Wednesday, May 19, 2010

Pengurusan hijau sisa pepejal


GENERASI muda harus dididik secara berterusan agar mengitar semula bahan buangan.


SEIRING dengan perkembangan ekonomi yang pesat dan peningkatan populasi penduduk seperti mana negara membangun lain, Malaysia berhadapan dengan cabaran menguruskan sisa pepejal domestik dan industri.

Kepesatan ekonomi akan menyebabkan lebih banyak sisa industri dijana manakala peningkatan populasi bermakna lebih banyak sisa domestik terpaksa dilupuskan.

Ketika ini rakyat Malaysia menghasilkan 19,000 tan sampah sehari dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 30,000 tan sampah sehari menjelang 2020.

Statistik di atas membawa satu maksud, Malaysia tidak mempunyai pilihan kecuali menguruskan sisa pepejalnya secara teratur atau terpaksa berdepan dengan risiko alam sekitar yang membawa impak berantai lain, termasuk perubahan iklim.

Hakikat itu diakui beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang menegaskan tanggungjawab menguruskan alam sekitar, termasuk sisa pepejal, terletak di atas bahu semua pihak.

Sistem terurus

Dalam hal ini, Setiausaha Agung Persatuan Penyelidikan dan Pengurusan Alam Sekitar Malaysia (ENSEARCH), Geetha P. Kumaran berkata tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, secara amnya, adalah baik.

"Namun mereka masih memerlukan faktor penolak yang konsisten," katanya. Geetha merujuk kepada kempen kesedaran alam sekitar yang dilakukan perlu bersifat pembelajaran jangka panjang dan bukannya bermusim sahaja. Malah, infrastruktur yang ada perlu ditingkatkan selain pihak berkuasa perlu menangani masalah remeh seperti kutipan sampah yang tidak menentu dengan lebih berkesan.

Katanya, ketika ini pengurusan sisa pepejal domestik di negara ini hanya berkisar kepada sampah yang dibuang ke dalam tong sampah sebelum ia dikutip kontraktor pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk dilupuskan di tapak pelupusan.

Geetha bersetuju situasi itu jauh daripada hakikat pengurusan sisa pepejal yang diamalkan di negara lain kerana sisa pepejal itu akan dijadikan sumber terpakai secara maksimum dengan selebihnya dilupuskan.

Kadar kitar semula di negara membangun seperti Malaysia dikatakan berada pada tahap lima peratus berbanding kadar kitar semula di negara maju seperti Jepun mencecah angka melebihi 40 peratus.

Semua main peranan

Dalam mengulas hal ini, ahli ENSEARCH, Hasmah Harun berkata, apa yang diperlukan untuk meningkatkan kadar kitar semula adalah usaha lebih aktif daripada ketua komuniti seperti keluarga, sekolah dan masyarakat.


PERTAMBAHAN populasi akan menyaksikan lebih banyak sampah dihasilkan rakyat negara ini.


"Semuanya bermula dari rumah. Ibu bapa misalnya perlu menjadi contoh kepada anak mereka untuk mengitar semula atau mengasingkan sampah bagi mengurangkan jumlah sampah yang terpaksa dilupuskan di tapak pelupusan," kata Hasmah.

Beliau berkata, pengurusan sisa pepejal yang efisien penting bagi mengelakkan risiko penyakit yang mungkin timbul melalui pembuangan sampah tidak terkawal, banjir kilat selain persaingan guna tanah untuk membina tapak pelupusan yang baru.

Dengan kata lain, amalan hijau seperti kitar semula dan teknik kompos akan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan yang ada di negara ini sekali gus mengurangkan potensi risiko yang ada.

Seperti Geetha, Hasmah juga bersetuju bahawa tindakan kerajaan ke arah penjagaan alam sekitar yang lebih mapan dilakukan menerusi penggubalan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang diwartakan pada 2007 tetapi belum dikuatkuasakan.

Kerajaan juga menubuhkan dua entiti berasingan iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, selaku badan penggubal peraturan dan dasar manakala Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam selaku badan pelaksana dalam menguruskan sisa pepejal domestik dan industri di negara ini.

Dengan kata lain, pengurusan sisa pepejal akan berada di bawah tanggungjawab perbadanan terbabit dan bukan lagi PBT yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Persidangan 1Green Malaysia

Geetha dan Hasmah berpandangan isu-isu mengenai pelaksanaan akta dan kedua-dua entiti itu perlu diperjelaskan kepada rakyat khususnya mengenai hala tuju pengurusan sisa pepejal negara demi kelangsungan alam sekitar yang lebih terjamin.

Dalam konteks ini, ENSEARCH yang ditubuhkan sejak tahun 1984 akan menganjurkan Pameran dan Persidangan Pengurusan Sisa Pepejal 2010 (WM2010) di Pusat Konvesyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur selama dua hari bermula hari ini bagi mengupas isu-isu berkaitan pengurusan sisa pepejal di negara ini.


KADAR peratusan kitar semula di Malaysia masih rendah berbanding negara maju.


Persidangan yang mendapat sokongan padu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertemakan 1Green Malaysia itu akan menampilkan beberapa panel pakar dari dalam dan luar negara.

Naib Presiden ENSEARCH, K. N. Gobinathan berkata persidangan itu akan menjadi platform terbaik bagi pihak kerajaan dan industri untuk menyalurkan maklumat dan pandangan mereka berhubung dasar dan cadangan dalam menambah baik pengurusan sisa pepejal negara.

Maklumat lanjut mengenai persidangan itu boleh diperoleh dengan melayari www.ensearch.org.

1 comment:

  1. sedih dengan mentaliti orang kita..tunggu jadi baru nak ambik tindakan..haish..

    BUKAN BLOG NENEK NENEK YE

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: