Barangkali ada yang tidak berapa kenal dengan pelakon dan pengarah baru, Suhaimi Lua Abdullah. Sekarang namanya antara yang menjadi sebutan kerana keberanian menerbit dan mengarah filem pendek yang menjadi kontroversi, Chukang. Lebih kontroversi apabila pengarah yang berasal dari Kelantan itu menerima ancaman berbau ugutan bunuh daripada pihak yang berasa terancam dengan hasil seni yang dibikinnya itu. "Bukan niat saya untuk mencetuskan kontroversi dan bukan juga niat saya untuk memusnahkan perniagaan pihak lain. Saya hanya ingin berkarya sahaja tanpa menujukan kepada mana-mana pihak," katanya pasal filem yang berkisar kepada lelaki yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat urut gay.
Agaknya secara kebetulan, selepas seminggu filem pendek hasil arahan pertama Suhaimi dimasukkan ke youtube, beberapa pusat urut gay diserbu oleh pihak berkuasa. Agaknya kerana itulah ada pihak yang berasa Suhaimi menjadi penyebab mengapa premis urut diserbu. "Saya tak terniat langsung untuk mengacau perniagaan orang. Saya hanya mahu berkarya. Memang saya sudah bersedia untuk menjadi kontroversi apabila berani membawa isu itu dalam filem arahan saya, tapi saya tak sangka ada masalah lain yang timbul," jelasnya. Menurut Suhaimi, sebelum menerima panggilan ugutan, dia ada perasan pergerakannya diekori. Tapi pada masa itu tidak tahu apa puncanya. "Pada Khamis lalu saya sedar ada yang mengekori saya semasa saya pulang ke rumah. Sebab rasa tak sedap hati, saya tidak terus balik ke rumah sebaliknya berputar-putar sekitar taman perumahan. Saya dapati masih ada yang mengekori. Kemudian saya berjaya menyorok. Apabila melihat kelibat itu sudah tidak ada, barulah saya pulang ke rumah. "Dua hari selepas itu saya menerima panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali dan mengugut saya dan mengatakan saya telah membuatkan bisnes mereka lingkup. Sebab itulah saya membuat laporan polis," kata Suhaimi. Takut bersendirian Sekarang Suhaimi ada kerja sebagai pengarah The Making of... sebuah filem baru. Tugas itu membuatkan dia selalu pulang lewat ke rumah dan memastikan sentiasa ada teman bersama. "Ada juga orang yang membaling runah saya selepas itu. Saya fobia juga. Memang takut juga kalau ada yang mengapa-apakan saya. "Saya anggap ini sebagai dugaan dalam saya mencipta nama sebagai pengarah. Memang sudah ada yang mula menyedari bakat pengarahan saya, tapi dalam masa yang sama saya kena hadapi dugaan ini. "Saya tidak akan putus asa dan akan terus berkarya lagi selepas ini," sambung Suhaimi. Chukang untuk festival Suhaimi menghasilkan Chukang untuk menyertai Festival Filem Malaysia yang akan datang. Menyedari dia orang baru, Suhaimi harus menghasilkan sesuatu sebagai portfolio pengarahan. "Saya ada ikuti bengkel penulisan skrip yang dikendalikan oleh seorang tokoh perfileman dari Hollywood tidak lama dulu dan saya ada melontarkan idea filem Chukang kepadanya. Beliau memuji idea cerita itu dan menggalakkan saya menghasilkannya. "Sebab itulah saya menghasilkannya dan kebetulan FFM juga sedang membuka pencalonan untuk kategori filem pendek," jelasnya yang menyimpan idea itu sejak tiga tahun lalu. |
Thursday, May 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: