Kali pertama melihat dan memegang salji, anak sulung bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan usahawan, Datuk Seri Effendi Norwawi, Efeida, 37, jatuh cinta dengan aktiviti melancong.

ANAK sulung bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi, Efeida, 37, manis orangnya. Murah dengan senyuman dan senang disapa, celotehnya juga bersulam tawa, sekali gus menghilangkan jurang bicara.
“Saya bersyukur setiap hari kerana dapat melakukan apa yang saya suka dalam hidup.
“Walaupun ayah saya pernah bercita-cita melihat anak-anaknya menjadi pakar ekonomi, tidak ada seorang pun daripada kami yang dipaksa untuk mengikut pilihannya itu,” kongsi anak sulung daripada lima beradik ini.
Sebaliknya, Efeida disaran bapanya supaya mencuba bidang rekaan dalaman setelah beliau meraih keputusan peperiksaan kedua tertinggi dalam subjek seni di seluruh England ketika mengikuti pengajian peringkat A-Level di sana.
“Saya juga mengambil subjek ekonomi dan politik tetapi keputusannya tidak sebaik mata pelajaran seni.
“Adik saya, Elyna, juga pernah mencuba subjek-subjek itu, tetapi akhirnya bapa mencadangkan dia belajar dalam bidang seni bina,” ujar Efeida.
Menjejakkan kaki ke salah sebuah sekolah rekaan terbaik dunia, Parsons School of Design di New York, Amerika Syarikat, Efeida kini menerajui syarikat pengurusan dan pembangunan hartanah, Encorp Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab terhadap projek seperti The Strand di Damansara dan Projek Perumahan Guru Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Saya dijemput untuk mengisi jawatan Pengarah Eksekutif (di Encorp) setelah beberapa tahun bekerja di beberapa firma seni bina di New York.
“Ia seperti satu penghormatan kepada saya kerana saya merasakan diri sangat kerdil kalau dibandingkan dengan pencapaian syarikat yang sudah jauh melangkah itu,” luahnya.
Selain menyumbangkan bakat, kreativiti, pengetahuan dan pengalaman dalam rekaan dalaman di Encorp, Efeida turut mengendalikan dua studio yang berkaitan bidang seni reka dalaman, Waras Tenggara dan Northern Magic.
Di sebalik kesibukan tugas hakiki, Efeida tetap tidak terlepas daripada melakukan aktiviti melancong.
Dua tahun lalu, beliau membentuk agensi pelancongan bersama adiknya, Elyna.
![]() |
| |
Melancong
“Kami sangat suka melancong. Ia bermula sejak ayah kerap ke luar negara atas urusan kerja.
“Mak dan ayah juga hebat dalam melancong. Setiap kali kami sekeluarga pergi melancong, sayalah yang paling seronok,” kenang Efeida.
Percutian keluarga ke Amerika Syarikat (AS) pada musim sejuk membuka matanya terhadap keindahan rasa dunia pelancongan.
“Saya masih ingat, ketika itu saya baru berumur lapan tahun. Cuaca sangat sejuk dan mak membalut kami semua dengan selimut yang tebal. Pada waktu itulah salji turun. Saya begitu terpegun dapat menyaksikannya sendiri.
“Selama ini saya hanya membaca mengenainya. Selepas itu kami berpeluang untuk bermain dalam salji pula. Pengalaman kali pertama itu memang sukar untuk dilupakan.
“Melancong memberi pengalaman yang menakjubkan. Saya suka belajar tentang sejarah dan budaya sesebuah negara kerana daripada situ saya mengetahui tentang proses pembentukan bandar dan budaya di situ.
“Bandar-bandar baru yang sentiasa berkembang dan berubah juga menarik perhatian saya,” luah bekas Pengarah Center for Advanced Design (Cenfad) itu.
Tekanan
Namun, kalau berkunjung ke bandar baru, ada satu destinasi yang wajib ditujunya.
“Saya pencinta haiwan. Kalau saya ke bandar baru saya pasti berkunjung ke zoo di situ.
“Dahulu saya sangka saya akan menjadi seorang doktor haiwan kerana sering mengutip haiwan yang berkeliaran di tepi jalan. Saya juga pernah berfikir untuk menjadi pelatih ikan lumba-lumba.
“Tetapi nasib baik juga saya tidak meneruskan impian itu. Saya mungkin tidak akan menjadi doktor atau pelatih haiwan yang baik pun,” katanya tertawa.
Gemar melakukan aktiviti riadah termasuk renang, tenis, boling dan badminton, Efeida tidak menggunakan agensi pelancongan miliknya untuk kepentingan peribadi semata-mata.
“Memang ia memberi sebab yang kukuh untuk kami ke luar negara kerana kami perlu membuat kajian tentang tempat yang kami mahu ‘jual’.
“Tetapi agensi pelancongan kami sangat kecil. Rancangan kami ialah untuk menjadikannya sebuah syarikat istimewa iaitu dengan menggalakkan pelancongan yang bertanggungjawab.
“Melalui cara itu kami tidak perlu bersaing dengan syarikat pelancongan gergasi yang lain,” dedahnya mengenai strategi agensi yang baru bertapak dua tahun lalu.
Pengalaman melihat negara orang juga banyak mengajar Efeida tentang pelbagai perkara.
“Sebenarnya Malaysia tidak jauh ketinggalan berbanding negara maju.
“Tidak sukar untuk ‘menjual’ Malaysia kerana ada saja yang dapat memuaskan hati ramai orang sama ada makanan, kepelbagaian kaum, adat dan budaya serta macam-macam lagi.
“Saya pernah beberapa kali membawa teman-teman dari luar negara ke Malaysia dan tidak sekali pun mereka menyatakan kekecewaan ketika berkunjung ke sini,” cerita Efeida.

Sering dilabel optimis oleh teman-teman, Efeida tidak menafikan sekali-sekala fikirannya serabut memikirkan banyak perkara pada satu masa.
“Saya sudah menemukan dua cara yang sesuai untuk menangani tekanan. Terbaru ialah senaman. Ia sangat penting.
“Saya tidak menggunakannya untuk menurunkan berat badan, sebaliknya setiap kali saya berpeluh, ia amat melegakan. Saya menjadi lebih tenang selepas setiap sesi senaman,” katanya.
Satu lagi pendekatan yang digunakan ialah dengan menyenaraikan perkara yang mengganggu fikirannya di atas sehelai kertas.
“Memang ada ketikanya saya berhadapan banyak perkara yang perlu difikirkan sehingga menyebabkan fikiran terganggu.
“Saya menyenarai perkara-perkara itu dan membuang perkara yang remeh. Jadi selepas itu saya tidak perlu lagi memikirkannya,” kongsi Efeida.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: