Friday, May 21, 2010

Inul sedia hibur peminat tanpa jemu

Penyanyi dangdut kontroversi, Inul Daratista bakal membuat persembahan di Malaysia tidak lama lagi.

Biarpun pernah dikecam hebat gara-gara goyang gerudinya, Inul tetap mendapat undangan untuk mengadakan konsert jelajahnya di Malaysia.

Penyanyi kelahiran Pasuruan, Jawa Timur Indonesia begitu teruja dengan undangan dan telah bersedia untuk menghiburkan peminatnya yang tidak pernah jemu-jemu memberi sokongan terhadap kerjaya seninya selama ini.

Ternyata pengaruh suara Goyang Inul begitu kuat apabila berjaya menarik ribuan peminat yang bukan sekadar ingin melihat aksi artis kesayangan mereka, malah turut sama menari.

Biarpun pernah dilarang mengadakan persembahan di Malaysia, namun ibu kepada seorang cahaya mata ini tidak pernah putus asa dan sentiasa bersemangat untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia.

Konsert 1 Inul Daratista 2010 yang bakal berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau, Sabah, 29 Mei ini, menjanjikan kelainan buat peminatnya.

Konsert yang dibawakan oleh Apex Event Network bakal memberi revolusi baru terhadap masyarakat di Sabah dengan kehadiran pertama kali Inul ke Sabah.

Lebih menarik dalam konsert tersebut Inul akan mendendangkan lagu barunya ‘Kasih Tak Termiliki’ yang berentak pop dan lagu itu sudah diputarkan menerusi radio.

Lagu tersebut merupakan hadiah buat peminatnya di Malaysia dan menunjukkan Inul masih lagi aktif dalam dunia nyanyian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: