Monday, May 24, 2010

Kekasih Aishah bapa tunggal


AISHAH mengakui kini hatinya sudah dimiliki oleh seorang ahli perniagaan.


MELIHAT respons luar biasa yang diberikan kepada persembahan Jamal dan Aishah sempena A Tribute To Mum - We Love You yang berlangsung di PWTC, baru-baru ini, seharusnya gandingan Jamal dan Aishah perlu diteruskan lagi di masa akan datang.

Sememangnya menonton persembahan bagaikan tidak puas apabila masing-masing hanya menyanyikan lima hingga enam buah lagu setiap seorang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Maxson Abdullah Jaafar, pihaknya memang sudah ada perancangan untuk menyatukan kembali dua anak seni handalan itu dalam persembahan yang lain pula.

"Kami memang tidak menyangka sambutan yang diberikan kepada persembahan julung kali ini diadakan ini begitu hebat sekali sehingga perlu menambah meja.

"Insya Allah, daripada kejayaan ini ia akan mendorong kami untuk melakukan persembahan serupa di masa akan datang," katanya penuh optimis tentang persembahan yang dihoskan oleh Dee itu.

Persembahan yang berlangsung selama hampir dua jam itu menyaksikan Aishah mendendangkan lagu-lagu popularnya seperti Camar Yang Pulang, Melukut Di Tepi Gantang, Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan lagu terbarunya, Anak.

Manakala Jamal pula mengalunkan lagu-lagu seperti Perjalananku, Kekasih Awal dan Akhir, Gadis Melayu serta medley lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang dan Tunggu Sekejap.

Komposer tersohor, S. Atan turut mengiringi persembahan Jamal menerusi lagu Seroja yang disampaikan secara akustik.

Kemuncak persembahan petang itu menyaksikan gandingan mantap Jamal dan Aishah yang berjaya meruntun emosi audiens menerusi lagu Kasihnya Ibu.

Melihat kepada kolaborasi mereka itu, tidak mustahil untuk Jamal dan Aishah disatukan dalam sebuah lagu mahupun album duet selepas ini seperti mana yang diinginkan mereka berdua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: