SUARA adalah anugerah yang memberi kemasyhuran sekali gus membawa namanya ke peringkat antarabangsa. Itulah tuah Lea Solanga atau nama sebenar, Maria Ligaya Carmen Imutan Salonga, 39.
CERIA....Lea (empat dari kiri) bersama wakil penaja dan petugas Malaysia Airlines.
Sebagaimana dijanjikan penganjur, R&B Productions Sdn Bhd dengan kerjasama CIMB Bank dan Malaysia Airlines, bintang muzikal terkenal antarabangsa kelahiran Filipina terkenal dengan watak Miss Saigon itu dipertemukan kepada media tempatan.
Seorang yang murah senyuman, wanita yang menjadi inspirasi kebanyakan penggiat teater muzikal terutama dari Asia tidak lokek berkongsi rahsia kejayaannya.
"Untuk jadi seperti hari ini memerlukan kerja keras selain sokongan keluarga. Orang tua sayalah yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia seni.
"Sehingga kini saya masih ingat pesan bapa. Katanya, untuk berjaya satu peratus adalah inspirasi manakala 99 peratus usaha serta kerja keras yang menyumbang pada kejayaan sebenar.
"Perlu percaya pada bakat anda. Malah saya tidak pernah menjadikan latar belakang sebagai halangan untuk berjaya. Jika terus memikirkan anda berasal dari Asia dan tidak berani mencuba, percayalah anda tidak akan ke mana-mana."Orang Barat sendiri tidak pernah melihat latar belakang saya kerana mereka mempercayai bakat saya. Yang penting, jangan takut mencuba jika anda berasakan mempunyai bakat," katanya ketika ditemui pada sidang media, kelmarin.
Menceburi dunia seni seawal usia tujuh tahun, Lea menambah, memang sejak kecil dia sudah merancang hala tujuannya yang bercita-cita untuk menjadi penghibur.
"Ibu bapa saya menghantar saya ke sekolah sebagaimana kanak-kanak lain, namun setiap kali ada persembahan, saya selalu ke depan. Saya masih ingat lagi, sejak usia tujuh tahun saya sudah aktif.
"Sehingga kini pun saya tidak pernah bercadang berhenti kerana inilah yang saya mahukan sejak dulu dan akan terus mencintai dan berbakti kepadanya sampai bila-bila," katanya.
Mendengar suaranya yang masih hebat sehingga sekarang walaupun sudah 20 tahun berkecimpung dalam bidang muzikal, Lea berkata, dia mengamalkan pantang sejak dulu lagi.
"Penjagaan suara juga memerlukan disiplin terutama semakin dekat persembahan. Saya akan mengelak makan makanan pedas, tidak balik lewat malam, dapatkan tidur yang cukup dan tidak mengambil minuman keras," katanya.
Mengenai kehidupan peribadi, Lea beruntung kerana mempunyai suami, Robert Charles Chein yang memahami minatnya dan faham bakat nyanyian adalah asetnya. Suami juga sangat mendukung dalam bidang yang diceburi.
"Meskipun sibuk, saya masih mempunyai masa membahagikan masa antara kerjaya serta tugas sebagai isteri dan ibu. Biasanya, bila ada kelapangan di rumah, kami akan bermain 'video game'," katanya.
Menyentuh persediaan konsertnya selama dua hari di Kuala Lumpur, Lea mengakui belum memutuskan lagu apa yang
bakal dibawanya nanti. Yang pasti katanya, terdapat lagu popular daripada pementasan Aladdin, Mulan, Miss Saigon dan Annie. Malah dia juga akan membawakan satu lagu Melayu yang dirahsiakan judulnya.
"Saya banyak membuat persembahan di Asia dan pernah mengunjungi negara ini. Bagaimanapun, membuat persembahan untuk konsert, adalah yang pertama di sini.
"Selepas Kuala Lumpur, saya akan pulang ke Manila kemudian ke Australia untuk pementasan Cats. Berhubung pembikinan album baru, memang tidak dinafikan saya ada perancangan melakukannya. Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat perbincangan," katanya.
Artis yang mula mengadakan persembahan solo sejak lima tahun lalu ini memulakan karier muziknya seawal usia 10 tahun, apabila dia merakamkan album pertama, Small Voice. Album itu berjaya mencatat jualan emas.
Bagi yang ingin menyaksikan persembahan penghibur jelita itu hujung minggu ini. Tiket dijual pada harga RM853 (VVIP), RM553 (VIP), RM353, RM253 dan RM153.
Bagi ahli Enrich MAS dan pemegang kad Enrich CIMB yang membeli tiket lebih awal, berpeluang menikmati potongan sehingga 35 peratus untuk persembahan pada 22 Mei, yang diadakan secara eksklusif untuk mereka. Manakala potongan sebanyak 20 peratus pula diberikan untuk mereka bagi persembahan pada 23 Mei, yang turut dibuka kepada umum.
PROFIL
NAMA: Maria Ligaya Carmen Imutan Salonga
NAMA PENTAS: Lea Salonga
TARIKH LAHIR: 22 Februari 1971
ASAL: Manila, Filipina
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon.
PASANGAN: Robert Charles Chein
ALBUM: Small Voice (1981), Lea (1988), Miss Saigon (Original London Cast) (1990), The King And I (Hollywood Studio Cast) (1992), Little Tramp - The Musical (1992), Aladdin (soundtrack) (1992), Lea Salonga (1993), Les Miserables - The Dream Cast in Concert (1995), I'd Like to Teach The World to Sing (1997), Mulan (soundtrack) (1998), By Heart (1999), Lea...In Love (1999), Lea Salonga: The Christmas Album (2000), Songs from The Screen (2001), The Broadway Concert (2002), Flower Drum Song (2002), Broadway Revival Cast) (2003), Mulan II (soundtrack) (2005), Inspired (2007), Shelldon (soundtrack) (2008),
MUZIKAL: Mulan II (2004), My Neighbour Totoro (2004), Mulan (1998), Redwood Curtain (1995 filem), Aladdin (1992), Dear Diary (1989), Pik Pak Boom (1989), Ninja Kids (1986), Like Father, Like Son (1985), Tropang Bulilit (1981)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: