|
|
NAM gaya berbeza dengan potongan rambut terkini. Namun, ia masih praktikal untuk mereka yang inginkan stail rambut yang baru. Dalam apa jua keadaan, gaya rambut anda menyerlahkan keperibadian tersendiri. Senario ini cuba dicipta menerusi koleksi Pure Essential Looks untuk musim bunga dan panas 2010 hasil kreativiti Schwarzkopf Professional menerusi pertunjukan fesyen rambut terbesar di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Ternyata Essential Looks sudah terbukti mampu menterjemahkan dunia moden serta pertunjukan fesyen kepada realiti komersial. Penggemar fesyen rambut boleh melayari www.schwarzkopf-professional.com untuk melihat lebih lanjut sentuhan baru Schwarzkopf Professional yang bertemakan boudoir, cyber sport, uniform, new rebel dan punk goddess.
Boudoir
Ia mengghairah dan romantik. Musim ini menampilkan kain berbunga-bunga, beropol dan renda serta pakaian dalam cerah supaya menampakkan gaya menggoda dan mengimbau kenangan silam. menyerlahkan sensasi itu, rambut digayakan dengan seksi dan kelihatan tebal bertekstur. Kewanitaan dan romantik dikekalkan menerusi bentuk dandanan lembut yang diserlahkan dengan warna gelap wain merah, tembaga dan coklat gelap bagi memastikan rambut terasa gebu berkilauan, seakan disinari cahaya lilin di malam hari.
Cyber sport
Ia tampil dengan pakaian sukan moden sendat dipadukan gaya 60-an. Fabrik pakaian sukan seperti neoprene, nilon dan tenun membolehkan pemakai mudah bergerak, disulami warna siber melengkapi ciri futuristik. Rambut dipotong dan digayakan dengan penuh pintar untuk menyerlahkan ketangkasan yang kelihatan garang tetapi terserlah kebebasan dandanan. Hitam menjadi warna asas dan dipadankan dengan warna merah avatar, oren dan biru. Warna terang digunakan untuk mencetuskan kilauan dan menyerlahkan fabrik sukan.
Uniform
Menampilkan gaya rapi dan kemas dengan sentuhan mewah, pakaian seragam tentera menampilkan keseksian. Jaket perang lusuh, baju-T dan skirt diberikan wajah baru serta dipotong ke paras paha manakala kain berurat kasar diserlahkan lagi dengan cebisan kain khaki dan palitan debu. Begitu juga dengan rambut yang dipadankan agar mereka mengenakan gaya ini. Tidak kira lelaki atau wanita, tampak berkuasa menerusi bentuk rambut mantap dan lurus. Potongan rambut sekan budak lelaki pada wajah jejaka digayakan menerusi potongan tepi yang lembut. Warna daripada inspirasi pakaian seragam yang menyaksikan warna hijau, biru dan kelabu digabungkan dengan warna asas hitam.
New Rebel
Fesyen ini menampilkan rekaan unik kasual seakan malas bergaya tetapi begitu menawan dan menepati trend. Kain denim sengaja kelihatan comot dengan padanan ganjil atau bukan lumrah seperti baju-T longgar dan dipotong paras pertengahan badan. Rambut dibiar tidak bersikat, menutupi dahi dan diilhamkan supaya tampak ringkas dan ranggi. Tekstur rambut mewah dan dibentuk lembut menyerlahkan gaya rock diserikan dengan warna perang dan coklat lembut. Teknik cubaan adunan warna ini menjadikan gaya yang dihasilkan begitu terserlah tetapi nampak lebih anggun dan lembut.
Punk Goddess
Musim ini melihatkan pakaian glamor dengan sentuhan punk. Baju dan kain yang cantik dikoyak, dibakar dan dimusnahkan manakala pakaian litup digantikan dengan sentuhan bondage atau lilitan kemas. Rambut pula dibiarkan panjang dan berlapis serta agak kerinting bagi memastikan ia ikal beralun dan tampak lebat, mengembalikan kenangan gaya era punk dan Mohican (pribumi Amerika). Warna rambut dibiarkan terang tetapi berkilat bagi menyerlahkan sentuhan mewah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: