Sunday, May 23, 2010

Taman herba mendamaikan


KOLAM perlu dipastikan sentiasa bersih kerana ikan koi sangat sensitif dengan persekitaran.


CELAKA Mertua, Janda Merana, Jarang Anak dan Janda Kaya. Bagi yang tidak tahu, pasti menyangka ia kata-kata kesat atau penghinaan.

Namun jangan tersalah sangka. Nama-nama unik itu sebenarnya adalah tumbuhan herba tropika yang sangat bermanfaat.

Ia sukar ditemui kerana biasanya hanya mendiami kawasan hutan belantara tropika. Kalau ada pun yang pernah mendengarnya, pasti sudah diproses menjadi ubat penawar pelbagai penyakit.

Nama-nama itu cukup menarik perhatian penulis tatkala berkesempatan meninjau taman herba milik The Origin Foods Sdn. Bhd. yang terletak di Pusat Perindustrian Pusat Bandar Puchong.

Sebagai sebuah syarikat yang menghasilkan produk kesihatan daripada alam semula jadi, syarikat itu mengambil inisiatif mewujudkan taman sedemikian rupa bagi memperkenalkan kepada pelawat tumbuh-tumbuhan tropika yang sangat bermanfaat.

Penolong Pengurus Besar, Nick Eng berkata, taman ini sudah diwujudkan sejak enam tahun lalu.

"Lebih 200 pokok herba terdapat di sini. Sesetengahnya adalah tumbuhan biasa seperti kelapa kuning, pinang, kaduk, pandan dan banyak lagi yang mungkin ramai tidak mengetahui khasiatnya," kata beliau.

Di tengah-tengah pelbagai jenis tumbuhan dengan nama yang menarik dan jarang didengar, kewujudan pokok Tongkat Ali, Tunjuk Langit, Jarak Tapak Gajah, Nilam (Patchouli) dan Kulit Kayu Manis menarik perhatian.

Walaupun taman itu tidak sebesar mana, susun atur dan kebijaksanaan memanfaatkan ruang menjadikan ia kelihatan menarik.

Daripada tumbuhan kecil yang melata seperti kaduk, pegaga dan cekur hingga ke tumbuhan besar seperti kelapa sawit, kelapa dan pinang, semuanya dipastikan tersusun rapi serta kemas.

Menariknya terdapat kolam panjang yang didiami berpuluh-puluh ekor ikan koi. Batu-batu pemijak kecil disusun kemas menambah keindahan sedia ada.

Kata Nick Eng, setiap dua minggu sekali, taman dan kolam ini akan disenggara untuk mengekalkan keindahannya.

Kewujudan taman itu juga katanya, selain memperkenalkan kepada orang luar mengenai tumbuhan herba membuktikan membuktikan bahawa ia cantik dibuat lanskap.

"Tidak semestinya tumbuhan berbunga sahaja menjadi pilihan mendapatkan laman yang menarik, malah tumbuhan tropika juga mempunyai keunikan tersendiri," katanya.

Setiap tumbuhan di situ ditanda dan juga dinyatakan khasiatnya sekali. Ini memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat terperinci mengenai tumbuhan tersebut. Malah kata Nick, tumbuhan itu turut diambil oleh para pekerja bagi tujuan perubatan.

Kehijauan dan kesegaran taman itu terserlah bila kelihatan burung-burung riang hinggap dari satu pohon ke pohon yang lain. Bunyi kicauannya serta deruan air dari kolam berhampiran menjadikan persekitaran tenang dan mendamaikan.

Pondok gazebo beratap nipah didirikan bagi mereka yang ingin berkumpul dan berbincang sambil menikmati keindahan taman herba itu.

Sebagai pengilang makanan kesihatan, Origin Foods yang merupakan pengeluar terbesar minuman rumput gandum di Malaysia (mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records) juga mempunyai ruang tanaman hidroponik sendiri.

Tidak lengkap kunjungan ke situ andai tidak menjengah ke dalam bilik dingin yang menempatkan petak-petak rumput gandum.

Melihat dari mula biji gandum bercambah hingga rumput dituai selepas berusia seminggu memberi satu pengalaman menarik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: