Friday, May 21, 2010

Deep Purple mantap, muda


KEHEBATAN ungu. Persembahan Deep Purple tetap hebat dan menyengat seperti di zaman kegemilangan mereka dulu.


JIKA di negara ini Alleycats merupakan kumpulan yang sebaya dengan Deep Purple yang mungkin boleh dipanggil 'datuk' oleh kanak-kanak yang berusia bawah 10 tahun.

Sejak tahun 1968 hingga sekarang persembahan Deep Purple tidak pernah pudar malah semakin garang. Pendapat itu disokong oleh ribuan penonton yang sanggup mendaki gunung dengan ketinggian kira-kira 2,000 meter dari paras laut itu.

Pada malam Ahad lalu, kira-kira 6,000 peminat kumpulan rock legenda, Deep Purple hadir semata-mata untuk menyaksikan magis Konsert Deep Purple Asia 2010 Tour yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands.

Walaupun anggota-anggotanya kini sedang meniti usia emas, persembahan mereka pada malam itu tidak ubah seperti kumpulan-kumpulan rock muda.

Kumpulan yang dianggotai Ian Gillan selaku vokalis, Don Airey (keyboard), Roger Glover (bass), Steve Morse (gitar) dan Ian Paice (dram) hadir di negara ini bagi mengubati kerinduan peminat sejati mereka.

Nyanyian Ian Gillan serta persembahannya ala-ala 'orang muda' dan sempat menyalin baju pada pertengahan konsert.


GORENGAN gitar gitaris Deep Purple menyuntik tenaga yang begitu mengagumkan.


Gorengan gitar, Steve berjaya memikat alunan ribuan penonton tidak kira usia yang datang ke Genting Highlands untuk menonton mereka.

Apa yang pasti, penonton yang hadir terpegun melihat dan mendengar gorengan gitar Steve.

Pukulan dram Ian Paice pula tidak kurang mantapnya seolah-olah mereka masih muda. Mungkin bagi Deep Purple mereka tidak mahu menghampakan penontonnya di negara ini.

Sementara, pemain keyboardnya yang bernama Don Airey juga tidak kurang hebatnya kerana alat muzik yang dimainkannya berjaya menyentap hati kental penonton.


PENONTON generasi baru turut turun padang menonton persembahan Deep Purple.


Lagu terakhir mereka, Smoke On The Water telah membuatkan penonton bangkit dari kerusi dan berdiri menyanyi bersama-sama mereka.

Antara lagu lain yang turut dihadiahkan kepada peminat termasuk Perfect Stranger dan Highway Star.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1968, kumpulan itu sudah tiga kali mengadakan konsert mereka di negara ini pada tahun 1982, diikuti 1999 dan kali terakhir pada 2001.

Zaman remaja

Mungkin bagi sesetengah orang berpendapat kumpulan Deep Purple hanya mempunyai peminat yang seusia mereka sahaja.

Namun, tanggapan itu boleh dikikis kerana pada konsert anjuran ZI Production Sdn. Bhd. itu di Arena Of Stars baru-baru ini ramai golongan remaja yang datang menonton.

Mereka bukan sahaja datang menonton tetapi turut sama-sama hafal lirik-lirik lagu Deep Purple terutamanya lagu hit mereka seperti Smoke On The Water.

Antara gelagat menarik yang lain semasa konsert itu sedang berlangsung ialah golongan veteran yang datang dengan gaya ala rock.


KALI terakhir membuat persembahan di Malaysia pada 2001, kemunculan Deep Purple kali ini benar-benar berjaya melepaskan kerinduan buat peminat mereka.


Mungkin peluang untuk menonton secara langsung kunjungan kumpulan pujaan mereka di Malaysia itu tidak mahu dilepaskan.

Justeru, konsert Deep Purple ini mungkin berjaya mengimbau zaman remaja mereka satu ketika dahulu.

Ia menyebabkan ramai yang tidak mahu melepaskan peluang kerana mereka tidak tahu bila pula Deep Purple akan kembali mengalunkan suara mereka di Malaysia di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: