jun, Kapoww! (17 Jun), Senario: Zoo (1 Julai) dan Mantra (15 Julai).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: