![]() |
| |
ANAK muda ini pantas membentuk empayar kecilnya. Punya peminat yang setia menjadi pemantau dan penggemar karyanya dalam bentuk penulisan dan persembahan, Mohd. Zahiril Adzim Mohd. Mukhtar atau Zahiril Azdim tidak mengambil masa yang lama untuk timbul di lautan bakat baru yang muncul di persada seni tanah air.
Anak muda yang lahir tahun 1984 ini membuka langkah perkenalan melalui filem Kami. Membawa watak antagonis, pemegang peranan Boy ini menerkam ingatan khalayak terhadap lakonannya yang semula jadi.
Melalui watak itu, dia menerima anugerah Pelakon Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-22. Walau pembuka bicaranya dimulakan dengan watak hitam, itu bukan sebab dia tidak menjadi pujaan umum terutama anak-anak gadis yang menyukai tahi lalat di bawah bibirnya.
Penggemar penyanyi bernama Iwan Fals ini semakin membawa eksplorasi dirinya. Menumpahkan pembelajaran yang ditimba dari Akademi Seni Warisan dan Budaya (Aswara), Zahiril yang mesra disapa dengan nama Bob ini memencak kekuda lakonannya ke dalam teater.
Pernah juga merasa terbang jauh ke Festival Filem Cannes di Perancis kerana watak dalam filem Karaoke yang layak menerima pencalonan pada festival berprestij tersebut
Terbaru, dia hanyut bersama watak Rahmat. Watak dalam siri epik yang mengangkat ketabahan seorang wanita bernama Sybil Kathigasu ini ditebarkan di saluran Astro Citra, setiap Rabu, pukul 9 malam, bermula 5 Mei lalu.
Drama dengan tajuk Suatu Ketika... Apakah Dosa Ku yang mengisi slot Suatu Ketika itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
“Rahmat ialah watak fiksyen dalam kisah benar sejarah Sybil. Dialah remaja yang suka melepak, berjudi namun kemudian dirinya yang penuh dengan sifat menentang terlibat dengan komunis hanya kerana bencikan pihak Jepun.
“Selepas itu, Rahmat memberikan ceramah kepada orang kampung dan dia ada sebab tersendiri menyertai komunis,” ujarnya.
“Apabila terlibat dalam karya riwayat sebegini, sedikit sebanyak saya membantu untuk menyampaikan cerita tersebut kepada umum khususnya kekalutan yang berlaku pada zaman itu,” ulas Zahiril yang ketawa mengingatkan sebuah adegan di mana dia kononnya faham akan percakapan Mandarin dalam drama tersebut.
Kontradiksi kepada kebencian seorang Rahmat kepada pihak Jepun, Zahiril Adzim baru sahaja melepaskan lelah bekerja di Negara Matahari Terbit itu Januari lalu. Kagum dengan cara kerja dan budaya rakyat Jepun, dia membawa rasa itu ke dalam disiplin dan komitmen kerjanya.
“Tahun ini tahun yang baik untuk saya. Jika dahulu saya mencari kerja tetapi kini saya bersyukur kerana perlu tercari-cari ruang untuk bercuti dan menahan diri daripada terus bekerja.
Mulai 14 Mei ini, saya akan terlibat dalam filem arahan James Lee, Awekku Pontianak,” ceritanya dalam nada gembira terhadap filem pertama yang menampilkan dirinya sebagai pelakon utama dan bergandingan bersama Liyana Jasmay dan Sazzy Falak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: