Saturday, May 22, 2010

Norazaliah model pilihan Fareeda


NORAZALIAH (tengah), Norlizawaty (kanan) dan tiga pemenang hadiah sagu hati, Rosshidayu (berdiri kanan), Nasyeiha Saila (berdiri kiri) dan Mashitoh (duduk kiri) bersama hadiah masing-masing.


PERTANDINGAN Pencarian Model Tudung Fareeda yang mengambil masa hampir enam bulan berakhir secara rasmi pada 1 Mei lalu di Plaza Masalam, Shah Alam apabila Norazaliah Ramli dinobatkan sebagai juara.

Wanita yang berasal dari Paka, Terengganu itu berjaya menewaskan 30 finalis lain. Norazaliah, 26, tidak menyangka penyertaannya secara suka-suka memberi kemenangan kepadanya.

"Suami saya, Abdullah Faisal Hilaludin yang beria-ia menyuruh saya menyertai peraduan ini. Saya sempat berpesan pada suami supaya jangan kecewa jika saya tidak menang memandangkan semua finalis hebat-hebat belaka," kata pembantu tadbir di Jabatan Perdana Menteri itu yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000, tudung Fareeda bernilai RM2,000 berserta mahkota.

Kebanyakan finalis merupakan ibu muda malah ada antara mereka yang membuat catwalk dengan perut memboyot kerana hamil.

Pengunjung turut diperkenalkan dengan sembilan koleksi tudung Fareeda iaitu Maisara, Sofiya, Suraiya, Sara Marisa, Sara Khatijah, Sarah Waheeda, Sabreena, Rania Eksklusif dan Qamilia.

Kesemua koleksi tersebut sesuai dan mudah digayakan untuk ke pejabat, majlis-majlis keraian atau formal.

Pada majlis yang sama, pengunjung yang membeli tudung Fareeda berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

Di luar jangkaan

Pengunjung juga tidak kering gusi apabila dihiburkan dengan lawak jenaka gandingan pelawak veteran, Datuk Aziz Sattar dan finalis Raja Lawak, Pak Tam serta Pak Chu.

Dalam pada itu, pemilik Fareeda House of Scarf, Faridah Zakaria memberitahu, sambutan peraduan pencarian Model Tudung Fareeda di luar jangkaan.

"Kami menerima terlalu banyak penyertaan tetapi kami hanya memilih 30 finalis sahaja. Sangat sukar membuat pilihan kerana kesemuanya berpenampilan menarik dan cantik-cantik belaka.

"Pemenang pertandingan pencarian Model Tudung Fareeda dipilih berdasarkan beberapa kriteria iaitu rupa paras yang tidak jemu mata memandang dan gaya pemakaian tudung yang menarik," katanya yang mengasaskan Fareeda House of Scarf tiga tahun lalu setelah mendapat inspirasi daripada koleksi tudung-tudung di Dubai.

Tambahnya, oleh kerana sambutan yang amat memberangsangkan, pertandingan itu akan dijadikan acara tahunan.


NORAZALIAH tidak menyangka penyertaan secara suka-suka membawa tuah kepadanya.


Finalis yang menang akan dipilih menjadi model majalah Fareeda yang bakal diterbitkan setahun sekali.

Sementara itu, tempat kedua dirangkul oleh seorang guru di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Norlizawaty Baharin, 26.

Norlizawaty membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sepuluh helai tudung Fareeda yang bernilai RM2,000.

Tiga pemenang sagu hati memperoleh wang tunai RM500 dan lima helai tudung bernilai RM500 setiap seorang. Mereka ialah Rosshidayu Awang Teh, Nasyeiha Saila Sany Seth dan Mashitoh Rafi'a.

Kategori Fotogenik dimenangi oleh Noraliza Abdullah. Dua peserta yang terpilih bagi kategori Favourite Facebook ialah Noorul Suhada Sabri dan Nor Azah Awin Halim manakala peserta yang banyak mempromosikan tudung Fareeda di Facebook ialah Malia Mohamed. Setiap pemenang bagi kategori tersebut memperoleh lima helai tudung Fareeda.

Barisan juri yang mengadili pertandingan tersebut ialah Pengurus Pengiklanan Kosmo!, Stella Abdullah, isteri kepada Pengurus Besar Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Utusan Media Sales, Mimi Zamri; Pengurus Promosi dan Pengurusan Jenama Utusan; Aslinda Mohd. Noh, Pengurus Plaza Masalam, Azura Mokhtar dan Aminuddin Basirun selaku wakil dari Fareeda House of Scarf.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: