Monday, May 24, 2010

Amy sudah serik ditipu


BARISAN rocker yang bakal menggemparkan Stadium Larkin, Johor Bahru menerusi Konsert Double Trouble pada 5 Jun ini.


SUDAH serik ditipu, penyanyi rock terkenal Amy Search mengakui dirinya kini tidak akan terpedaya lagi dengan mana-mana skim cepat kaya atau pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang berlipat ganda.

Amy yang ditemui pada majlis sidang media konsert Double Trouble di Damansara baru-baru ini memberitahu, pengalaman dia ditipu oleh beberapa pihak merupakan momen yang paling tragik pernah dilaluinya sepanjang bergelar anak seni.

"Apabila ditipu berkali-kali saya rasa kebahagiaan dan kegembiraan saya hilang. Ini antara perkara paling teruk pernah saya alami. Selepas ini saya tak akan dan tidak mahu masuk mana-mana skim pelaburan," katanya jujur.

Apa tidaknya, pada tahun 2008 sahaja dia telah ditipu hampir RM1 juta oleh seorang wanita menerusi skim pelaburan, kemudian dia ditipu sekali lagi sebanyak RM500,000 oleh sebuah skim pelaburan sedangkan wang tersebut diperuntukkan untuk yayasan tahfiz di tanah seluas 1.21 hektar yang akan dibangunkan di Pekan Nenas, Johor.

"Saya kecewa sangat kerana wang tersebut sepatutnya saya gunakan untuk yayasan tahfiz, malah, orang yang bertanggungjawab membawa saya ke skim pelaburan tersebut hingga ke Labuan juga seorang yang beragama Islam dan dia tahu saya perlukan wang itu untuk yayasan tersebut.

"Mulanya saya masuk skim itu kerana yayasan yang saya ingin bangunkan itu memerlukan kos bernilai RM3 juta. Tidak sangka pula akan ditipu," ujarnya.

Tidak habis di situ, pada tahun yang sama Amy ditipu oleh satu pasangan yang meyakinkannya untuk membuat pelaburan dalam sebuah syarikat berjumlah RM750,000.

"Saya ke bank bersama isteri untuk mengeluarkan wang itu, dan apabila sampai ke rumah, baru kami tersedar macam mana kami boleh keluarkan wang sebegitu banyak. Kami seolah-olah dipukau dan menurut sahaja permintaan mereka," katanya.

Kemudian, wang yang sepatutnya diguna untuk mengubah suai restoran miliknya, Cheng Ho sebanyak RM240,000 telah dipinjamkan kepada seorang kenalan saudaranya dan dijanjikan akan dipulangkan semula selepas empat hari.

Bagaimanapun sehingga kini, tiada khabar berita langsung mengenai semua wang yang dilabur dan dipinjamkan itu.

Bukan itu sahaja, Amy juga kalah dalam kes tuntutan saman seorang kanak-kanak yang melecur akibat terkena kuah tom yam panas di restorannya.

"Kalau orang lain saya ingat boleh jadi gila. Tapi saya reda dengan apa yang berlaku kerana ibu saya pernah berpesan ketika saya menyuarakan hasrat untuk tubuhkan tahfiz dia pernah memberitahu yang saya akan melalui ujian yang besar.

"Lagipun, semua yang datang daripada Allah. Sebagai manusia saya menerimanya dan berharap akan ada sesuatu yang baik selepas ini," ucapnya.

Meskipun telah kerugian hampir RM3 juta dan kehilangan tanah untuk membangunkan yayasan tahfiz tersebut, hasrat sucinya itu tidak pernah terpadam.

Malah, ia akan diteruskan walau menggunakan apa cara sekalipun.


AMY SEARCH


"Yayasan itu adalah niat saya, jika disoal apa sumbangan saya terhadap komuniti selepas ini, itulah dia satu-satunya harapan dan impian saya.

"Tanah yang saya inginkan itu terpaksa dijual kerana saya hanya mampu bayar separuh sahaja kepada pemiliknya. Selepas ini saya harus mencari tempat lain tetapi yang pasti ia akan dibina di kampung halaman saya terlebih dahulu iaitu di Johor," tuturnya.

Bicara Amy lagi, terdapat lima orang yang menipunya dan mereka mempunyai karakter yang sangat baik sehingga sukar untuknya mempercayai dia telah ditipu oleh mereka.

"Mereka sangat pandai berlakon, karakter sangat baik. Siap datang rumah dan boleh solat berjemaah dan solat sunat lagi. Tapi nak buat macam mana, mungkin wang yang saya hilang itu bukan rezeki saya, saya reda.

"Namun, dalam masa yang saya telah membuat laporan polis dan mereka semua sedang disiasat oleh pihak polis. Walaupun saya telah ditipu saya berharap tiada lagi orang akan ditipu seperti saya selepas ini," katanya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama band legenda Search dan Wings mengumumkan selepas kejayaan konsert Double Trouble di Kuala Lumpur dengan 20,000 penonton, kali ini mereka akan menggegarkan pula Stadium Larkin, di Johor Bahru.

Konsert yang dijangka bakal berlangsung pada 5 Jun depan dijangka menarik lebih ramai penonton berbanding di Kuala Lumpur.

Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert Double Trouble di Johor Bahru, jangan lupa dapatkan tiket yang dijual pada satu harga tetap iaitu RM70.

Tiket-tiket boleh didapati di kaunter tiket Stadium Larkin; Music Valley Angsana, Johor Bharu; Ticket2u (03-41498600); Istana Budaya Box Office (03-40265558) dan Diva Karaoke Club Bistro, Johor Bahru (012-7854246).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: