1MALAYSIA ... Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu (tiga, kiri) dan pelumba motocross paling muda, Ku Mohd Amirul Ku Asli, 14, dari Kodiang Kedah menunjukkan isyarat "1Malaysia" pada Majlis Perasmian Karnival Motocross & Cubcross Perlis 2010 di Sungai Batu Pahat dekat Kangar, semalam. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis, Abdul Jamil Saad (kiri). KANGAR: Ku Mohd Amirul Ku Asli, pelumba paling muda berhasrat memberi saingan sengit kepada para pelumba lebih veteran pada Sirkit Motorcross dan Subcross 2010 yang berlangsung di Litar Motorcross Sungai Batu Pahat dekat sini semalam.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Bendahara, Kodiang itu telah menceburi bidang sukan lasak itu sejak berumur 10 tahun dengan menjalani latihan asas dalam sebuah kebun getah di Kodiang.
Katanya, beliau telah menyertai lebih 10 pelumbaan termasuk sirkit Motorcross dan Subcross dan pernah memenangi tempat pertama dalam Sirkit Junior Motorcross di Kelantan dan Selangor pada tahun 2008.
Sirkit pertama yang pernah disertai pelumba dari Kodiang, Kedah itu adalah cubcross semasa beliau berumur 11 tahun di Kedah dan Terengganu tetapi hanya berpuas hati di tangga kelima dalam kesemua saingan itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis Abdul Jamil Saad berkata litar Sungai Batu Pahat itu merupakan salah satu litar pelumbaan terbaik di Asia yang telah dibangunkan semula untuk pelumbaan itu setelah hampir 10 tahun kawasan itu terbiar tanpa sebarang aktiviti.
Beliau berkata inisiatif Persatuan Belia Abi untuk mengadakan sirkit itu telah menghidupkan semula litar berkenaan dan memupuk semangat golongan belia untuk melakukan aktiviti berfaedah dan mengelak golongan itu berlumba di atas jalan raya.
Sirkit yang disertai 200 pelumba daripada beberapa negeri itu diadakan sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan ke-67 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan sempena genap 10 tahun pemerintahan baginda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: