Monday, May 24, 2010

OKU Rayu Diberi Kaki Palsu

PRIHATIN... Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Kedah, Haris Fadzilah Hussain (tengah) mendengar keluhan Abdul Aziz Nayan, 35, di perkarangan rumahnya di Kampung Seberang Perak di Alor Setar, baru-baru ini.

ALOR SETAR: Peribahasa "sudah jatuh ditimpa tangga" mungkin sesuai untuk Abdul Aziz Nayan yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan semasa bekerja dan insurans pula tidak dibayar sepenuhnya kepada beliau.

Selepas 14 tahun tragedi itu berlaku, Abdul Aziz masih berusaha mendapatkan haknya dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Rayuan tuntutan dari Perkeso akan didengari 3 Jun ini di pejabat Perkeso Alor Setar. Selain itu bekas majikan, syarikat Innosource Sdn Bhd hanya bayar saya RM22,000 dari RM42,000 tuntutan insurans yang dijanjikan," dakwanya.

Abdul Aziz yang ditemui di rumah sewanya di Kampung Seberang Perak di sini, baru-baru ini berkata rayuannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Zakat Kedah untuk mendapat kaki palsu sejak dua tahun lepas juga tidak berhasil.

Menceritakan kemalangan yang menimpanya pada 1996, Abdul Aziz berkata dia terjatuh dari ketinggian kira-kira tujuh meter apabila kabel yang mengikatnya terputus.

"Saya jatuh terhempas menyebabkan kaki kanan dari paras lutut terpaksa dipotong selepas dijangkiti kuman," katanya yang kini memperoleh pendapatan kira-kira RM200 sebulan dengan mencari besi buruk untuk dijual sebagai sumber pendapatan.

Beliau berkata hasil itu dan bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan digunakan bagi menyara isteri dan seorang anak berusia lima bulan termasuk membayar sewa rumah RM120 sebulan.

"Saya telah merayu banyak pihak untuk menyumbang kaki palsu bagi memudahkan bergerak dan mengayuh basikal roda tiga mencari besi buruk. Dengan menggunakan tongkat agak susah," kata Abdul Aziz.

Sementara itu, Abdul Aziz dikunjungi Setiausaha Umno bahagian Kuala Kedah, Haris Fadzillah Hussain yang menyumbangkan makanan dan wang tunai.

Haris (kiri) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada Abdul Aziz.

"Saya terharu dengan kegigihan Abdul Aziz walaupun cacat tapi gigih berusaha mencari rezeki untuk menyara keluarganya," kata Haris Fadzillah semasa ditemui pemberita.

Beliau berkata Umno Kuala Kedah akan berusaha membantu Abdul Aziz mendapatkan kaki palsu yang diperlukannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: