![]() |
| SEHATI SEJIWA...Anita Sarawak bersama belahan jiwanya, Mahathir Abdullah. |
SUDAH menjadi resmi penghibur tersohor ini saban tahun menganjurkan majlis apresiasi media bagi menghargai pihak wartawan yang menjadi pendokong utama kerjayanya sebagai anak seni.
Bagi Anita Sarawak dan suaminya, Mahathir Abdullah, majlis yang mereka anjurkan setiap tahun itu tidak boleh disamakan dengan nilai jasa wartawan yang banyak membantunya selama ini.
Tujuannya untuk mengekalkan hubungan baik dengan wartawan yang sudah dianggap seperti kawan dan keluarga.
"Saya menghormati tugas wartawan. Tugas mereka cukup berat dan besar jika dibandingkan dengan kerjaya saya sebagai seorang penghibur, saya fikir untuk menjadi seorang wartawan lebih sukar.
"Mereka perlu berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha mencari berita dan menulis tentangnya," ujarnya.
Anita berkata demikian pada majlis apresiasi media yang diadakan baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung dalam suasana yang cukup sederhana namun meriah itu dihadiri oleh wartawan yang mewakili pelbagai organisasi media cetak dan elektronik.
Ternyata kehadiran wartawan membuatkan hati Anita berbunga riang lebih-lebih lagi dapat menatap riak gembira di wajah setiap tetamu yang hadir pada petang itu.
"Hari ini hari untuk anda bersantai dan berhibur. Selama ini anda sudah berkerja keras," ucap Anita berkali-kali sepanjang majlis berlangsung.
Menyambung bicara, Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohamed Taib memberitahu, adalah sesuatu yang mustahil untuk dia dan suaminya menghargai pihak media secara berseorangan.
Kerana itu, dia lebih selesa untuk mengumpulkan semua wartawan dari pelbagai penerbitan untuk merapatkan lagi silaturahim sesama sendiri.
Dalam kerancakan berbual, tiba-tiba nada suaranya bertukar sedih apabila ada beberapa pihak yang seolah-olah memandang sinis kepada kerjaya wartawan.
Apatah lagi, apabila segelintir artis-artis baru yang menganggap wartawan sebagai musuh dan perkara itu kata Anita, tidak seharusnya timbul.
Bukan mahu mengangkat bakul sendiri, tetapi bagi Anita, dia amat menjaga hubungan baiknya dengan wartawan baik yang senior atau baru.
"Artis dan wartawan saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain.
"Apa yang penting perlu menghormati agar semuanya berjalan dengan lancar dan hubungan itu pun sentiasa dalam keadaan baik.
"Buat apa hendak mencari musuh kerana industri hiburan kita pun bukannya besar. Pusing-pusing, kita akan jumpa muka yang sama juga," tuturnya dalam nada rendah diri.
Yang istimewanya, Anita tidak pernah meletakkan benteng apabila berdepan dengan wartawan, sebaliknya, dia mahu menjadikan wartawan sebagai teman untuk berbicara di kala suka dan duka serta membincangkan apa jua perkara.
Pada masa yang sama, pelantun lagu Seksis dan Cinta Nan Satu ini turut memberikan pandangan terhadap komen sesetengah pihak yang membangkitkan isu artis membeli wartawan.
Hanya mampu menggelengkan kepalanya, Anita kesal dan tidak menyangka bahawa ada pihak yang sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Itu tuduhan yang cukup kejam dan tidak berasas. Tidak tahu untuk artis lain tetapi bagi saya, apabila diadakan majlis apresiasi ini ia bukanlah bermakna saya membeli pihak media. Ia sekadar rasa terima kasih," kata Anita meluahkan pandangannya.
Mengenai perkembangan seninya, penghibur yang tidak dimamah usia ini akan muncul dengan sebuah album kompilasi istimewa berjudul Cinta Anita.
Menariknya, album yang memuatkan 16 buah lagu itu merupakan karya retrospektif Anita sepanjang bergelar anak seni.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: