Saturday, May 15, 2010

Norman, Memey tidak khalwat



ULU KLANG – Mohamed Saufi Zaidon tidak bersetuju bahawa adiknya, Norman Hakim dan pelakon Memey Suhaiza berkhalwat, dua tahun lalu.

Saksi itu bersetuju dengan peguam adiknya, Fakhrul Azman Abu Hassan, bahawa pertuduhan yang dikenakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah salah.

Mohamed Saufi, 46, berkata, dia orang pertama masuk ke dalam pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini, pada 30 Oktober 2008 tetapi tidak melihat Norman dan Memey berada di tempat sama ketika itu, sehingga boleh dianggap berkhalwat.

Dia menyambung keterangan pada peringkat pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes khalwat adiknya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.

"Tidak ada pintu lain selain pintu utama yang membolehkan seseorang memasuki ruang 4-1A di mana Memey ditemui dan ke 4-2A di mana Norman ditemui.

"Saya sendiri mengikut penguat kuasa membuat pemeriksaan di semua bilik dan saya dapati lampu di ruang depan pejabat utama, bilik mesyuarat an komputer dalam keadaan terang," katanya.

Mohamed Saufi mendakwa tidak tahu Norman berada di tingkat 4-2A ketika itu tetapi bersetuju keterangannya konsisten mendakwa Norman berada di pejabat selepas menghantar Ketua Pegawai Eksekutif syarikat mereka, Mdh Global Network, Amiruddin Razak yang tiada kenderaan selepas mesyuarat perniagaan malam itu yang selesai jam 12.30 tengah malam.

Pendakwa syarie, Muhamad Nazri Basrawi bertanya sama ada Mohamed Saufi benar-benar pasti tiada kejadian khalwat berlaku.

“Kalau mereka berdua berada bersama di tempat itu baharulah salah, tapi kalau seorang di tempat lain, itu tidak salah, begitu anggapan saya,” kata saksi itu.

Perbicaraan bersambung 4 Jun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: