Tuesday, May 4, 2010

Program santai dakwah Jakim


Dari kiri; Farihin Abd. Fatah, Wardina Saffiah, Erma Fatimah dan Nabil Ahmad pada forum bertajuk, 'Menggaris Hiburan Seni, Cakna Ikon Remaja Masa Kini'.


AJARAN Islam tidak pernah melarang kehendak manusia untuk berhibur. Ini kerana seni hiburan sememangnya satu cara untuk menghiburkan hati dan jiwa.

Pun begitu, aktiviti seni hiburan tersebut perlulah diurus dan dikawal mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh syariat Islam agar hiburan tersebut tidak melampau dan dalam keadaan terkawal.

Mengikut sejarah, Wali Songo di Tanah Jawa turut menerapkan elemen hiburan seperti wayang kulit untuk melaksanakan misi dakwah.

Elemen-elemen seperti penerapan nilai-nilai murni, pembinaan modal insan, cintakan agama, bangsa dan negara serta penghargaan kepada budaya perlulah diseimbangkan.

Atas kesedaran itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), melalui Bahagian Kesuma bersama-sama agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan telah menganjurkan 'Program Santai Sambil Berhibur Bersama Remaja' di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 17 April lalu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, tujuan utama program itu untuk menyalurkan maklumat dan memupuk nilai-nilai murni serta positif melalui cabang-cabang kesenian.

Katanya, dalam meniti arus globalisasi kini, pendekatan bagi melaksanakan dakwah kepada golongan remaja perlu kepada perubahan mengikut minat dan kecenderungan golongan ini.

"Kita dapat lihat bagaimana hiburan dan muzik boleh memberi impak dan kesan yang besar kepada pembentukan jiwa remaja," katanya.

Menurut Wan Mohamad lagi, remaja cenderung menjadikan artis sebagai ikon dan mengambil contoh daripada semua sudut seperti pemakaian, perlakuan dan juga cara hidup.

Justeru katanya, pendekatan santai sambil berhibur yang cuba diketengahkan ini adalah salah satu usaha memberi bimbingan kepada para remaja dalam memilih bentuk-bentuk hiburan yang terarah.

"Sesuai dengan lokasi yang dipilih pada program sulung ini iaitu Pasar Seni, adalah menjadi harapan agar para pengunjung terutamanya para remaja dapat mengetahui dengan jelas bentuk-bentuk hiburan yang tidak bercanggah dengan syariat," katanya kepada Mega selepas melakukan lawatan ke beberapa gerai pameran.

Program yang bertemakan, 'Hargai Usia Remajamu' akui Wan Mohamad, amat signifikan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum masa miskin, masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa muda sebelum datang masa tua, masa hidup sebelum tiba waktu mati".

Ini jelas menunjukkan usia muda adalah satu tempoh masa yang sangat bermakna bagi kita untuk digunakan ke arah perkara-perkara yang bermanfaat dan diredai Allah.

Program yang bermula pukul 10 pagi itu dipenuhi pelbagai aktiviti antaranya pameran dari agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persembahan nasyid daripada Kumpulan In-Heart, pertunjukan fesyen busana remaja Muslimah, pementasan puisi drama oleh Pesona Seni Kuala Lumpur, persembahan daripada finalis program Adik-Adikku.

Uniknya program itu, selain mempromosikan hiburan Islamik turut diselitkan bual bicara ilmiah yang dikendalikan oleh pengacara Astro Oasis, Nabil Ahmad.

Tiga panel jemputan telah berdiskusi dengan tajuk, 'Menggaris Hiburan Seni, Cakna Ikon Remaja Masa Kini'. Mereka ialah pengarah dan pelakon filem, Erma Fatimah, pelakon dan pengacara, Wardina Saffiah dan Farihin Abd. Fatah, penulis lirik nasyid.

Terdahulu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim merasmikan program yang pertama seumpamanya ini.

Dalam ucapannya, Mashitah meluahkan rasa gembira kerana program tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim sesama Muslim, malah pada masa yang sama ia dilihat sebagai satu peluang percambahan minda dalam ikhtiar mengatasi masalah kebejatan sosial yang sedang dihadapi ini.

Katanya, dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global tanpa sempadan kini ini, banyak berlaku limpahan budaya negatif yang melanda negara.

"Remaja hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme, terjebak dalam amalan seks bebas, buang bayi, penyalahgunaan dadah, judi, arak, ketagihan bahan porno, bunuh, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

"Sekiranya ia tidak dibendung, maka impian kita untuk membangunkan negara menjadi sebuah negara maju dengan acuan kita sendiri, akan hancur musnah," jelasnya.

Justeru, kata Dr. Mashitah, satu tindakan yang lebih drastik harus dilakukan dalam mempertingkatkan mutu kehidupan bagi melahirkan remaja yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah serta sentiasa bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

"Semoga dengan adanya platform seperti ini, remaja akan dapat mencari sumber rujukan dan menyalurkan masalah mereka melalui kaunter-kaunter pameran agensi-agensi kerajaan dan NGO yang berkaitan.

"Sekali gus dapat melahirkan kesedaran di kalangan remaja tentang pentingnya berakhlak mulia serta menyediakan diri kepada persekitaran yang lebih sihat," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: