Sunday, May 23, 2010

Masakan enak Batavia Indo Fusion


JUS alpukat dan teh botol, minuman signatur kuisin Indonesia.


HIDANGAN enak seperti masakan di rumah, itu janji pemilik Restoran Batavia Indo Fusion, Fifi Syafiza Shahidan.

Bagi usahawan muda berusia 28 tahun itu, setiap masakan yang dihidangkan perlu cukup rasa dan diperbuat daripada bahan segar. Apatah lagi dia juga seorang yang cerewet tatkala berbicara mengenai makanan.

"Saya akan turun sendiri ke dapur untuk merasai makanan yang dimasak. Begitu juga dengan bahan mentah, saya sendiri akan ke Pasar Selayang untuk mendapatkannya," katanya.

Menurut Fifi, Batavia Indo Fusion bukan sahaja menyediakan masakan Jawa dan Sunda, malah lauk-pauk Melayu dan Thai juga tidak ketinggalan. Nasi campur dengan pilihan menarik disediakan pada tengah hari manakala petang dan malam pula hidangan ala carte.

Pembukaan restoran itu sejak lebih setahun lalu mendapat sambutan ramai terutama untuk hidangan nasi campur.

Pelbagai hidangan kecur liur disediakan seperti masak lemak ikan keli, lapes daging (seakan kurma), opor ayam kampung, udang masak lemak, dendeng daging, rawon daging, sambal hijau, sambal merah, sambal belacan dan banyak lagi.

"Bila disebut masakan Indonesia, orang selalu teringat Nasi Padang. Sebenarnya banyak lagi hidangan lain yang kurang dikenali seperti masakan Jawa dan Sunda. Lagi pun rasanya di kawasan ini hanya Batavia Indo Fusion sahaja yang menyediakan kuisin jenis ini," katanya.

Hidangan

Hidangan pada sebelah malam pula tidak mengecewakan. Cuba rasa ayam goreng belacan yang pastinya sukar ditemui di tempat lain.

Menurut Fifi, ayam goreng ini digaul dengan belacan, tepung dan beberapa bahan lain sebelum ia digoreng. Kemudian ia dimakan bersama sos cili Thai yang enak.

Hidangan lain seperti udang masak petai, ayam masak lemon, kari kepala ikan Salmon juga diminati ramai.

Menambah lagi nuansa menikmati hidangan Indonesia, teh botol pastinya sukar diletak ke tepi. Begitu juga dengan jus alpukat (avokado) yang lemak berkrim.

Menikmati hidangan di dalam restoran berkonsep moden merangsang selera. Mahu lebih istimewa kawasan belakang kedai yang menghadap taman mini kecil cukup mendamaikan. Dengan hembusan angin seperti di tepi pantai, pasti membuat sesiapa jua terleka.

Batavia Indo Fusion juga sedia menerima tempahan katering untuk semua jenis majlis daripada kecil, sederhana hingga 1,000 orang. Khidmat penghantaran ke rumah turut disediakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: