
PADA majlis resepsi perkahwinannya 28 Mac lalu, Datin Paduka Umie Aida mengumumkan bahawa dia sudah bersedia untuk melakukan perubahan. Transformasi yang dimaksudkan adalah penampilan diri dengan memakai tudung secara perlahan-lahan selepas menempuh alam perkahwinan.
Bagi seorang selebriti seperti Umie, keputusan itu mungkin bukan senang. Namun, itu fasa hidup pilihannya selepas sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, pada 14 Mac lalu di Mekah.
Umie bagaimanapun menyatakan niat bertudung itu tidak akan dilakukan secara mendadak. Semua itu akan dilakukan secara bertatih.
Maka, apabila pelakon berusia 37 tahun itu muncul dengan berselendang pada majlis pelancaran kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia pada 8 April lalu, ramai yakin dia sudah melakukan anjakan paradigma.
Cuma, penampilan tanpa selendang pada majlis mengumumkan dia sebagai duta terbaru kepada syarikat pelangsing, Marie France Bodyline, baru-baru ini mengundang pertanyaan ramai. Adakah aktres itu sudah bersedia untuk bertudung atau hanya pada acara tertentu sahaja?
"Memang saya sudah mahu melangkah ke arah itu. Itu niat saya dan disokong oleh suami saya. Setiap manusia ada niat dan ini adalah antara saya dan Tuhan. Lagipun saya mahu melakukan selangkah demi selangkah.
"Seperti yang dikatakan sebelum ini, saya tidak boleh tergesa-gesa memakai tudung kerana terikat dengan komitmen kerja. Menggalas tanggungjawab sebagai jurucakap Marie France Bodyline ini adalah salah satu daripadanya," terang Umie.
![]() |
| |
Sedang berehat, Umie bakal melawat London penghujung Mei ini. Namun, dia hanya akan berbulan madu pada bulan Julai nanti di Los Angeles.
"Sekarang saya bercuti kerana baru sahaja berkahwin. Lepas ini saya akan menemani suami ke London atas urusan kerja. Kami kemudian akan berbulan madu di Los Angeles."
Dua bulan bergelar isteri, Umie kelihatan berseri-seri terutama apabila ditanya mengenai kehidupannya selepas bergelar isteri. Tanpa berselindung, Umie menyatakan dirinya amat bahagia dan seronok sekarang.
"Kalau saya tahu berkahwin begitu menyeronokkan, saya sudah lama berkahwin. Seronok bercinta selepas berkahwin. Pada usia 37 tahun baru saya menjadi isteri, rutin hidup saya berubah sama sekali. Saya kena buat sarapan untuk suami.
"Nasib baik abang (panggilan untuk suaminya) seorang yang ringan tulang. Saya baru sahaja berpindah ke rumah Bukit Kiara. Dari dulu lagi saya tidak suka menggunakan khidmat orang gaji. Jadi semua benda dibuat sendiri dan abang akan menolong," beritahu Umie sambil tersenyum.
Anak kekok
Ditanya pula bagaimana penerimaan dua orang anak angkatnya, Mohd. Daniel Firdaus, 17 dan Mohd. Dzulhelmy, 16, terhadap ayah baru mereka, Umie menyatakan mereka berdua masih berasa janggal.
"Selepas begitu lama tidak mempunyai ayah, mereka berasa janggal untuk memanggil ayah. Jadi saya tidak memberikan tekanan kepada mereka.
"Asalkan mereka tahu abang merupakan suami kepada ibu mereka. Bukan senang untuk mengubah kerana mereka sudah besar. Maka, buat masa ini, mereka masih memanggil uncle," ujar Umie.
Ada menerima tawaran berlakon bersama Osman Ali, Umie bagaimanapun memberitahu dirinya kini lebih selektif. Bukan sahaja kerana statusnya sebagai isteri tetapi juga disebabkan faktor usia.
"Saya tidak bermaksud diri saya sudah tua. Tapi sekarang saya sudah tidak larat untuk menunggu lama di lokasi penggambaran.

"Saya juga perlu menjaga keluarga. Jadi selepas ini saya hanya akan memilih watak yang betul-betul bagus. Ramai yang tidak tahu sebenarnya menjalankan penggambaran itu amat memenatkan. Kami perlu berada di lokasi dari pagi hingga malam." tambahnya.
Kuat makan
Jodoh bersama Marie France Bodyline hadir sewaktu aktres ini mengumumkan tentang hari perkahwinannya. Pihak Marie France Bodyline merasakan Umie boleh mengecilkan saiz pada bahagian tertentu badannya. Dari situ, mereka menghubungi Umie dan persetujuan dicapai.
Namun, Umie terlebih dahulu mencuba rawatan mereka bagi melihat kesannya. Hanya selepas satu rawatan, Umie dapat melihat perubahan. Maka, dia memulakan misi menguruskan berat badan bermula bulan Disember lalu.
Sehingga kini, Umie telah mencapai penurunan sebanyak lima kilogram. "Memang saya seorang yang aktif senaman. Tapi saya ada masalah membuang lemak degil pada bahagian lengan serta perut.
"Jadi bila Marie France Bodyline menawarkan perkhidmatan itu, saya tertarik dengan keputusannya. Jadi saya mahu berkongsi pengalaman ini bersama wanita lain di luar sana," katanya.
Tidak pernah melawat pusat pelangsing atau terfikir untuk mencuba, Umie menyukai cara rawatan Marie France Bodyline yang tidak menyeksakan.
"Rawatannya tidak sakit atau menyeksa. Ia begitu selesa sehingga saya tertidur setiap kali saya melakukan rawatan. Lagipun mereka amat fleksibel dengan jadual kerja saya," jelas Umie yang menyukai rawatan LipoSonic Therapy (LST).
![]() |
| UMIE menyediakan sendiri sarapan buat suami tercinta. |
Menjalani rawatan sebanyak tiga kali sehari, Umie masih akan meneruskan rawatan kerana dia seorang yang kuat makan.
"Bila sudah mendapat figura ideal, saya amat disiplin. Selain tidak makan malam, saya mengikut nasihat pemakanan yang diberikan oleh Marie France.
"Nasib baik saya masih boleh menikmati makanan seperti nasi lemak dan roti canai. Saya seorang yang suka makan tetapi lebih berdisiplin," kata pemilik nama Umi Kalthom Rahmad itu.
Malah kata Umie yang menandatangani kontrak selama setahun bersama Marie France Bodyline, Umie menyatakan bahawa syarikat itu tidak menghalang jika dia mahu mengandung.
Katanya syarikat kecantikan wanita itu tidak mengikatnya begitu ketat sehingga harus menentang fitrah sekiranya dia ditakdirkan mengandung kelak. Kerana apa yang dipentingkan adalah keupayaan Umie mempengaruhi khalayak terutama wanita agar kekal langsing dalam semua keadaan.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: