Monday, May 17, 2010
Populariti Saiful Apek merudum
Beberapa tahun kebelakangan ini, nama Saiful Apek semakin ke belakang. Bukan tidak ada tawaran berlakon atau berlawak tetapi lambakan pelawak baru menyebabkan nama Saiful Apek kini dilihat semakin 'tenggelam'.
Bagi bapa kepada dua cahaya mata ini, perkembangan terbaru itu bukan dianggap signal bahawa zamannya sudah berlalu tetapi menyifatkan itu sebagai satu proses peralihan biasa yang membuka ruang untuk pelapis baru menonjol.
“Saya pernah berada di atas. Kini, giliran saya memberi laluan kepada bakat-bakat baru pula. Saya tak anggap ia sebagai kejatuhan saya dalam bidang ini cuma sekarang penonton mahu melihat muka-muka baru dan lawak yang segar.
“Walaupun duduk di belakang mereka, tapi saya bangga kerana mereka banyak bertanya kepada saya dan sedia menerima teguran.
“Inilah yang kita mahukan. Walaupun mereka baru dan banyak idea tetapi mereka tidak segan bertanya dan ada antara mereka menganggap saya sebagai mentor mereka.
“Jadi saya tak rasa saya sudah jatuh sebaliknya sudah diangkat kepada satu fasa lagi iaitu menjadi cikgu.
“Saya suka berkongsi ilmu. Walaupun ditawarkan watak pembantu sahaja, saya akan pastikan watak itu juga hidup. Saya tak mahu sekadar tempelan sahaja,” katanya yang bakal muncul dengan filem Kecoh Betul pada 3 Jun depan.
Di dalam filem ini Saiful memegang watak Don iaitu pemilik sebuah restoran pizza. Biarpun hanya watak pembantu, wataknya dianggap penting.
“Memang tak banyak adegan saya dalam filem ini. Tapi setiap kali muncul, saya akan pastikan ada sesuatu. Inilah yang saya katakan, walaupun tak banyak adegan, tetapi saya akan pastikan ada sesuatu dalam watak saya.
“Saya juga diberi kelonggaran untuk gunakan skrip sendiri untuk filem ini. Dapat bekerja dengan tenaga baru seperti Nabil membuatkan saya lebih bersemangat,” katanya.
Kecederaan bukan jadi penghalang
Di dalam filem ini juga, Saiful dilihat sering memakai sarung tangan. Rupanya ada cerita di sebalik sarung tangan itu di mana sewaktu awal penggambaran, Saiful telah terjatuh sewaktu memegang gelas menyebabkan tangannya luka.
“Saya tak tahu macam mana nak ‘cover’ tangan yang berbalut. Kebetulan dalam filem ini, saya menunggang motor, jadi saya gunakan sarung tangan, nampaklah kelainan sikit.
“Tapi saya seronok berlakon dengan produksi bukan Melayu dan dapat belajar cara mereka bekerja,” katanya lagi.
Meskipun ada dakwaan mengatakan Saiful Apek sudah tidak ada kerja lagi memandangkan terlalu ramai golongan baru, namun menurut pemilik syarikat Gitu Gitu Productions ini menyangkal sebaliknya tawaran berlakon dan berlawak tidak pernah putus.
“Saya juga masih Saiful Apek yang sama. Saya masih sibuk dengan penggambaran dan undangan persembahan. Orang kata banyak kerja di belakang tabir. Rezeki masih ada. Syukur sangat.
“Pada waktu terdekat ini saya akan muncul dengan filem 4 Madu dan Magika. Kemudian sitkom Senario masih berjalan. Hujung tahun pula saya akan terlibat dengan filem Cicak-Man 3,” katanya.
Tunggu reaksi filem arahan sulung
Seperti pengarah yang lain, Saiful Apek tidak sabar untuk menanti filem arah pertamanya Shyyy Dia Datang. Filem yang sudah dua tahun siap itu masih tidak mempunyai kata putus daripada penerbitnya.
“Sebagai pengarah, saya sudah lunaskan tanggungjawab saya. Bayaran juga sudah diterima. Filem ini memang sudah siap sepenuhnya dan tidak wujud apa-apa masalah.
“Cuma filem yang sepatutnya ditayangkan pada awal tahun lalu itu masih belum ditayangkan. Tak tahu apa masalahnya. Saya tidak menyalahkan produksi kerana saya hanyalah pengarah. Cuma agak terkilan kerana itulah buah tangan pertama saya. Saya telah curahkan segala-galanya di dalam filem itu. Namun saya masih bersabar dan akan terus menunggu tarikh tayangannya,” katanya.
Ditanya adakah dia mempunyai masalah dengan pihak produksi sehingga filem itu 'diperam’ sebegitu lama, Saiful menafikannya.
“Kami tidak ada apa-apa masalah. Sebaliknya saya hormat mereka kerana sewaktu filem itu masih dalam fasa penyuntingan, kami krew telah mendapat bayaran penuh dan ada bonus lagi.
“Kerana itu saya katakan filem itu sangat istimewa buat saya. Saya diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menggarap filem tersebut. Cuma sayang ia masih belum ditayangkan. Kata mereka, saya sudah lakukan kerja saya sebagai pengarah dan selebihnya biarlah mereka yang uruskan sendiri.
“Jadi saya tak boleh nak buat apa-apa dan berharap ia akan dapat ditayangkan kepada umum tidak lama lagi,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: