Saturday, May 8, 2010

Chery tingkatkan imej produk China


PAMERAN Automatif Antarabangsa Beijing 2010 yang menarik perhatian hampir sejuta pengunjung bermula pada 22 April lalu.


Yang mengikuti Pameran Automatif Antarabangsa 2010 di Beijing, China baru-baru ini.MADE in China’? Itu soalan pertama yang dilemparkan oleh rata-rata pembeli Malaysia, apabila membicarakan tentang apa sahaja produk termasuk kenderaan dari negara itu.

Sememangnya persepsi negatif mengenai apa sahaja produk dari negara republik itu begitu ketara. Produk buatan China dianggap kelas kedua dan tidak mampu digunakan untuk jangka tempoh yang panjang.

Malah, Naib Presiden Chery Automobile Co. Ltd. (Chery), Biren Zhou tersenyum ketika diajukan soalan itu oleh para wartawan Malaysia yang dibawa mengikuti Pameran Automatif Antarabangsa kali ke-11 di Beijing, China baru-baru ini.

Bagi Zhou, beliau sendiri menyedari bahawa persepsi negatif mengenai produk dari China itu memang wujud dalam masyarakat Malaysia, apatah lagi syarikat itu baru dua tahun memasuki pasaran automatif di negara ini.

“Salah tanggapan terhadap produk kami memang wujud. Memandangkan Malaysia merupakan pasaran yang agak baru, Chery memerlukan masa untuk meyakinkan para pembeli di negara anda,” katanya sambil menaruh keyakinan bahawa Chery akan ‘menyentuh hati’ para peminat kenderaan Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara rancangan jangka panjang yang diatur oleh Chery adalah memastikan produk automatif mereka berkualiti dan perkhidmatan selepas jualan syarikat itu menarik hati pengguna kenderaan mereka di Malaysia.

Sebagai pengeluar kenderaan utama di China, kemampuan Chery menembusi pasaran antarabangsa tidak boleh dipandang rendah.

Syarikat itu telah menghasilkan keluarannya yang ke 2 juta (sejak beroperasi pada tahun 1997) pada Mac lalu. Malah, daripada jumlah tersebut, Chery telah mengeksport sejumlah 230,000 unit kenderaan termasuk tiga jenama lain dalam syarikat itu iaitu ‘Riich’, ‘Rely’ dan ‘Karry’ ke lebih 80 buah negara di seluruh dunia.

Mulai tahun lalu, dengan empat buah kilang di China yang setiap satunya mampu menghasilkan 300,000 unit kenderaan dalam tempoh setahun, Chery yakin sasaran mereka untuk menghasilkan 7 juta unit kenderaan dalam tempoh setahun mampu dilaksanakan.

Selain itu, syarikat tersebut juga memiliki dua buah kilang di China yang menghasilkan enjin sendiri ‘Acteco’, berbanding sebelum ini mereka menggunakan enjin Mitsubishi untuk model Easter 2.4 (kini sudah diganti dengan kapasiti 2.0 cc).

Acteco, adalah teknologi enjin hasil kerjasama tenaga pakar Chery dengan Austria menggunakan mesin dari Jerman.

Jadi, apa lagi? Adakah kita masih sangsi dengan kehebatan teknologi permotoran dari negara Asia Timur ini.

Jika dinilai dari sudut lasak pula, Chery turut berbangga dengan model Riich X5, kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mampu bersaing dalam Rali Dakar di Argentina pada awal tahun ini.

Kenderaan model 2.0 cc dengan enjin turbo itu mampu meraih tempat ke-28 dan 29 daripada 157 penyertaan, satu pencapaian yang membanggakan Chery sudah pasti.

Menerusi pengedar tunggalnya di Malaysia, Chery Alado Automobile Sdn. Bhd., syarikat itu baru-baru ini memperkenalkan model terbaru Easter 2.0 di pasaran Malaysia dan akan memperkenalkan tiga lagi model iaitu A3 jenis sedan, Q22 mini MPV dan Q22B jenis pikap pada tahun ini.

Sepanjang tahun lalu sahaja, Chery Alado berjaya memasarkan hampir 4,000 buah kenderaannya yang terdiri daripada tiga model di negara ini, iaitu Tiggo, Eastar 2.4 dan A520.

Syarikat itu juga berhasrat memperkenalkan 10 model kenderaannya di China pada tahun ini dan ketika ini, China sudah memiliki sejumlah 35 model kenderaan jenama Chery.

Bercakap tentang dunia automatif untuk masa depan, tidak lengkap rasanya jika tidak menyentuh tentang konsep kereta elektrik dan hibrid.

Chery juga tidak terkecuali apabila memperkenalkan sebuah kereta hibrid pada pameran automatif di Beijing kali ini, dikenali dengan nama ‘Green Chery’, selain tiga model kenderaan elektrik sepenuhnya yang kini di peringkat ‘mass-product’.

Jika dilihat pada pameran automatif di Beijing kali ini, ia menyaksikan China sebagai kuasa besar yang bakal muncul sebagai negara pengeluar automatif untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Suku pertama tahun ini menunjukkan bahawa jualan kenderaan di China melonjak sebanyak 76 peratus kepada 3.52 juta unit.

Ia jelas melangkaui rekod jualan kenderaan di Amerika Syarikat sekali gus menjadikan China sebagai pasaran terbesar dunia untuk automatif.

Malah kerajaan China menganggarkan bahawa jualan kenderaan untuk negara itu bagi tahun ini akan mencecah 16 juta unit, 46 peratus lebih tinggi daripada jualan tahun lalu.

Sebagai buktinya, pameran kenderaan di Beijing bermula pada 22 April lalu menyaksikan 89 buah model baru dilancarkan dan jumlah kehadiran hampir sejuta pengunjung.

Pertunjukan setiap dua tahun sekali itu membabitkan 2,100 syarikat pembuat kenderaan dan alat ganti yang mengambil bahagian.

Bagi Zhou, Chery selaku wakil pengeluar kereta nasional China, mengakui mereka terpaksa bersaing dengan kenderaan keluaran dunia yang lebih hebat.

Namun, dengan nada yakin, beliau berkata; “Meskipun kenderaan produk China mempunyai cabaran yang begitu panjang untuk dilalui, kami yakin mampu untuk menjadi satu kuasa besar dalam bidang automatif dan keyakinan itu sudah ada dalam diri Chery.”

Adakah pengguna Malaysia juga akan terpikat dengan kemajuan dan perkembangan yang dicapai oleh Chery di peringkat dunia?

Jika persepsi negatif tentang produk dari China itu terhakis, sebagaimana saranan Zhou, sudah pasti Chery juga akan menguasai jualan kenderaan di Malaysia - berdasarkan harganya yang kompetitif, serta kualiti yang tidak kurang hebat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: