
JUJURNYA, bunga yang baru mekar ini ada gusar di dalam hati. Takut-takut yang difokuskan tentang dirinya bukan hasil kerjanya sebaliknya hal-hal peribadi.
Untuk itu, Nina sempat berpesan agar yang diuar-uarkan adalah perjalanan kerjaya yang memang diimpikannya sejak kecil.
Seperti kanak-kanak lain yang punya impian untuk terkenal apabila dewasa kelak, Nina menyimpan hasrat yang lebih daripada itu.
Bakat dan minatnya mahu dipertontonkan kepada umum. Dia kepingin benar bergelar penyanyi dan penghibur.
Apatah lagi dia membesar dengan lagu-lagu Janet Jackson yang menaikkan adrenalin.
Shazrina Azman nama sebenarnya, namun dia terbawa-bawa dengan arus hip hop yang diawali dengan menganggotai grup Teh Tarik Crew. Dia dikenali dengan nama Mizz Nina, sesuai dengan gayanya yang sentiasa tampak segar dan remaja.
Kini dia bergerak sendirian. Cita-cita untuk menghasilkan album solo sudah mula direalisasikan sejak setahun lalu.
Satu demi satu material digali dan disusun bagi membentuk sebuah album debut yang memuaskan hatinya.
Tunggu
Rezeki datang bergolek. Nina berpeluang berkolaborasi dengan penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Colby O Donis, figura yang turut terlibat dalam pembikinan album Lady Gaga dan Akon.
What Are You Waiting For adalah harga sebuah penantian gadis berusia 30 tahun ini.
Dia dapat berkongsi lagu dan momen bersama Colby. Klip video yang diarahkan oleh Scott McCullough itu adalah antara kenangan dan pengalaman paling berharga Nina.

"Dapat bekerjasama dengan Colby membuka mata dan minda saya terhadap stail bunyi dan atmosfera baru.
"Kami merakamkan suara secara berasingan namun ini adalah satu pengalaman yang menyeronokkan," ujarnya yang banyak menghabiskan masa di Los Angeles tahun lalu.
Lalu saya tanya akan empunya diri, apa yang ditunggunya seperti tajuk lagu itu?
Nina tertawa, menjawab jujur bahawa dia menanti saat albumnya memberi ledakan kepada rakyat Malaysia bahkan komuniti antarabangsa.
"Album ini juga seperti sebuah comeback saya," ulasnya yang merasakan 2010 adalah tahun yang tepat untuk dia menyinar.
Album penuh Nina bakal dilancarkan Julai ini sempena bulan kelahirannya.
Album berisi 14 buah lagu itu adalah hadiah terbaik untuk peminat dan mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan suara dan diri Nina.
Saya tanya lagi jika dia selesa menyanyikan lagu berbahasa Melayu, jujurnya dia menjawab 'tidak' namun itulah cabaran yang disahutnya.

"Sebanyak lima buah lagu Melayu tersenarai dalam album ini.
"Sebenarnya saya tidak bersedia untuk muncul sebelum ini. 2010 adalah tahun terbaik.
"Saya turut meletakkan harapan agar semua material dalam album ini dapat diterima.
Bapa
"Saya tahu ada tiga kategori pendengar di negara ini - yang suka, yang rasa okey dan yang benci. Namun, saya sudah bersedia sepenuhnya.
"Setakat ini respons terhadap single pertama adalah positif. Penting juga untuk membuktikan anak Malaysia boleh melakukan sesuatu di luar negara," tegas dan laju dia bersuara menunjukkan sisi seorang deejay Fly FM yang dikendongnya.

Bagaimanapun, pembikinan lagu dan klip video di Amerika itu mengundang pandangan skeptikal. Nina anak jutawan, jadi dia boleh buat apa yang dia mahukan, begitu ujar orang luar.
Nina diam namun setelah itu menjawab rasional dan menyatakan dia tidak ambil pusing akan pandangan tersebut.
"Sekurang-kurangnya saya melakukan sesuatu untuk hidup saya.
"Paling penting adalah merealisasikan impian saya," ujar anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim ini.
Dia juga mahu membuktikan bahawa dia sama seperti wanita di luar sana yang ada semangat indipenden yang membara.
Mungkin tuah yang membezakan dirinya tapi itu bukanlah sebab untuk dia bersenang-lenang.
"Itu juga sebenarnya satu cabaran. Saya mahu memperkenalkan nama saya sendiri tetapi berdiri dengan nama Nina bukan mudah.
"Apabila anda anak seseorang, sama ada orang mahu mempergunakan anda atau memerhati sahaja, apa yang boleh anda lakukan?" luah si manis yang yakin dirinya ialah seorang wanita yang boleh hidup berdikari.
Bunga hati keluarga ini kini turut mekar di hati seseorang. Melihat secara kasar, hubungan Nina dengan vokalis terkenal grup Hujan, Noh lebih diperkatakan umum hingga sedikit menutup cerita karier nyanyiannya.
Realitinya, hubungan ini berjalan secara simbiosis. Kedua-duanya sama-sama membantu dan menghidupkan semangat.
Umum tahu yang Noh memulakan kerjaya dengan grup M.I.X yang terbalut irama hip hop sama seperti Teh Tarik Crew yang dianggotai Nina.
Jenama
"Noh juga merupakan salah seorang komposer yang terlibat dalam album saya. Dia memberikan lagu Kurnia untuk album ini. Saya tahu ramai yang sudah maklum akan hubungan ini.
"Apa yang boleh saya katakan, dia seorang yang sangat menyokong perjalanan muzik saya.
"Kami berada dalam industri yang sama, jadi perbualan dan perbincangan kami berjalan lancar.
"Dia juga banyak memberi nasihat kepada saya," tutur Nina tidak menidakkan hubungan rapat mereka.

Namun, dia gusar jika cerita yang keluar hanya tentang hubungan itu sedangkan dia baru mahu mengukir nama sebagai penyanyi.
Dia mahu khalayak tahu bahawa Noh dan dirinya sama-sama berjuang dan membantu dalam perjalanan seni masing-masing.
Jujurnya juga dia penggemar produk-produk Hujan dan 'bahu' untuk Noh mengadu itu dan ini.
"Yang penting sekarang khalayak fokus tentang material dan kerjaya saya.
"Saya berdebar-debar menunggu bulan Julai. Album dan jenama pakaian saya bakal dilancarkan serentak. Itu fokus utama saya.
"Saya turut mengadakan latihan koreografi dengan Marcus bagi memastikan gerak tari saya lancar. Nantikan kemunculan Mizz Nina Julai ini," tegasnya.
Jika ayahnya digelar 'The Singing Banker', maka dua bulan lagi anda harus tunggu kemunculan 'The Rapping Daughter' pula. Itu gelaran Nina untuk dirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: