![]() |
| PESERTA yang terlibat dengan Program Penerokaan Bahasa Inggeris (Kex) Karisma menemubual pelancong asing di Kota Bharu, baru-baru ini. |
KOTA BHARU 21 Mei - Seramai 120 orang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini menyertai Program Penerokaan Bahasa Inggeris (Kex) anjuran Pusat Tuisyen Akademik (Karisma) selama tiga bulan yang berakhir baru-baru ini.
Sepanjang program itu, mereka didedahkan dengan pelbagai ceramah dan latihan termasuk berdebat secara terbuka, menjalankan penyelidikan bagi tajuk tertentu, membincangkan cita-cita, mengenal potensi diri serta menemuduga pelancong untuk mendapatkan pengalaman secara langsung.
Semua urusan pembelajaran dan latihan ditetapkan dalam Bahasa Inggeris sebagaimana matlamat program iaitu melatih semua peserta menguasai bahasa itu.
Pengetua Karisma, Nik Marina Hussin berkata, sejak dilaksanakan lapan tahun lalu, program itu berjaya mendidik lebih 1,000 pelajar dalam menerapkan keyakinan diri semasa menggunakan bahasa Inggeris.
Katanya, mereka kebanyakannya pelajar cemerlang menyertai program itu dalam mendapatkan pengetahuan dan pengalaman di samping mempunyai corak pemikiran dan kepimpinan terbuka.
''Ramai daripada lepasan program itu menghubungi kembali pusat berkenaan termasuk kalangan mereka yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Daripada susulan yang diterima, Nik Marina berpuas hati kerana rata-rata peserta program itu dapat menyesuaikan diri ketika melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam atau swasta.
Menyentuh corak pembelajaran yang diberikan, Nik Marina memberitahu, selama dua minggu peserta terlibat digalakkan untuk menyesuaikan diri bersama rakan-rakan.
''Mereka juga menyertai aktiviti lasak untuk menerapkan semangat berani termasuk menghilangkan perasaan rendah diri," katanya.
Beliau berkata, program penerokaan Bahasa Inggeris itu mengutamakan kebolehan berfikir dan berkomunikasi secara berkesan dalam bahasa tersebut.
Dalam tempuh tiga bulan, katanya, mereka dilatih berfikir secara bebas dan menyampaikan pandangan dalam pelbagai isu.
Menurutnya, pihaknya juga merasakan program itu berjaya apabila dapat membentuk pelajar mematuhi ketepatan masa yang sekali gus mengelakkan berlakunya kelewatan dalam pelaksanaan program yang disediakan.
Sementara itu, Presiden Kex, Mohd. Hasif Ramli berkata, menyertai program itu membolehkan semua peserta lebih fasih dan terbuka untuk bercakap dalam bahasa Inggeris.
''Daripada pengalaman menjalankan penyelidikan dan perbincangan, membolehkan kami semua memahami kesukaran yang terpaksa dilalui sebelum mencapai matlamat program penerokaan bahasa itu," katanya.
Katanya, sebagai peserta mereka juga diberikan tanggungjawab untuk bersama-sama dengan pengurusan pusat tersebut untuk menggerakkan aktiviti yang dirancang.

Pretty interesting program...
ReplyDelete