Salam,SEBAGAI seorang pembaca setia ruangan ini, ingin saya lantunkan pendapat daripada kaca mata saya sebagai seorang lelaki berkenaan kisah Nur dari Melaka minggu lalu. Bukan bercakap atas dasar seorang yang pakar, tetapi berdasarkan kepada pengalaman diri dan juga teman-teman yang tidak lokek berkongsi.
Nyata pada hemat saya, Nur seorang yang matang jika dibandingkan dengan usianya. Dari leretan ayat, saya juga yakin Nur seorang yang positif dalam hidup tetapi mempunyai sedikit kurang sedikit perkara. Apa yang perlu adalah optimis dan realistik. Benar kasih sayang, benci, marah, cinta dan dendam adalah sebahagian nikmat yang Allah kurniakan pada manusia. Tapi seharusnya kita tidak jahil dengan meletakkan ia ditempat yang salah, hingga menganggu gugat kerukunan yang sedia terbina. Jangan mudah terbuai dengan kata-kata seorang Adam yang menabur perkataan sayang dan cinta. Yang jelasnya dia sendiri tidak yakin dengan perkataan yang ditaburnya itu. Andai dia yakin dan faham dengan maksud 'sayang' dan 'cinta', mengapa tidak dilimpahkan maksud 'sayang' dan 'cinta' itu pada isteri yang sudah sedia menjadi haknya?. Andai dia yakin dengan apa yang dia rasa mengapa harus melukakan perasaan orang yang sanggup berkongsi susah dengannya? Tanyakan persoalan yang sama andai Nur berada pada posisi isteri A, membiarkan atau mempertahankan, harus bagaimana?
Bukan soal umur yang menjadi pancang pemisahnya, tetapi Nur harus realistik pada kehidupan. Dalam meniti usia remaja 17 tahun, terlalu banyak rasanya perkara yang perlu diteroka selain daripada 'cinta' yang mana belum tentu memberikan nikmat seperti yang Nur rangka. Saya cukup yakin Nur punya impian dan cita-cita. Tapi adakah Nur yakin dengan kata cinta dan sayang dari A sudah cukup membahagiakan hingga membiarkan impian menjadi angan-angan dan cita-cita berlalu sahaja? Bina keyakinan bahawa impian dan cita-cita perlu digapai. Cinta dan jodoh akan tiba bila sampai waktunya. Waktu ini balaslah budi ibu dan ayah yang menyara kita dengan kejayaan bukannya cinta. Berilah tumpuan sepenuhnya pada pelajaran. Syukur Nur punya ibu yang memahami, juga cukup yakin Nur punya teman yang kuat menyokong. Jadi harus mengapa terlena dengan kata sayang dan cinta yang membuai dagu sampai lupa akan tanggungjawab sebagai pelajar?
Benar seorang lelaki berhak untuk punya empat isteri, Nur juga punya hak untuk disayangi. Tetapi jangan lupa hak seorang wali terhadap anak perempuannya, hak seorang ibu pada anak yang disusu dan hak seorang isteri terhadap suami yang dinikahinya. Nur punya hak terhadap A yang mencintai Nur, tetapi hak Nur tidak boleh melangkaui hak isteri A terhadap suami dan rumah tangganya, serta hak ibu dan ayah Nur terhadap anak perempuannya. Manakala A, harus memikirkan dahulu hak isteri A. Memang benar Nur merupakan anugerah buat dirinya. Tafsiran yang mudah, barangkali disalah erti oleh A, Nur dianugerahkan kepada dirinya untuk dididik supaya menjadi insan berguna dan bertanggungjawab, bukan dikhayalkan dengan kata cinta. Kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai pendidik, kerana apabila mati kelak dia akan dipersoalkan tentang perlaksanaan tanggungjawabnya itu.
Adakah Nur menganggu suami orang? Jawapannya ya. Adakah Nur berdosa dengan isteri A? Jawapannya juga ya. Adakah Nur derhaka kerana ingkar menurut nasihat ibu? Jawapannya sudah pasti ya. Tapi untuk apa kusutkan pemikiran dengan persoalan ini. Nyatanya Nur punya perkara yang lebih penting dari hilang akal memikirkan perkara ini. Bohong andai Nur dapat melupakan A. Cukup andai Nur tidak mengendahkan dan menghubunginya. Nur punya keluarga dan teman yang menyokong , harus mengapa perlu kalah dengan pujuk rayunya? SPM lebih penting dari memikirkan cinta yang belum tentu membahagiakan. Hidup dan masa depan Nur lebih penting dari memikirkan kemurungan dan air mata A. Jangan biarkan hidup terbeban dengan perkara yang tidak sepatutnya diterima. Sejujurnya Nur hanya terbeban dengan perasaan bersalah. Mohonlah maaf pada semua orang. Jangan sesekali meninggalkan sembahyang, perbanyakkan solat taubat, hajat dan istikharah. Mohonlah petunjuk dan pedoman pada Yang Berhak. Mohonlah kemudahan dalam melaksanakan kehidupan. Kerana Dia punya hak pada sekalian perkara yang wujud di dunia ini. Semoga Allah memberi petunjuk pada Nur, memberi kebahagiaan dan kerukunan dalam rumahtangga A.
n 3P, Johor
3P,
Terima kasih atas pandangan. Nasihat dan saranan anda diharap dapat membantu Nur menyelesaikan kemelut yang dihadapi. Mungkin usia Nur yang masih muda meletakkan dia dalam keadaan yang sukar membuat keputusan. Pada peringkat remaja, kita sering keliru membuat keputusan dan masih mencari identiti diri. Justeru itu, Nur dan remaja-remaja lain perlu berkongsi masalah dengan orang yang boleh dipercayai seperti ibu bapa, guru atau kaunselor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: