Friday, May 7, 2010

Pub, karavan, garaj jadi pusat mengundi


BEBERAPA pengundi berbual semasa mereka meninggalkan sebuah garaj rumah yang dijadikan pusat pengundian di Croydon, selatan England semalam.


LONDON - Beberapa pengundi tidak melepaskan peluang untuk menghilangkan dahaga ibarat pepatah, sambil menyelam minum air apabila mereka mengundi di sebuah pub semasa pilihan raya umum Britain semalam.

Orang ramai berbaris panjang memasuki pub The Anglesea Arms di sini bukan untuk berhibur tetapi bagi memilih wakil rakyat yang akan mewakili mereka di Parlimen.


BROWN dan isterinya tiba di pusat pengundian di North Queensferry, Fife, Scotland semalam.


"Ia seperti bonus kepada para pengundi! Mereka dapat mengundi dan pada yang sama, memesan minuman kegemaran mereka," kata seorang pegawai pilihan raya, Martin Carver.

Seorang pesara, Judy Carter menganggap dirinya bertuah kerana dapat mengundi di pub itu yang merupakan antara pusat mengundi unik di Britain.

"Selepas ini, saya akan datang lagi untuk minum minuman kegemaran saya," katanya.

Pub The Fox and Hounds turut dijadikan pusat pengundian di selatan England.

Selain pub, garaj rumah di Croydon, selatan England juga dijadikan pusat pengundian.

Beberapa rumah turut dijadikan pusat pengundian di negara itu.

Orang ramai turut mengundi di dalam karavan di sebuah tempat letak kereta tepi pantai di bandar Seaton, barat daya England.

Pengundi di Portland, selatan England mengundi di sebuah salun rambut manakala penduduk kampung di Chettisham pula mengundi di dalam bilik tidur sebuah banglo milik persendirian.


SEORANG lelaki keluar dari sebuah karavan yang dijadikan pusat mengundi di Seaton, Cornwall, Britain semalam.


Pilihan raya kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara tiga parti utama di Britain iaitu Parti Buruh, Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat.

Tinjauan pendapat terbaru menunjukkan parti pembangkang utama, Parti Konservatif diketuai David Cameron memperoleh sokongan paling ramai rakyat Britain diikuti parti pemerintah, Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Gordon Brown.

Parti Liberal Demokrat yang diketuai Nick Clegg pula berada di kedudukan ketiga.

Keputusan pilihan raya kali ini dijangka diketahui seawal hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: