Saturday, May 15, 2010

Kolam renang terbesar dunia


Dengan saiz satu kilometer panjang pengunjung boleh menaiki bot kecil untuk menyusuri kolam renang.


CHILE, sebuah negara bekas jajahan Sepanyol di Amerika Selatan merupakan jaluran pantai sempit sepanjang 6,435 kilometer. Ia diapit Banjaran Andes di timur dan Lautan Pasifik di barat.

Negara itu merupakan antara yang paling makmur berbanding beberapa negara jirannya di benua itu dengan hasil utama adalah pertanian.

Menariknya walaupun dikategori sebagai negara membangun, Chile mempunyai sesuatu yang tidak dimiliki oleh negara-negara maju iaitu sebuah kolam renang terbesar di dunia.

Terletak di resort San Alfonso del Mar, di Algarrobo, di selatan Chile, kolam renang itu, berkeluasan lapan hektar dan menampung kira-kira 250,000 meter padu air.

Dibuka dengan rasminya pada awal 2008, ia diperakui oleh Guinness World Records sebagai kolam renang terbesar di dunia sekali gus memadamkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh kolam renang Orthlieb di Casablanca, Maghribi.

Keluasan Orthlieb adalah 150 meter panjang dan 100 meter lebar. Sedangkan kolam renang San Alfonso del Mar berukuran satu kilometer panjang dengan kedalaman 35 meter.

Saiz tersebut bersamaan dengan 6,000 kolam renang saiz standard.

Kolam renang itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan kos hampir satu bilion pound (RM4.8 bilion). Kos penyelenggaraan dikatakan mencecah dua juta pound (RM 9.6 juta) setahun.

Pembinaan kolam renang atau lagun air masin buatan manusia itu disifatkan sebagai satu revolusi dalam dunia pembinaan dengan reka bentuk dan teknik-teknik pembinaan yang tidak pernah dicuba sebelum ini.

Ia merupakan cetusan idea seorang ahli perniagaan Chile yang juga ahli biokimia, Fenando Fischmann melalui syarikat diasaskannya, Crystal Lagoons Corporation.

“Dengan teknologi kejuruteraan yang canggih kami telah membina ‘syurga dunia’ yang menakjubkan walaupun di kawasan yang sempit. Apa yang penting kami mempunyai akses air laut yang tidak terhad dan projek kami tidak merosakkan semula jadi laut,” kata Fischmann.

Dengan airnya yang jernih berwarna biru firus pengunjung boleh melihat hingga sampai ke dasar kolam walaupun di tempat yang paling dalam.

Kolam renang raksasa itu menggunakan kawalan komputer bagi sistem menyedut dan penyaringan bagi memastikan airnya sentiasa segar dan bersih.

Sistem itu akan membolehkan air laut dipam masuk di hujung kolam dan keluar di hujung satu lagi.

Pancaran matahari menghangatkan air pada paras 26 darjah Celcius, iaitu sembilan darjah lebih hangat berbanding air laut bersebelahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment