Saturday, May 15, 2010

Pasar Chatuchak


PENIAGA jalanan yang mencari rezeki di Pasar Minggu Chatuchak.


TIADA sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku semasa kunjungan saya ke Bangkok pada penghujung Mei yang lalu. Walaupun ketika itu perusuh berbaju merah sudah mula berarak di beberapa jalan utama di pusat bandar, keadaannya masih terkawal. Kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong seperti Sukhumvit, Suan Lum, Khao San, Nana dan Silom sesak seperti biasa dengan pengunjung dan urus niaga masih yang berlanjutan sehingga lewat malam.

Bangkok sememangnya terkenal dengan barisan gerai dan bazar yang menawarkan pelbagai pilihan barang untuk dibawa pulang.

Boleh dikatakan setiap daripada blok-blok utama di bandar itu mempunyai bazar tersendiri.

Namun untuk menjenguk ke setiap pasar yang ada di kota raya itu pasti mengorbankan sebahagian besar daripada masa melancong.

Apatah lagi untuk menempuh kesibukan bandar yang mempunyai lebih 20 juta penduduk itu.

Jika waktu melancong di Bangkok agak terhad, pilihan terbaik untuk mereka yang gemar membeli-belah ataupun sekadar untuk mencuci mata, kunjungan terbaik semestinya ke Pasar Minggu Chatuchak.

Tapak jualan dua hari seminggu (Sabtu dan Ahad) seluas 21 hektar itu menempatkan kira-kira 5,000 gerai. Ia merupakan antara pasar terbesar di dunia.

Raja segala pasar itu menghimpunkan peniaga-peniaga yang datang dari seluruh pelosok bumi Thailand. Jumlah pelawat pula mencecah sehingga 200,000 orang pada setiap minggu.

Chatuchak yang dibahagikan kepada lebih 25 bahagian utama menempatkan gerai jualan pakaian, kraftangan, buku, tumbuh-tumbuhan, perabot, hiasan rumah, barangan antik, haiwan peliharaan dan galeri seni.

Pengembaraan penulis di Chatuchak dibantu oleh Roslan Yusof, rakan lama yang sudah lebih setahun bertugas di Bangkok. Kebolehannya bertutur dalam Bahasa Thai banyak memudahkan proses tawar-menawar.

Bagi yang hanya tahu berbahasa Inggeris, anda tidak perlu risau kerana dengan sedikit senyuman dan sikap sopan itu sudah cukup untuk menurunkan harga barang yang dihajatkan.

Namun meredah masuk ke 'lautan gerai' tanpa peta pasar adalah kesilapan yang terpaksa diakui. Sepatutnya sebelum memasuki lorong-lorong di bazar itu perlu dapatkan maklumat di kaunter pelancong terlebih dahulu untuk mengatur perjalanan dengan lebih teratur.

Tanpa mengetahui pembahagian jenis-jenis perniagaan, perjalanan diteruskan mengikut rentak kaki dan pandangan mata. Untuk tidak tersesat lebih jauh, perjalanan hanya dilakukan melalui gerai-gerai yang terletak di bahagian pinggir pasar.

Walaupun peluang untuk mendapatkan barang-barang yang dicari agak tipis dengan cara itu, kemeriahan di lorong sempit yang penuh dengan pengunjung itu tidak mengecewakan kunjungan.

Bahkan masa di situ dirasakan seperti terlalu singkat. Perjalanan berterusan sehingga beberapa jam sehinggalah kami menyedari bekalan air di dalam botol minuman sudah kehabisan.

"Pasar ini dibuka seawal pukul 7 pagi. Waktu terbaik untuk melawat adalah seawal mungkin untuk mengelak kesesakan pengunjung dan cuaca yang panas," ujar Roslan ketika kami singgah di gerai nasi ayam yang diusahakan peniaga Islam dari Pattaya.

Pasar Minggu Chatuchak menawarkan peluang membeli-belah yang pasti memuaskan nafsu membeli setiap pelawat. Kepelbagaian pilihan barang, harga yang murah dan kemesraan peniaga adalah pengalaman melancong yang pasti kekal di ingatan.

Daripada hiasan yang berharga kurang daripada 10 baht (RM1) sehinggalah ukiran-ukiran kayu berharga puluhan ribu ringgit.

Chatuchak juga menempatkan galeri seni lukis yang menjadi tempat pelukis tempatan bersaing untuk menghasilkan karya terbaik. Selain itu, beberapa gerai menjual buku-buku lama juga antara yang banyak menarik perhatian pelancong asing .

Di Chatuchak juga ada banyak gerai peniaga Islam yang menawarkan pelbagai pilihan cita rasa.

Cuma satu peringatan kepada perokok. Keseluruhan pasar Chatuchak adalah kawasan larangan merokok. Walaupun tiada penguatkuasaan yang serius, anda tentu tidak mahu duit yang dibawa untuk membeli-belah dihabiskan untuk membayar denda jika anda ditangkap.

Bagaimana ke sana?

Dari pusat bandar Bangkok, perjalanan ke bazar boleh dilakukan dengan menaiki kereta api BTS dengan pertukaran ke perkhidmatan MRT sebelum berhenti ke hentian Kamphaengphet. Kos tambang menaiki MRT lebih kurang RM4.

Dari stesen itu, pelawat hanya perlu berjalan kaki kira-kira lima minit untuk memulakan 'pengembaraan' di Chatuchak.

Maklumat dan panduan mengenai sistem pengangkutan di Bangkok termasuk perbandingan harga teksi dan tut-tut boleh didapati di www.acrossplanet.blogspot.com.

Sememangnya bagi yang melawat Bangkok, Pasar Minggu Chatuchak adalah antara lokasi dalam bandar yang wajib dikunjungi. Bukan sahaja harga barang yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding bazar lain, pengunjung juga mempunyai lebih kepuasan untuk memilih.

1 comment:

  1. This is my article..I dont mind u using it but please put credit to it. I spend money traveling and time writing..
    www.acrossplanet.blogspot.com

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: