
PERTANDINGAN demi pertandingan yang disertainya. Selepas gagal ke Hollywood dalam Worldstars Road To Hollywood 2010, Nabil Zamanhuri tidak berputus asa dan mengalah dengan begitu saja.
Sebaliknya, pemilihan Nabil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia ke pertandingan The 11th Pan Asia Music Festival 2010 yang diadakan di Beijing yang berlangsung pada 28 April hingga 7 Mei lalu, telah membuahkan hasil dengan membawa pulang dua anugerah iaitu Naib Juara Lagu Terbaik (Dari Jauh, ciptaan Lah Ahmad dan Nabil) serta Asia Most Potential/Promising Singer 2010.
Ternyata, peluang yang diberikan tidak disia-siakannya walaupun gagal mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut dan mungkin kali ini nama Nabil lebih kukuh dalam industri seni tempatan.
Nabil mengaku agak tertekan kerana membawa maruah Malaysia ke peringkat antarabangsa, namun penyanyi yang lahir daripada program realiti Mentor itu tekad memberikan saingan hebat kepada peserta lain.
Katanya, kemenangan yang diterima itu tidak disangka memandangkan ramai peserta yang menyertai pertandingan tersebut daripada pelbagai negara mempunyai kekuatan vokal yang hebat. Apalagi bila Nabil baru saja sembuh daripada sakit tekak beberapa hari sebelum ke Beijing, ia memberi sedikit kegusaran buatnya
"Waktu itu, cuaca di Beijing agak sejuk dan membuatkan saya risau jika sakit tekak saya kembali. Jadi, saya mengambil jalan selamat dengan berkurung dalam bilik hotel. Biarlah orang lain semua membeli-belah, saya rasa lebih selamat duduk di bilik dan membuat latihan persediaan sebelum hari pertandingan.
![]() |
| BARU mengharumkan nama negara dengan kemenangannya, Nabil bakal berduet dengan penyanyi dari Romania dalam masa terdekat ini. |
"Dari segi makanan pun saya jaga dan selalunya saya makan sayur dan makanan laut. Bagus juga saya berkurung. Saya tidak membuang masa dengan membuat latihan selagi ada masa lapang kerana perserta-peserta yang menyertai pertandingan ini semuanya hebat-hebat.
"Alhamdulillah, kehebatan mereka tidak membuatkan saya terlalu resah kerana saya cuba tampil dengan kelainan. Tambah pula, sebelum ke Beijing, saya belajar vokal daripada Dia Fadila.
"Apapun, saya gembira bila lagu Dari Jauh diiktiraf mereka dan ini cukup membuktikan bahawa muzik Malaysia mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.
Tambahnya, biarpun sudah bergelar penyanyi, penyanyi berusia 23 tahun itu tidak akan berputus asa dalam menyertai sebarang perrtandingan yang memberikan manfaat padanya serta industry muzik tempatan.
Selain itu, ia sekali gus dapat melihat kemampuan diri sejauh mana dirinya dapat pergi di bidang nyanyian ini.
"Sebenarnya, pertandingan nyanyian membuatkan saya tidak merasa berada di zon selesa dan dapat lihat sejauh mana skil nyanyian yang boleh dikeluarkan. Ia sekali gus dapat mengasah cara persembahan dengan lebih baik.
"Bagaimanapun, setelah menyertai pelbagai pertandingan, saya sedar yang kini saya semakin selesa berada di atas pentas dan tidak terlalu kaku seperti awal kemasukan saya dalam industri nyanyian ini. Dan jika dibandingkan dengan dulu, suara saya kini lebih besar berbanding dahulu," kata Nabil tersenyum.
Akui dengan kedudukan dirinya dalam industri seni yang agak kurang menyerlah, setiap pertandingan yang disertai dengan kemenangan pasti membuatkan dirinya semakin menjadi perhatian umum.
Biarlah orang mahu melabelkan Nabil sebagai 'artis muka pertandingan', dia tidak kisah dengan sebarang label atau kritikan yang dilemparkan.
![]() |
| BERGAYA dengan trofi kemenangan di Beijing, China. |
"Bila menyertai sesebuah pertandingan, ia bukan semata-mata mahu mengejar kemenangan, tetapi pengalaman. Tambah pula bila pertandingan itu melibatkan peserta daripada pelbagai negara, ia sekali gus dapat berkongsi pengalaman muzik masing-masing.
"Pertandingan bertaraf antarabangsa juga sebenarnya dapat menaikkan nama negara dan pada masa yang sama, kita dapat mencari peluang untuk menempa nama di negara-negara luar. Lagipun, memang sasaran saya untuk ke peringkat antarabangsa," ujarnya yang bakal berkolaborasi menghasilkan sebuah single dengan seorang penyanyi wanita Romania.
Pada pertandingan tersebut, Nabil bersaing bersama 32 peserta yang antaranya daripada daripada negara Sri Lanka, Romania, Thailand, Finland, Malta, Kazakhtan, Bulgaria, China, Kanada dan Australia.
Misi
Mungkin ramai yang tidak tahu akan hal ini - Nabil mempunyai cita-citanya yang tersendiri selain ingin menaikkan namanya dalam industri muzik.
Berbekalkan ilmu sebagai pelajar bidang Filem dan Animasi di Universiti Multimedia Cyberjaya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu ingin menerbitkan sebuah filem.
"Memang ramai yang tidak tahu cita-cita saya ini. Tapi itulah perancangan saya pada jangka masa lima hingga sepuluh tahun. Oleh itu, buat masa ini, saya akan fokus pada bidang nyanyian dahulu dan pada masa yang sama, saya juga akan berjinak-jinak dalam lakonan.

"Jangan pula membuat andaian yang saya berlakon kerana tiada tawaran persembahan nyanyian. Tidak, tetapi lakonan itu semua adalah proses pembelajaran saya sebelum memulakan misi untuk menjadi penerbit dan pengarah filem pula," selorohnya.
Nabil telah memulakan kerjaya lakonannya dalam drama bersiri berjudul Seribu Erti dengan memegang watak Saiful. Kemudian, dia cuba menjinakkan diri dalam bidang pengacaraan pula bila ditawarkan menjadi pengacara program Remaja pada tahun 2007.
Kemudian pada tahun berikutnya, Nabil terlibat dalam drama bersiri online, Kerana Karina musim kedua, yang diterbitkan oleh laman web www.gua.com.my.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: